Wednesday, 6 June 2018

Kahwin Lari


 Kahwin Lari: Salah Siapa?

  1. Isu yang sering dibicarakan.
  2. Kahwin Lari menyebabkan timbul pelbagai masalah sampingan

  1. Permusuhan pasangan dengan ibubapa dan ibubapa mertua sehingga rengganglah hubungan kekeluargaan. Ada yang bertindak diluar kewarasan seperti berlaku pertelagahan antara ibubapa dengan anaknya bukan sahaja berlaku derhaka tetapi mewujudkan permusuhan dan dendam. Malah permusuhan dan dendam ini akhirnya membawa jalan syirik kerana ada kalangan ibubapa dengan nama ikhtiar merujuk bomoh untuk memisahkan pasangan suami isteri yang pernikahannya tidak direstui.
  2. Masalah berkaitan dokumen nikah yang menyebabkan pihak suami dan isteri tidak mendapat hak dan keadilan yang sepatutnya. Lebih malang apabila zuriat yang lahir dari perkahwinan ini juga menjadi mangsa keadaan. Malah ada anak-anak hasil perkahwinan ini dinafikan hak kewarganegaraan kerana kesilapan ibubapa mereka.
  3. Perkahwinan seperti ini juga sebenarnya amat rapuh kerana apabila pasangan dilanda ujian dan masalah biasanya mereka akan mencari jalan mudah meninggalkan pasangan hingga tinggalah suami, isteri dan anak-anak bergantung tidak bertali. Lebih parah lagi apabila perkahwinan mereka tidak didaftarkan di jabatan agama islam muncul pelbagai masalah lain seperti masalah status hingga ada perempuan yang berkahwin walaupun masih tidak bercerai secara syaraknya mahupun secara undang-undangnya.

3. Punca Berlakunya Kahwin Lari:

  1. Pergaulan bebas dan salahguna media adalah antara faktor berlaku gejala zina. Perzinaan adalah antara mengapa ramai antara mereka berkahwin lari. Kerana terlanjur malu dan mahu menutup kesilapan secara mudah pasangan kahwin lari. Sama ada bernikah diluar negara atau bernikah sindiket bagi mereka ia merupakan jalan mudah yang mesti diambil.
  2. Poligami juga adalah antara mengapa pasangan mengambil jalan mudah untuk kahwin lari. Hal ini kebanyakannya dilakukan oleh lelaki yang tidak mahu berhadapan dengan isteri sedia ada dengan pelbagai alasannya. Rupa-rupanya kuasa cinta yang kononnya terlalu kuat hingga “lautan api sanggup direnangi” hanya tinggal slogan palsu semata-mata. Sikap mencari jalan mudah ini akhirnya memakan diri sendiri dan menyebabkan perkahwinan yang dibina selalu berada dipersimpangan.
  3. Tekanan kewangan juga adalah antara faktor mengapa ada pasangan yang mengambil jalan untuk kahwin lari. Desakan untuk mengadakan kenduri kahwin dengan cara yang tidak sepatutnya adakalanya menyebabkan pasangan yang mahu berkahwin gagal untuk mengadakan peruntukan kewangannya. Walaupun kenduri kahwin adalah sunat untuk diadakan tetapi kerana terikut-ikut dengan trend zaman sekarang maka pasangan terpaksa berhutang untuk berkahwin. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat maka timbullah idea untuk kahwin lari kerana bimbang terpaksa menanggung hutang yang banyak selepas perkahwinan.
  4.  Kegagalan merujuk pihak berkuasa khususnya jabatan agama islam juga adalah antara faktor mengapa budaya kahwin lari telah dijadikan jalan untuk menyelesaikan masalah. Masalah seperti wali enggan, wali ghaib, anak tidaksah taraf dan sebagainya sebenarnya boleh diselesaikan secara betul jika ia dirujuk ke tempat yang betul. Wujud penawaran pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam urusan kahwin lari tidak lebih dari menangguk di air yang keruh.
  5. Soalnya sekarang salah siapa perkara ini berlaku.

