
Rampasan
kuasa tentera Mesir menggulingkan Presiden Morsi memerlukan analisis
lebih mendalam, termasuk sejarah panjang pemerintahan diktator negara
itu dan latar belakang mengenai liku-liku perit yang dilalui Ikhwanul
Muslimin selama hampir 60 tahun.
Prof Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman
(gambar),
Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dirasakan
tokoh akademik dan pengamat politik Timur Tengah yang paling layak
memberikan pandangan terhadap krisis di Mesir. Wakil Harakah, AHMAD
LUTFI OTHMAN dan ARIF ATAN menemubual Dr Redzuan di kediamannya, Sungai
Ramal, Kajang, pertengahan Julai lalu.
HARAKAH:
Presiden pertama Mesir yang dipilih rakyat dalam satu pilihan raya yang
diakui adil dan bebas telah digulingkan hanya selepas setahun berkuasa.
Ada pihak melihat dalang di sebaliknya adalah pihak Barat, terutamanya
Amerika Syarikat. Sebagai tokoh akademik yang lama mengikuti politik
Mesir, termasuk gerakan Ikhwanul Muslimin, tentu Prof lebih arif tentang
apa sebenarnya yang berlaku? REDZUAN: Barat
sebenarnya sudah lama merancang untuk bertindak dan menindas gerakan
Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada 1928. Kejayaan Ikhwanul Muslimin
mengambil alih kuasa selepas ditindas lebih enam puluh tahun menimbulkan
kegusaran, termasuklah juga rejim monarki di negara Arab yang turut
merasakan kedudukan mereka akan tergugat jika gerakan Islam ini berjaya
mengemukakan alternatif kepada pelbagai kemelut yang dihadapi oleh umat
Arab.
Untuk memahami apa yang berlaku di Mesir, kita harus
meneliti sejarah yang pernah berlaku sebelum ini. Sejarah penindasan ke
atas Ikhwanul Muslimin pada 1948-1954 seolah-olah berulang dengan
menggunakan skrip sama. Contohnya, pada 13 Julai lalu, berita
menyiarkan bahawa Morsi akan disiasat kerana dikatakan terlibat dalam
kegiatan yang memcetuskan keganasan. Pendukung Ikhwanul Muslimin yang
dibunuh dan dianinya, tetapi mereka pula yang dituduh.
Nasib
yang sama pernah menimpa Ustaz Abdul Qadir Audah, pemimpin Ikhwanul
Muslimin yang tersohor yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada
tahun 1954 kerana dituduh mencetuskan keganasan dan terlibat dalam
komplot cubaan bunuh ke atas Gamal Abd al-Nasser. Bersama-sama beliau
yang turut menjalani hukuman gantung, termasuklah Abd al-Fattah Ismail,
Muhammad Al-Faghali, Yusof Talaat, Ibrahim al-Tayyeb dan lain-lain.
Pada
1966 Sayyid Qutb dijatuhi hukuman gantung. Bukti yang digunakan dan
digembar-gemburkan ialah Ikhwanul Muslimin terlibat dalam kegiatan
bersenjata dan pelbagai jenis senjata ditemui di pejabat gerakan
tersebut. Ini juga perkara yang dihebohkan oleh tentera Mesir dengan
mengatakan bahawa senjata ditemui di ibu pejabat Ikhwanul Muslimin di
Moqattam dan penemuan tersebut adalah bagi mengesahkan gerakan ini
menaja keganasan dan wajar ditindas.
Tuduhan yang dikenakan ke
atas Ikhwanul Muslimin juga hampir sama seperti enam dekad lalu. Bagi
mendapat sokongan rakyat tindakan General Abd al-Fattah al-Sisi sama
seperti Gamal Abd al-Nasser pada 1954, iaitu mengembleng rakyat
menyatakan sokongan kepada beliau melalui Hubbat al-Ahrar (Liberation
Rally).
Atas nama sokong kepada regimnya rakyat berhimpun bagi
menyatakan sokongan kepada Nasser dan mengutuk Ikhwanul Muslimin. Ini
yang dilakukan oleh tentera pada hari ini dengan menaja demonstrasi
rakyat bagi menyokong regim dan menolak Ikhwanul Muslimin yang dikatakan
antinasional.
