Monday, 27 February 2017

Apakah?

😒


Kisah 1: “Dia Curang Aku Setia”.


“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."  
( Al-Baqarah ayat 155-156) 


Rita (bukan nama sebenar)seorang pensyarah kanan di salah sebuah universti terkemuka di Malaysia. Jika dilihat dari luaran lengkap dan sempurna hidupnya. Mempunyai rupa paras yang cantik, kerjaya yang hebat dan keluarga yang dilimpahi nikmat hidup yang melimpah ruah Rita hidup dalam mimpi orang lain. Sepanjang hidupnya dia diulit seribu satu kelebihan yang baginya tiada pada orang lain.  Taraf pendidikan PHD dalam bidang komunikasi dari luar negara tidak banyak memberi karenah dalam hidupnya untuk mendapat kerja dikala orang lain berhempas pulas mencari kerja. Bak kata orang, dalam kegawatan ekonomi kini pun hidupnya tidak terjejas malah sering bercuti bersama keluarga di luar negara. Suami Rita pula bukan sahaja mempunyai kedudukan yang tinggi dalam syarikat GLC kerajaan malah suaminya sering menjadi rebutan banyak syarikat koporat yang mahu mengambil khidmatnya. Oleh yang demikian soal gaji janganlah dikira lumayannya tetapi juga waktu kerjanya juga pun agak singkat dibandingkan dengan orang lain. Suaminya Rita hanya berkerja 4 hari seminggu 3 hari berbakinya biasanya dihabiskan untuk memenuhi hobinya bermain golf dalam atau di luar negara. Jika dilihat pada mata kasar pasti yang melihatnya sebagai manusia paling bahagia. Gaya hidup yang penuh elitis menjadikan keluarga ini hidup penuh warna warni nikmat dunia.


Rita dan suami telah berkahwin hampir 16 tahun. Dikurniakan 2 orang anak lelaki dan rumah agam yang serba indah. Rita tinggal di satu kawasan elit di Petaling Jaya. Bukan sahaja dikelilingi suasana yang penuh ekslusif malah mereka sering didampingi kaum keluarga dan sahabat handai. Tetapi semua itu kini tiada lagi makna untuknya. Rita memulakan bicara “ Ustaz saya hanya berlakon bahagia dalam perkahwinan saya”. Tambahnya “ Sebenarnya saya tidak bahagia dan derita”. Sambil mengesat air mata yang mula berjurai laju membasahi pipinya. Hari ini Rita tidak dapat lagi membendung apa yang terbuku dalam hatinya. Hatinya yang telah remuk dan hancur kerana kecurangan. Kecurangan itulah yang membawa padah dalam keluarganya. Kecurangan itu baginya bagaimana tsunami yang meranap segala yang dia ada.


“ Ustaz, hidup kami sekeluarga sangat mewah. Kemewahan hidup menyebabkan saya lalai dan leka dalam hidup saya. Semua kehendak dapat saya penuhi dengan kemewahan hidup hingga tidak pernah peduli mana yang halal mana yang haram. Mana dosa mana yang pahala. Mana yang syurga mana yang neraka. Kehidupan saya hanyalah “enjoy”. Bagi saya mana-mana orang yang mahu memberi teguran dan nasihat pada saya perlu melihat apakah darjat dan harta yang mereka ada. Saya sombong ustaz. Kesombongan saya telah membutakan mata saya. Memang benar suami sering memenuhi setiap kehendak saya tetapi kekayaan membuatkan kami terus alpa dalam buaian dunia. Berparti, berdisko dan minum minuman keras adalah kebiasaan dalam kehidupan kami. Saya tidak minum arak ustaz tetapi saya bangga suami saya minum arak”. Rita tertunduk dan hanya tangisan yang memecah kesunyian di dalam bilik rundingcara. Ustaz hanya diam dan hanya matanya yang melirik agar Rita terus meluahkan deritanya selama ini. “ Ustaz, semuanya berubah selepas 7 tahun kami berkahwin ustaz. Satu ketika suami saya tiba-tiba sakit. Banyak hospital dan pakar kami jumpa sehingga kami berjumpa dengan pakar kulit apabila kulit suami saya mula berbintik-bintik merah. Doktor minta suami membuat saringan ujian darah dan keputusannya suami saya HIV positif”. Rita ketika ini terus menahan sedu sedannya. Tangisannya semakin kuat seolah anak kecil yang menangis. Tudung labuhnya sudah pun basah digenangi air mata yang deras laju turun umpama turunnya air terjun ketika hujan.