4. Penyelesaian kepada Isu Kahwin Lari:

  1. Jangan menghampiri zina. Pergaulan bebas mesti dielakkan. Aurat mestilah dijaga agar pintu-pintu zina dapat ditutup bagi mengelakkkan pelbagai masalah yang timbul dari zina. Sama ada orang dewasa, tua atau muda, belia atau remaja malah disemua peringkat masyarakat. Betapa ajaran agamalah sahaja yang dapat membenteras agar isu ini tidak berpanjangan. Allah berfirman,"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (An-Nuur 24:30).
  2. Pemantapan ilmu Fiqh Munakahat juga adalah antara cara bagaimana mendidik masyarakat agar kahwin lari itu tidak menjadi perkara yang membudaya dalam masyarakat. Islam telah menyusun hal-hal yang berkaitan munakahat ini dengan cara yang paling baik. Jika masyarakat memahaminya bahawa perkahwinan itu adalah satu sistem yang menyusun sistem sosial ummah maka ia perlu dilakukan dengan cara yang berhati-hati. Masjid dan surau tiba masanya tidak hanya mengadakan kuliah-kuliah tentang akidah, ibadah solat, puasa, zakat dan haji. Tetapi kita mesti juga mengembangkan lagi hal-hal yang berkaitan dengan fiqh munakahat dan hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan. Dengan cara ini masyarakat dapat dididik dan dapat difahamkan bahawa sesuatu perkahwinan yang dibina dengan cara yang tidak cermat maka perkahwinan itu akan hanya menjadi fitnah sahaja kerana berjalan dengan cara derita yang mengundang putus asa.
  3. Selain itu berpada-pada dalam walimatul urus adalah jalan yang sesuai dalam memulakan episod baru dalam kehidupan pasangan suami isteri. Ibubapa mesti memastikan kemampuan anak-anak mereka yang mahu berkahwin. Ini perlu agar anak-anak yang mahu berkahwin tidak terbeban dengan pelbagai keterujaan ibubapa. Jika anak-anak hanya mampu mengadakan kenduri kahwin secara yang termampu maka ia perlu diberi sokongan serta dorongan. Yang paling penting para ibubapa mesti memikirkan masa depan anak dan menantu mereka tidak terbeban dengan kehendak mereka. Malah jabatan agama Islam juga mutaakhirin ini telah mengambil inisiatif mengadakan pernikahan beramai-ramai dengan kos serendah RM1000.00 untuk sepasang juga mesti disambut dan disokong bagi memudahkan pasangan yang mahu berkahwin.
  4. Pihak berkuasa agama perlu dirujuk dalam hal yang berkaitan dengan Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk. Malah setiap kariah masjid juga telah diletakkan Penolong Pendaftar Perkahwinan sebagai rujukan di akar umbi.  Banyak maklumat yang boleh kita perolehi. Malah dalam ledakan maklumat dalam era teknologi kini adalah wajib untuk kita merujuk pihak yang berwajib agar tidak menimbulkan sebarang kekeliruan hasil dari maklumat yang bertaburan di laman sesawang.

Kesimpulan :

  1. Kahwin lari telah memberi imej yang negatif kepada imej Islam kerana ianya banyak mengundang pelbagai isu dan mendatangkan fitnah.
  2. Semua pihak mesti cakna dalam memahami isu-isu tentang perkahwinan. Kegagalan memahami hukum Islam khususnya dalam perkahwinan menyebabkan masyarakat sentiasa dibelenggu masalah yang tiada berkesudahan.
  3. Menuding jari tanpa memahami isu dan gagal merujuk pihak berkuasa akhirnya ramai pasangan ambil mudah tentang hukum dalam perkahwinan.
  4. Kegagalan perkahwinan pasangan yang berkahwin lari banyak menimbul mudarat yang pastinya bakal menimbulkan lagi masalah yang berkaitan dengan semua aspek kehidupan.

Tuesday, 20 March 2018

Hati Kita Ini Kotor..

Kawan,
Hati kita ini kotor. Segala kekotoran dunia ada dalam hati kita ini.
Seringkali hati kita bercakap tentang kebanggaan diri sampai tidak sedar kebangangan diri.
Dengki, iri hati dan sakit hati itulah hati kita.
Janganlah tidak mengaku tentang hati kita itu.
Kerana jika tidak Yang Maha Esa menyembunyikannya alangkah malunya hati kita bukan kepalang.
Marilah kita muhasabah dan bertaubat.
Kerana hati yang mati hanya menjadikan kita mati sebelum mati.
Jadi kita mesti berhati-hati dalam hati.
Saja cakap jangan marah.

Monday, 6 November 2017

Curang



Curang


Hidup ini adakala penat untuk difikir


Ceritanya dalam dikir hingga lupa zikir


Manusia selalu kata kita ini suci


Tapi mulut diri selalu mencaci


 


Cerita manusia cerita dusta


Datang nabi untuk semua


Tapi jadi mata manusia kita


Tiada insaf pergilah neraka


 


Curang itu bukan sesiapa


Siapa memilih curang dia derita


Jangan sering buat angkara


Tanpa mengira engkau siapa


 


Zaman ini zaman gila


Gila bila memikirnya,


Orang baik dikata dusta,


Orang jahat jasa dipahat.


 


Ingat siapa pun kita


Dusta nista itu curang


Dengki  Durjana itu Curang


Langgar Agama itu curang


Tidak Taat pada Allah dan Rasul itu lagi curang…..


Apakah kita yang curang itu..

Wednesday, 2 August 2017

Cermin Lah..