Sama seperti kira-kira 60 tahun lalu, tentera
tidak ada belas kasihan dan bertindak sewenang-wenang ke atas pendukung
Ikhwanul Muslimin termasuk melakukan penindasan kejam. Ternyata
penindasan tanpa belas kasihan ini memberi impak yang amat besar kepada
Ikhwanul Muslimin.
Tahun 1948-1954 merupakan tahun penuh cabaran
kepada Ikhwanul Muslimin. Pada Februari 1949, pengasas dan pemimpinnya,
Hasan al-Banna mati ditembak. Sejak itu Ikhwanul Muslimin terus
ditindas dan seterusnya diharamkan pada 1954 hinggalah selepas Husni
Mubarak diturunkan dari jawatan presiden berikutan berlakunya
Kebangkitan Arab pada 2011. Ini bermakna Ikhwanul Muslimin telah
diharamkan selama 67 tahun dan ribuan anggotanya pernah dipenjarakan dan
puluhan yang lain mati di tali gantung.
Dari segi sejarah,
tentera menindas Ikhwanul Muslimin selama hampir enam dekad. Tentera
memandang Ikhwanul Muslimin dengan penuh curiga. Dengan menggunakan
kekuatan senjata dan kuasa yang dimiliki tentera tidak pernah
menunjukkan belas kasihan kepada Ikhwanul Muslimin. Melihat rekod lalu
tiada perkara yang boleh menghalang mereka untuk terus berusaha menindas
Ikhwanul Muslimin.
Maknaya, apa yang berlaku hari
ini mengulangi penindasan kejam terhadap Ikhwanul Muslimin 60 tahun
lalu. Apakah mungkin ia mengakibatkan Ikhwan sukar untuk bangkit semula?
Tentera cuba mengulangi pendekatan yang pernah
mereka lakukan lebih 60 tahun lalu. Namun begitu, suasana sudah
berubah. General Abd al-Fattah al-Sisi tidak sehebat Nasser dan kemajuan
dalam teknologi maklumat menjadikan penipuan dan propaganda yang
mengelirukan rakyat tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.
Natijah
kepada konflik Ikhwanul Muslimin dan tentera banyak bergantung sejauh
mana gerakan Islam ini mampu bertahan. Rekod yang dimiliki Ikhwanul
Muslimin menunjukkan gerakan tersebut mempunyai daya tahan yang luar
biasa.
Walaupun enam dekad ditindas dengan para pemimpin
utamanya ramai mati dibunuh dan penindasan dilakukan secara berterusan,
namun Ikhwanul Muslimin masih bersisa dan mampu bangkit. Inilah yang
berlaku pada 2011, walaupun ditindas rejim Mubarak, namun mampu muncul
sebagai organisasi yang paling tersusun dan memberikan alternatif kepada
rakyat.
Walaupun tentera dan kumpulan anti-Ikhwanul akan
menggunakan pelbagai cara untuk menghapuskan pengaruhnya, tetapi suasana
2013 tidak sama seperti 1954. Hari ini Ikhwanul Muslimin mampu membawa
jutaan penyokongnya di jalan raya dari seluruh 27 Muhafazah (wilayah) di
Mesir.
Namun begitu, situasinya masih sama, iaitu bagi kumpulan
anti-Ikhwan yang terdiri daripada penyokong sosialis, nasionalis,
liberalis, sekularis dan kelompok tariqat tertentu mereka sanggup
mengetepikan perbezaan dan permusuhan sesama mereka semata-mata bagi
menentang gerakan Islam ini.
Mengimbau sejarah
lalu, Ikhwanul Muslimin yang dizalimi seperti tidak mendapat simpati
atau sokongan daripada masyarakat antarabangsa termasuk kalangan
kumpulan Islam sendiri. Mengapa terjadi begitu? Ketika
Gamal Abd al-Nasser menjadi Presiden Mesir beliau berjaya menggerakkan
jentera propagandanya sehingga menggelap dan menggerhanakan peranan
Ikhwanul Muslimin. Pengaruh beliau cukup hebat hingga pelajar Malaysia
yang belajar di Universiti al-Azhar, Mesir pada waktu itupun tidak tahu
tentang peranan dan sumbangan Ikhwanul dalam memperjuangkan Islam yang
syumul.