Dalam tangis Rita gagahkan mahu meluahkan segalanya hari ini. Baginya derita memendam rasa sangat menyakitkan dan menyeksakan. “ Ustaz suami saya mengaku telah mengadakan hubungan seks luarnikah ketika beliau ke Vietnam atas urusan kerja. Katanya ia berlaku hanya sekali ketika dia mabuk ketika pulang dari kelab malam yang dikunjunginya di sana. Ketika itu saya hanya terdiam dan hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancur remuknya hati saya. Saya seolah telah hilang segala-galanya. Semua kemewahan yang saya ada seolah sudah tidak bermakna malah saya mula merasakan terganggu dengan kemewahan yang saya ada ketika itu ustaz. Saya cuba bertenang dan pengakuan suami sedikit memberi ketenangan kerana masih ada kejujuran dalam dirinya walaupun ia tidak mengubah apa-apa ketika ini.” Sambung cerita Rita lagi. Menurut Rita insiden itu telah merubah segala dalam hidupnya. Jika dulu dalam keluarganya hampir tiada langsung Ad-Din dalam kehidupan sehari-hari. Kini semuanya telah berubah. Rita mula sedar betapa hebat mana pun manusia jika Allah menariknya ia akan berlaku sekelip mata.


Pada peringkat awal Rita akan sukar untuk menerima takdir ini. Dia merasakan dunia ini gelap seketika. Ketika ini yang terpacul dari mulutnya hanya tasbih, tahmid dan tahlil. Hanya itu sumber kekuatan yang dia ada. Gerak kembali mencari agama dalam hidup telah bermula saat itu juga. Telah menyelinap satu perasaan dalam hatinya yang Allah menyayanginya. Perasaan itu sangat menenangkannya. Takdir Allah juga Rita telah diberi rezeki lain juga ketika dia masih bertarung menghadapi ujian yang sangat getir dalam hidupnya. Dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tempoh pengajiannya ialah 4 tahun.  Hasil perbincangan dengan suami maka mereka sekeluarga telah menetap di United Kingdom selama 4 tahun. Tempoh inilah sebenarnya membuatkan Rita dapat mencipta alasan untuk dia lari dari kehidupanya sebelum ini. Hebat sungguh perancangan Allah. Walaupun suami telah dijangkiti HIV namun Rita tidak memohon cerai kerana masih sayang kepada suaminya. Malah sikap suami yang telah bertaubat menyebabkan dia memaafkan dan menerima suaminya seadanya. Perkahwinan mereka bertahan hingga sekarang walaupun Rita sebenarnya tahu dia tidak hidup seperti yang diharapkan. Rahsia suaminya HIV positif hanya dia yang tahu. Anak-anak pun tidak tahu tentang perkara ini. Sekarang sudah hampir 8 tahun mereka merahsiakan perkara ini. “ Ustaz orang pertama yang saya beritahu perkara ini. Saya agak tertekan sekarang ustaz. Sampai bila saya mahu hidup begini. Hidup dalam kepalsuan bahagia sedang sebenar palsu belaka.” Rita menyambung kata-katanya, “ Ustaz, saya mahu bercerai. Saya tidak mahu lagi hidup dalam kepura-puraan. Akibat kepura-puraan ini saya derita. Sekarang pun doktor telah telah mengesahkan bahawa saya mengidap penyakit jantung kerana stress. Saya terpaksa bercakap tidak benar dengan doktor bahawa saya tertekan kerana banyak kerja di universiti. Tapi sebenar bukan itu masalah sebenar. Saya mahu bertanya kepada Ustaz, jika saya memohon cerai apakah itu tindakan yang betul kerana dalam hati saya masih ada kasihan dengan suami disamping anak-anak saya yang pasti tidak faham dengan tindakan saya ini kerana saya berjanji tidak menceritakan hal ayah mereka kerana mereka sangat sayangkan ayah mereka. Tetapi sampai bilakah saya mesti menipu diri sendiri bahawa saya sudah tiada hati dengan suami malah sekarang pun adakalanya benci melihat kelibatnya ”.


Sesi perbincangan hampir sejam telah berlalu. Rita mahu meminta diri. “Terima kasih ustaz. Terima kasih atas nasihat dan panduan. Lega rasanya jiwa dan perasaan saya sekarang. Insyallah rasanya inilah jawapan untuk istikharah saya selama ini. Hampir 8 tahun baru sekarang hati saya betul-betul rasa begitu tenang. Terima kasih sekali lagi ustaz”. Rita kemudian berlalu pergi. Nampak dalam matanya ada satu tekad dan azam yang mahu dia zahirkan untuk mencari harapan yang hilang. Harapan yang hilang itu akibat kecurangan. Kecurangan yang mengajar dia bahawa hanya cintanya kepada Allah yang setia.


 

No comments:

Post a Comment