Adakalanya kita sering bercerita tentang keburukan orang lain hingga terlupa kita ini juga banyak buruknya. Melihat orang lain ditimpa bahana bukan Innalillahi Wainnailaihirojiunn tetapi yang terpacul selalunya ialah "padan muka" lebih-lebih lagi yang ditimba bahana itu adalah musuh yang nyata atau tidak dinyatakan. Itu sebenarnya adalah sakit jiwa yang melingkari jiwa raga kita. Kita manusia yang lemah iman ini harus segera sedar bahawa hidup ini umpama roda. Janganlah menyangka-nyangka senyum itu akan selalu tetapi ada ketika nanti air mata yang pula yang mengalir. Meletakkan keinsafan dan berhati-hati dalam hidup adalah suatu perkara yang mesti segera kita jelmakan. Janganlah asyik melihat orang lain tetapi marilah melihat diri sendiri. 

Rasulullah saw sering melihat cermin. Satu Sunnah apabila melihat cermin adalah dengan niat beserta doa yg diajar oleh Rasulullah saw iaitu; “Allahumma kama hassanta khalqi, fa hassin khuluqi.” (Ya Allah sebagaimana Engkau telah mencantikkan kejadianku (rupaku), maka cantikkanlah juga akhlakku).  [Hadith Ahmad dan Ibnu Hibban]

Wednesday, 17 May 2017

Hidup Ini Hidup Kita



Dari Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:


"Janganlah kamu mempelajari ilmu agama untuk memperlihatkan kehebatan ke atas ulama dan mempelajari ilmu untuk berhujah dengan orang-orang yang bodoh, dan untuk menarik perhatian majlis. Barangsiapa berbuat demikian maka tempatnya ialah didalam api neraka, api neraka". 
(HR Ibn Majah)
Menelusuri hari-hari ini jalan dakwah semakin berliku. Keadaan dan suasana kini amat pantas dan panas adakalanya kita semakin keliru dalam dakwah yang mencabar ini. Dewasa ini kita melihat adakalanya sedikit kesilapan pendakwah ia akan menjadi serangan sepanjang zaman. Zaman ini juga antara kesilapan pendakwah ialah dia menjadi pendakwa. Mendakwa itu dan ini akhirnya ia menjadi petengkaran antara mereka. Adalah lebih baik bersifat tawaduk dan mencontohi Ulama silam bagaimana mereka itu saling meraikan bukan mencari perbezaan hingga mencetuskan kekalutan. Zaman ummah sebenarnya mencari apa itu agama dan apa itu Islam. Mereka yakin bahawa ajaran Islam itu adalah penyelamat. Namun begitu jika aksi pendakwah masih begitu maka jangan hairan jika banyak yang kecewa hingga terjun ke sangkar yang salah hingga merosakkan. Sama-sama bermuhasabah. Semoga Islam dijulang setinggi kedudukannya.

Tuesday, 7 March 2017

Menangis aku

Dia memanggil ‘Papa’ yang hilang bersama MH370  

 Provided by MToday News Sdn Bhd intan-mh370
KUALA LUMPUR: Intan Maizura Othman sarat mengandung apabila penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang bersama suaminya, Mohd Hazrin Hasnan dan 238 penumpang yang lain.
Kini, Muhammad, anak yang dikandungnya, bakal menyambut hari jadi ke-3.
Anak kecil itu tidak sempat melihat wajah ayahnya dan apabila pihak berkuasa mengisytiharkan secara rasmi semua penumpang pesawat Boeing 777 terbunuh, kemugkinan itu juga terkubur.
“Dia berusia 10 atau 11 bulan bila perkataan pertama keluar dari mulutnya. ‘Papa’,” kata Intan kepada FMT.
“Saya tunjukkan gambar ayahnya dan itu yang keluar dari mulutnya. Kami tak beritahu pun lelaki dalam gambar itu ayahnya.
“Kuasa Tuhan, kan?” kata Intan kepada FMT.
Hari ini masuk 3 tahun sejak kehilangan MH370 dalam perjalanan ke Beijing. Suami Intan pramugara dalam penerbangan itu.
Kehilangan yang membingungkan itu membawa kepada pencarian meliputi ribuan kilometer di dasar Lautan Hindi selatan, dan ratusan juga dolar. Bagaimanapun kedudukan pesawat itu masih menjadi persoalan, dan tergantung tanpa petunjuk baharu awal tahun ini.
Remuk hati Intan mendengar berita itu.
Walaupun beliau menerima hakikat suaminya kembali ke pangkuan Ilahi, beliau masih mendoakan jawapan walaupun hanya untuk menutup babak ini dan untuk anak-anaknya, termasuk Iman yang kini berusia 8 tahun.
“Kadang-kadang Iman akan bertanyakan ayahnya. Selalu dia tanya bila dapat jumpa.
“Saya jawab mungkin suatu hari nanti, kalau Iman selalu berdoa dan jadi orang baik,” kata Intan.
Intan berkata, sepanjang perjalanan sukarnya sebagai ibu tunggal, keluarga dan mertuanya menjadi tonggak kekuatan.
Intan tidak lagi menangis sekerap 2 tahun pertama selepas tragedi itu, tetapi kehilangan kekasih hidupnya masih dirasai.
“Saya perlu kuat untuk anak-anak. Terutamanya anak lelaki kami, walaupun dia baru berusia 2 tahun. Dia sangat peka.
“Bila dia terdengar saya menangis, dia akan datang tengok keadaan saya dan tanya kenapa saya menangis.
“Walaupun sebenarnya saya selsema,” katanya tertawa kecil, cuba melegakan nada yang muram.
“Kalau dia membesar menjadi seperti ayahnya, Alhamdulillah.”
Masih ingat Intan akan kata-kata terakhir Hazrin kepadanya: “Aku mencintaimu.”