Nasser yang tampil dengan imej Islam digambarkan sebagai
tokoh pemimpin Islam dan tidak hairanlah apabila beliau mati, terdapat
madrasah dan kelompok umat Islam di Malaysia menganjurkan solat ghaib
sebagai tanpa kasih kepada "pemimpin Islam yang banyak berjasa".
Sentimen
anti-Israel yang dilaungkan Nasser menjadikan beliau dikagumi sehingga
umat Islam di Malaysia, termasuk mereka yang pernah belajar di Mesir
tidak menyedari kezaliman dan penindasannya ke atas Ikhwanul Muslimin.
Ini termasuklah apabila Sayyid Qutb dihukum gantung pada 1966, protes
hanya disuarakan sekelompok kecil pelajar Malaysia yang belajar di
Barat.
Menariknya, kebangkitan Islam di Malaysia pada awal
1970-an bukan digerakkan lulusan Mesir, sebaliknya oleh mereka yang
terpengaruh dengan perjuangan dan pemikiran Ikhwanul Muslimin dalam
kalangan pelajar dari universiti tempatan dan mereka yang belajar di
Barat.
Pengaruh Ikhwanul Muslimin yang disebarkan melalui
buku-buku tokoh-tokoh Ikhwanul yang tersohor seperti Hasan al-Banna, Abd
al-Kader Audah, Sayyid Qutb dan lain-lain. Buku-buku ini pula bukan
dalam bahasa Arab tetapi dalam bahasa Inggeris seperti buku Maalim Fit
Tariq oleh Sayyid Qutb yang lebih dahulu dibaca dengan judul Milestones.
Merujuk
kebangkitan rakyat Mesir tiga tahun lalu untuk menumbangkan regim Hosni
Mubarak, ada pendapat mengatakan pada peringkat awal Ikhwanul seperti
menjauhkan diri dan tidak terlibat. Boleh prof jelaskan keadaan
sebenarnya? Perkara ini sering dijadikan
ungkitan penggerak gerakan 25 Januari yang memaksa Husni Mubarak
meletakkan jawatan. Mereka mengatakan Ikhwanul Muslimin menanguk di air
keruh dengan mengambil kesempatan daripada kebangkitan.
Memang ada kebenarannya kerana ketika rakyat mula turun ke jalan
raya, pada peringkat awalnya Ikhwanul Muslimin mengambil pendekatan
tunggu dan lihat. Pada awal Februari 2011 barulah Ikhwanul Muslimin
turut mengerahkan pengikutnya ikut serta dalam protes yang dilakukan.
Pendekatan
Ikhwanul Muslimin yang terpaksa mengambil pendekatan berhati-hati mudah
difahami kerana gerakan ini sudah terlalu lama berusaha mengerakkan
kebangkitan tetapi gagal mendapat sambutan meluas. Sebaliknya,
kebangkitan yang mereka anjurkan berakhir dengan tragedi apabila ada
ahlinya yang dihukum berat, dipenjarakan dan harta disita.
Hal yang sama pernah berlaku pada 1952 apabila berlaku
kebangkitan rakyat menentang Raja Farouk dan British, Ikhwanul Muslimin
tidak berada berada di barisan hadapan dan tidak terlibat secara
langsung. Apabila Gamal Abd al-Nasser melancarkan revolusi dan berjaya
menggulingkan Raja Farouk, Ikhwanul Muslimin dianggap tidak berperanan
memainkan peranan sebenar.
Dengan pelbagai pengalaman itu,
sebagai usaha mempelbagaikan pendekatan Ikhwanul Muslimin pernah
terlibat secara langsung dalam pilihan raya Mesir. Ikhwanul Muslimin
sudah terlibat dengan pilihan raya sejak 1984 lagi, walaupun bukan
sebagai sebuah parti yang bertanding menggunakan nama gerakan tersebut.