P/S: Tragis..Aduhhh Sedih..Ya Allah tabahkanlah orang yang diuji..

Monday, 27 February 2017

Apakah?

😒


Kisah 1: “Dia Curang Aku Setia”.


“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."  
( Al-Baqarah ayat 155-156) 


Rita (bukan nama sebenar)seorang pensyarah kanan di salah sebuah universti terkemuka di Malaysia. Jika dilihat dari luaran lengkap dan sempurna hidupnya. Mempunyai rupa paras yang cantik, kerjaya yang hebat dan keluarga yang dilimpahi nikmat hidup yang melimpah ruah Rita hidup dalam mimpi orang lain. Sepanjang hidupnya dia diulit seribu satu kelebihan yang baginya tiada pada orang lain.  Taraf pendidikan PHD dalam bidang komunikasi dari luar negara tidak banyak memberi karenah dalam hidupnya untuk mendapat kerja dikala orang lain berhempas pulas mencari kerja. Bak kata orang, dalam kegawatan ekonomi kini pun hidupnya tidak terjejas malah sering bercuti bersama keluarga di luar negara. Suami Rita pula bukan sahaja mempunyai kedudukan yang tinggi dalam syarikat GLC kerajaan malah suaminya sering menjadi rebutan banyak syarikat koporat yang mahu mengambil khidmatnya. Oleh yang demikian soal gaji janganlah dikira lumayannya tetapi juga waktu kerjanya juga pun agak singkat dibandingkan dengan orang lain. Suaminya Rita hanya berkerja 4 hari seminggu 3 hari berbakinya biasanya dihabiskan untuk memenuhi hobinya bermain golf dalam atau di luar negara. Jika dilihat pada mata kasar pasti yang melihatnya sebagai manusia paling bahagia. Gaya hidup yang penuh elitis menjadikan keluarga ini hidup penuh warna warni nikmat dunia.


Rita dan suami telah berkahwin hampir 16 tahun. Dikurniakan 2 orang anak lelaki dan rumah agam yang serba indah. Rita tinggal di satu kawasan elit di Petaling Jaya. Bukan sahaja dikelilingi suasana yang penuh ekslusif malah mereka sering didampingi kaum keluarga dan sahabat handai. Tetapi semua itu kini tiada lagi makna untuknya. Rita memulakan bicara “ Ustaz saya hanya berlakon bahagia dalam perkahwinan saya”. Tambahnya “ Sebenarnya saya tidak bahagia dan derita”. Sambil mengesat air mata yang mula berjurai laju membasahi pipinya. Hari ini Rita tidak dapat lagi membendung apa yang terbuku dalam hatinya. Hatinya yang telah remuk dan hancur kerana kecurangan. Kecurangan itulah yang membawa padah dalam keluarganya. Kecurangan itu baginya bagaimana tsunami yang meranap segala yang dia ada.


“ Ustaz, hidup kami sekeluarga sangat mewah. Kemewahan hidup menyebabkan saya lalai dan leka dalam hidup saya. Semua kehendak dapat saya penuhi dengan kemewahan hidup hingga tidak pernah peduli mana yang halal mana yang haram. Mana dosa mana yang pahala. Mana yang syurga mana yang neraka. Kehidupan saya hanyalah “enjoy”. Bagi saya mana-mana orang yang mahu memberi teguran dan nasihat pada saya perlu melihat apakah darjat dan harta yang mereka ada. Saya sombong ustaz. Kesombongan saya telah membutakan mata saya. Memang benar suami sering memenuhi setiap kehendak saya tetapi kekayaan membuatkan kami terus alpa dalam buaian dunia. Berparti, berdisko dan minum minuman keras adalah kebiasaan dalam kehidupan kami. Saya tidak minum arak ustaz tetapi saya bangga suami saya minum arak”. Rita tertunduk dan hanya tangisan yang memecah kesunyian di dalam bilik rundingcara. Ustaz hanya diam dan hanya matanya yang melirik agar Rita terus meluahkan deritanya selama ini. “ Ustaz, semuanya berubah selepas 7 tahun kami berkahwin ustaz. Satu ketika suami saya tiba-tiba sakit. Banyak hospital dan pakar kami jumpa sehingga kami berjumpa dengan pakar kulit apabila kulit suami saya mula berbintik-bintik merah. Doktor minta suami membuat saringan ujian darah dan keputusannya suami saya HIV positif”. Rita ketika ini terus menahan sedu sedannya. Tangisannya semakin kuat seolah anak kecil yang menangis. Tudung labuhnya sudah pun basah digenangi air mata yang deras laju turun umpama turunnya air terjun ketika hujan.


Dalam tangis Rita gagahkan mahu meluahkan segalanya hari ini. Baginya derita memendam rasa sangat menyakitkan dan menyeksakan. “ Ustaz suami saya mengaku telah mengadakan hubungan seks luarnikah ketika beliau ke Vietnam atas urusan kerja. Katanya ia berlaku hanya sekali ketika dia mabuk ketika pulang dari kelab malam yang dikunjunginya di sana. Ketika itu saya hanya terdiam dan hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancur remuknya hati saya. Saya seolah telah hilang segala-galanya. Semua kemewahan yang saya ada seolah sudah tidak bermakna malah saya mula merasakan terganggu dengan kemewahan yang saya ada ketika itu ustaz. Saya cuba bertenang dan pengakuan suami sedikit memberi ketenangan kerana masih ada kejujuran dalam dirinya walaupun ia tidak mengubah apa-apa ketika ini.” Sambung cerita Rita lagi. Menurut Rita insiden itu telah merubah segala dalam hidupnya. Jika dulu dalam keluarganya hampir tiada langsung Ad-Din dalam kehidupan sehari-hari. Kini semuanya telah berubah. Rita mula sedar betapa hebat mana pun manusia jika Allah menariknya ia akan berlaku sekelip mata.


Pada peringkat awal Rita akan sukar untuk menerima takdir ini. Dia merasakan dunia ini gelap seketika. Ketika ini yang terpacul dari mulutnya hanya tasbih, tahmid dan tahlil. Hanya itu sumber kekuatan yang dia ada. Gerak kembali mencari agama dalam hidup telah bermula saat itu juga. Telah menyelinap satu perasaan dalam hatinya yang Allah menyayanginya. Perasaan itu sangat menenangkannya. Takdir Allah juga Rita telah diberi rezeki lain juga ketika dia masih bertarung menghadapi ujian yang sangat getir dalam hidupnya. Dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tempoh pengajiannya ialah 4 tahun.  Hasil perbincangan dengan suami maka mereka sekeluarga telah menetap di United Kingdom selama 4 tahun. Tempoh inilah sebenarnya membuatkan Rita dapat mencipta alasan untuk dia lari dari kehidupanya sebelum ini. Hebat sungguh perancangan Allah. Walaupun suami telah dijangkiti HIV namun Rita tidak memohon cerai kerana masih sayang kepada suaminya. Malah sikap suami yang telah bertaubat menyebabkan dia memaafkan dan menerima suaminya seadanya. Perkahwinan mereka bertahan hingga sekarang walaupun Rita sebenarnya tahu dia tidak hidup seperti yang diharapkan. Rahsia suaminya HIV positif hanya dia yang tahu. Anak-anak pun tidak tahu tentang perkara ini. Sekarang sudah hampir 8 tahun mereka merahsiakan perkara ini. “ Ustaz orang pertama yang saya beritahu perkara ini. Saya agak tertekan sekarang ustaz. Sampai bila saya mahu hidup begini. Hidup dalam kepalsuan bahagia sedang sebenar palsu belaka.” Rita menyambung kata-katanya, “ Ustaz, saya mahu bercerai. Saya tidak mahu lagi hidup dalam kepura-puraan. Akibat kepura-puraan ini saya derita. Sekarang pun doktor telah telah mengesahkan bahawa saya mengidap penyakit jantung kerana stress. Saya terpaksa bercakap tidak benar dengan doktor bahawa saya tertekan kerana banyak kerja di universiti. Tapi sebenar bukan itu masalah sebenar. Saya mahu bertanya kepada Ustaz, jika saya memohon cerai apakah itu tindakan yang betul kerana dalam hati saya masih ada kasihan dengan suami disamping anak-anak saya yang pasti tidak faham dengan tindakan saya ini kerana saya berjanji tidak menceritakan hal ayah mereka kerana mereka sangat sayangkan ayah mereka. Tetapi sampai bilakah saya mesti menipu diri sendiri bahawa saya sudah tiada hati dengan suami malah sekarang pun adakalanya benci melihat kelibatnya ”.


Sesi perbincangan hampir sejam telah berlalu. Rita mahu meminta diri. “Terima kasih ustaz. Terima kasih atas nasihat dan panduan. Lega rasanya jiwa dan perasaan saya sekarang. Insyallah rasanya inilah jawapan untuk istikharah saya selama ini. Hampir 8 tahun baru sekarang hati saya betul-betul rasa begitu tenang. Terima kasih sekali lagi ustaz”. Rita kemudian berlalu pergi. Nampak dalam matanya ada satu tekad dan azam yang mahu dia zahirkan untuk mencari harapan yang hilang. Harapan yang hilang itu akibat kecurangan. Kecurangan yang mengajar dia bahawa hanya cintanya kepada Allah yang setia.


 

Tuesday, 10 January 2017

Hari ini..

Kehidupan kini penuh ranjau berduri.
Bahawa seringkali kita melihat bahawa tiada keadilan untuk kehidupan itu.
Itu jika kita melihatnya dengan mata bukan dengan hati.
Memang benar juga adakalanya untuk melihat positif hidup ini agak sukar kerana sering ada kesukaran dalam kehidupan.


Hari ini kita sering melihat betapa kehidupan sekarang diulit mimpi ngeri. Di hadapan sana ada seribu satu cabaran untuk generasi mendatang. Kekesalan mestilah merobek hati apabila kerosakan kini natijah ialah akan datang. Akan datang itu masa depan yang tinggal nanti adalah kekesalan. Oleh itu betapa hidup kini perlunya kita kembali kepada perintah Allah dan Rasul sebagai penyelamat. Tiada apa yang boleh menyelamatkan manusia melainkan agama suci ini iaitu Islam.


Hari ini,
Manusia berlumba mencari kehidupan.
Maka ramai yang menyamar untuk menyinar.
Yang kaya kedekut hingga Nampak miskin.
Yang miskin mahu Nampak kaya.
Yang alim selalu menjadi hakim.
Yang berkuasa selalu nak menjadi juara.
Yang rakyat selalu nak Nampak melarat.
Yang penyamun mahu Nampak Mukminun.
Yang suami mahu Nampak ranggi.
Yang bini mahu Nampak seksi.
Apakah ini kehidupan hari ini.
Semuanya menyamar.
Semuanya palsu.

Wednesday, 28 December 2016

2016 Pergi 2017 datang

Dia pergi Dia datang.
Dia hilang Dia muncul.
Dia Sedih Dia Gembira.
Dia Mati Dia Hidup..


Apakah hidup kamu lebih bermakna..atau tiada makna untuk hidup.


Islam adalah amal.
Islam adalah syurga.
Islam adalah selamat.
Islam adalah bahagia.
Islam adalah cahaya.
Islam adalah segalanya..



Monday, 14 November 2016

Kekuatan Kita kerana Iman kita..

Ramai yang berbicara tentang Donald Trump.. Dia siapa..Hebat kah..puiiii.
Jika kita umat Islam menjadi takut kerana kemenangannya ia sebenarnya tiada beza jika Hilary Clinton menang. Satu Perompak satu Penyamun. Same American..


Bangkitlah umat...
Kekuatan kita Kerana Iman kita..
Kekuatan kita kerana Syahadah kita..
Kekuatan kita kerana Ihsan kita..
Kekuatan kita kerana Ukhwah kita..
Kekuatan kita kerana Al-Quran dan Sunnah Kita..
Kekuatan kita ada pada kita..


Insaf lah..
Ingat lah..
Taubat lah..
Allah Maha Mengalahkan..

Alhamdulillah..Jika Benar Yang Di Kata..

CNP:
Beberapa hari lepas, ada pertemuan antara beberapa pimpinan PAS dengan beberapa ilmuan yang disebut sebagai kumpulan pencinta hadis nabi SAW atau dikenali sebagai golongan salafi.
Pertemuan tersebut dibuat bagi mendapat pencerahan berkaitan perbahasan ilmiah berkaitan usul pensendirian pindaan Akta 355 yang sedang hangat dalam cuaca politik negara hari ini dan bertujuan memperkasakan peranan mahkamah syariah dalam negara.
Hasil awal yang disebarkan sebaik selesai pertemuan itu ialah PAS akhirnya mengakui bahawa menolak untuk menyokong usul pindaan akta itu tidaklah menyebabkan seseorang itu menjadi kafir. Maka tiada masalah untuk sesiapa pun menolak usul berkenaan kerana ia bukan bermaksud menolak hukum syariah.
Beberapa penyokong PAS berasa tersinggung dengan kenyataan itu yang dianggap tidak menepati isi atau tujuan sebenar pertemuan. Ia seolah-olah menggambarkan PAS suka menghukum dan membiarkan ahlinya mengkafirkan sesiapa sahaja yang menentang usaha-usaha agama yang dibawa PAS.
Maka ada pula jawaban balas daripada ahli PAS - yang juga seorang pimpinan Pemuda PAS - cuba menggambarkan bahawa pimpinan utama parti dalam pertemuan itu berjaya menjawab beberapa isu berkaitan secara jelas dan meyakinkan sehingga ada kalangan pihak 'sebelah sana' diam "terkesima" dengan hujah-hujah yang disampaikan.
Jawapan balas daripada ahli PAS yang turut hadir dalam pertemuan itu secara tidak langsungnya menolak dakwaan awal bahawa pertemuan itu berakhir dengan pimpinan PAS akur dengan kerenah ahli PAS yang suka menghukum dan mengkafirkan seseorang.
Ia tidak berakhir di situ. Pihak yang saya sebut sebagai mewakili kumpulan salafi pula menjadi panas. Mereka marah dengan perkataan "terkesima" yang bagi mereka membawa maksud "hilang hujah" dan kalah. Mereka membalas balik sama ada melalui tulisan atau lisan yang disebar melalui video. Maka berlakulah balas-membalas dan cabar-mencabar.
Kerana PAS 'orang agama'
Setakat yang saya tahu, tiada pimpinan utama PAS yang memberi komentar. Mungkin saya adalah orang pertama yang mengulasnya melalui tulisan ini.
Saya tidak tahu sama ada ianya baik atau sebaliknya walaupun sudah tentu saya menghasratkan yang terbaik daripada tulisan ini.
Fokus saya ialah isu kafir mengkafir dalam polemik umat untuk kembali kepada agama Islam.
Sejak awal sejarah Islam, isu kafir mengkafir ini adalah isu siapa lebih Islam daripada siapa. Hampir tiada orang yang menolak agama mengkafirkan orang yang mahukan agama. Ertinya, isu ini adalah isu "orang agama".
Justeru PAS turut terlibat dalam isu ini. PAS sering kali terjebak bagi menyelesaikan isu yang paling kritikal dalam kemelut umat sepanjang zaman ini. Ini adalah kerana PAS adalah "orang agama". Adakah PAS sahaja yang terjebak? Jawabannya tidak.
Di negara kita, juga di negara-negara umat Islam, isu kafir mengkafir adalah berpanjangan dan melata rewa. Ada kumpulan khalaf yang mengkafirkan kumpulan salafi. Begitu juga sebaliknya, ada kumpulan salafi yang mengkafirkan kumpulan khalaf.
Ada aliran madrasah yang mengkafirkan aliran madrasah lain. Ada aliran politik yang mengkafirkan aliran politik lain. Bahkan sesama kumpulan khalaf atau sesama kumpulan salafi, mazhab sesama mazhab dan yang saling sealiran pun, kafir mengkafir berlaku.
Ertinya, ketika ada yang menuduh PAS dengan budaya kafir mengkafir, mereka juga tidak mampu menafikan bahawa aliran mereka juga berhadapan isu yang sama. Menuduh lawan sebagai kafir dan mereka lebih Islam daripada lawan mereka.
Padam budaya buruk
Kafir mengkafir adalah jenayah paling buruk di dalam agama. Ia adalah tindakan memutuskan apa yang disambung oleh Allah. Ia memutuskan persaudaraan paling kukuh di antara manusia. Ia adalah tindakan menghumbankan ahli syurga pilihan Allah ke dalam lubuk neraka menggunakan kuasa yang tidak pernah Allah izinkan.
Oleh kerana ia adalah buruk sekali, maka kesannya adalah buruk sekali juga. Untuk akhirat, kekafiran itu akan kembali kepada si penuduh. Dia akan mendapat murka paling besar daripada Allah.
Untuk dunia, kesannya juga dahsyat sekali. Ia bukan setakat memecahbelahkan umat kepada puak-puak bersengketa, bahkan ia bagai bom jangka yang bila-bila masa sahaja boleh meledakkan api perang dan pertumpahan darah.
Anda perhatikan, oleh kerana dua kumpulan besar Islam iaitu Sunni dan Syiah sering dipanaskan dengan isu kafir mengkafir, maka pertumpahan darah sehingga kini masih tidak mampu dielakkan. Ia perang ratusan tahun yang belum berakhir. Jika ada yang berusaha mengelakkan pertumpahan darah dan mengukuhkan hubungan, akan ada kumpulan daripada kedua-dua pihak yang lebih besar akan memainkan isu kafir mengkafir, lalu terpinggirlah usaha peredaan itu.
Sudah pasti bagi yang menginsafi dan menyedari bahaya kafir mengkafir, mereka akan berusaha memadamkan budaya buruk ini. Walau apa perselisihan sekalipun, selama mana seseorang itu adalah ahli syahadatain dan ahli kiblat yang satu serta tidak melakukan tindakan syirik nyata yang tidak boleh ditakwilkan lagi, maka dia adalah muslim dan diikat dengan persaudaraan Islam yang kukuh melampaui persaudaraan darah dan tanah air.
Kita saling menyedari keperluan untuk mempromosi persaudaraan Islam, bahkan persaudaraan sesama manusia juga. Dunia hari ini semakin meruntuh dengan tamadun kebendaan dan kekufuran yang semakin merudum dan di akhir hayatnya.
Tiada ganti untuk kesejahteraan sejagat selain ilmu dan pengajaran Islam yang benar. Tetapi selama mana umat Islam terus bersengketa, selama itulah capaian menuju kesatuan dan kekuatan agak jauh untuk dikecapi.
Tiada yang tidak sedih jika kumpulan Islam yang diwakilinya dicalit dengan isu kafir mengkafir. PAS lama dituduh menghukum umat. Ulama PAS bangkit menolak dakwaan itu. PAS menerima bahawa mereka hanya menerangkan hukum ketika pemikiran sekularisasi melanda negara dan merosakkan akidah.
Kesannya amat baik dan nyata. Tiada lagi penghinaan terhadap agama Allah dan syariahnya. Tetapi musuh PAS terus saja membesarkan isu kafir mengkafir sebagai budaya PAS. Dengannya mereka mengharapkan PAS ditolak sebagai parti yang memecah belahkan umat Islam.
Sekarang perhatikan, kita berhadapan dua isu utama. Pertama, isu kumpulan yang memainkan isu kafir mengkafir dengan mengkafirkan lawan mereka. Kedua, isu kumpulan (A) yang menuduh kumpulan lain (B) mengkafirkan kumpulan mereka (A).
Kumpulan pertama adalah buruk kerana mereka mengkafirkan orang. Kumpulan kedua pula buruk kerana mereka mendakwa kumpulan lain megkafirkan mereka. Kumpulan yang dituduh akan membalas balik dengan yang mungkin lebih tajam.
Saya menulis bukan bertujuan membersihkan PAS, bahkan saya bertujuan membersihkan semua kumpulan daripada tuduhan kafir mengkafir. Ia sama ada menuduh atau mendakwa dituduh. Setiap jemaah akan tetap ada pentaksub. Pentaksub biasanya jahil.
Jika mereka berilmu, maka mereka sombong. Kedua-duanya adalah penyakit yang ada di dalam mana-mana jemaah di mana-mana dan pada masa mana pun.
Perbezaan hanyalah pada tahapnya. Jemaah yang berilmu dan bertakwa tinggi akan lebih selamat dan benar berbanding yang di belakangnya.
Menuduh kafir adalah terjun ke lubang digali sendiri. Menuduh orang lain menuduh kita kafir adalah terjun ke lubang galian musuh. Sebagaimana musuh Islam seronok melihat kita saling kafir mengkafir sesama sendiri, begitulah juga mereka akan berusaha memanaskan dan melaga-lagakan agar isu kafir mengkafir tidak padam dan tamat.
Saya mencadangkan agar kita sebagai muslim yang mencintai ilmu, takwa, kesatuan dan kebangkitan Islam agar menginsafi bahawa mengheret dan membesarkan isu takfir atau kafir mengkafir ini adalah kerja dan perangkap musuh Islam.
Sebagaimana saya benci PAS mengkafirkan sesama muslim, saya juga benci PAS dituduh suka mengkafirkan sesama muslim. Sebagaimana saya benci begitu, saya juga cukup sedar bahawa jemaah lain juga memiliki perasaan yang sama.

Mereka benci mengkafirkan orang lain dan mereka juga benci dituduh suka mengkafirkan orang lain. Saya yakin bahawa jemaah saya dan jemaah lain berusaha memadamkan budaya takfir yang memecahbelahkan umat Islam yang paling dimurkai Allah ini.
Siapakah yang terbaik di antara kita? Ya, mari kita bersetuju bahawa yang terbaik adalah yang saling membina diri masing-masing tanpa perlu jatuh di lubang galian sendiri atau di lubang galian musuh dengan isu kafir mengkafir yang memutuskan ikatan akidah dan persaudaraan Islam.

NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ ketua Pemuda PAS merangkap anggota parlimen Pasir Mas. Tulisan ini diterbitkan lebih dulu di Harakahdaily

Wednesday, 9 November 2016

Sama saje.. Kapitalisme


Donald Trump atau Hilary Clinton sama saje. Huhh..Bangkit Wahai umat Islam. Apakah kita terus bergantung pada mereka yang hanya tahu mengejar dunia tanpa tahu kepentingan akhirat. Amerika tetap Amerika.. Perompak sama saje. Cuma muka mungkin berbeza..