Ia pernah bergabung dengan parti Buruh, Parti Wafd dan bertanding secara
bebas.
Kejayaan terbesar Ikhwanul ialah apabila berjaya meraih
hampir 25 peratus undi dalam pilihan raya Mesir tahun 2007. Namun
begitu, kejayaan besar ini bukan memberikan manfaat kepada Ikhwanul
Muslimin, sebaliknya gerakan Islam ini semakin ditindas. Penindasan yang
berterusan ini mendorong lahirnya dua kelompok kepimpinan dalam
Ikhwanul Muslimin.
Kumpulan konservatif merasakan Ikhwanul Muslimin perlu kembali
fungsinya yang asal iaitu menumpukan kepada dakwah dan tarbiyyah dan
tidak terlibat dalam politik bagi memastikan survival gerakan yang tidak
putus-putus ditindas. Kumpulan reformis pula mencadangkan Ikhwanul
Muslimin perlu melakukan trasformasi dan mengikut contoh AKP di Turki
bagi membolehkan perubahan dilakukan di Mesir.
Dalam muktamar
Ikhwanul Muslimin pada 2010, kumpulan konservatif yang diketuai Badaei
berjaya menguasai kelompok kepimpinan gerakan Islam itu dengan
mengetepikan kumpulan reformis yang diketuai Essam al-Erian.
Bagaimana pula dengan pembabitan Ikhwanul dalam proses pemilihan ahli-ahli Parlimen dan jawatan Presiden Mesir? Sebagai
kumpulan yang dianggap paling tersusun, Ikhwanul Muslimin ternyata
lebih bersedia menghadapi pilihan raya dan berjaya memperoleh kemenangan
dalam pilihan raya tahun 2012. Setelah berjaya mendapat kemenangan
yang amat memberansangkan dalam pilihan raya parlimen, Ikhwanul Muslimin
memutuskan untuk bertanding merebut jawatan presiden.
Pada
peringkat awal Ikhwanul Muslimin secara tegas menyatakan mereka tidak
berminat dengan jawatan itu. Apabila seorang pemimpin kanan Ikhwanul
Muslimin, iaitu Moneim Abd al-Futuh menyatakan beliau berhasrat
bertanding jawatan presiden, beliau dipecat kerana mengingkari keputusan
syura.
Apabila Ikhwanul Muslimin memutuskan untuk merebut
jawatan presiden, calon mereka ialah Khayrat Shater. Namun begitu,
kelayakan beliau untuk bertanding dibatalkan kerana pernah ditahan di
bawah pemerintahan Husni Mubarak. Sebagai gantian Muhammad Morsi dipilih
sebagai calon. Hal yang sama juga berlaku kepada calon Parti Nour,
iaitu, Hazem Abu Ismail yang tidak layak bertanding.
Akhirnya
Morsi yang bertanding menentang mantan Perdana Menteri Mesir di zaman
Mubarak, iaitu Ahmad Syafiq. Morsi menang dengan 51 peratus undi,
walaupun peratus yang keluar mengundi sekitar 32 peratus sahaja. Morsi
merupakan Presiden Mesir yang dilantik secara demokratik.
Soalnya,
walaupun bertanding menentang Syafiq, yang dikira mewarisi Husni
Mubarak, tetapi Morsi hanya mendapat sekitar 52 peratus, tidakkah itu
boleh dianggap sokongan yang berbelah-bagi? Walaupun
Morsi hanya mendapat 52 peratus undi, namun sebagai pilihan raya yang
diiktiraf adil, telus dan bebas, beliau dikira mendapat sokongan
majoriti. Jumlah yang keluar mengundi sebanyak 32 peratus juga tidak
boleh dijadikan alasan bahawa beliau tidak mendapat legitimasi kerana
Husni Mubarak menang pilihan raya dan dilantik sebagai presiden dengan
kadar keluar mengundi sekitar 10 peratus sahaja.
Disebabkan
rakyat tidak yakin dengan pilihan raya, kerana sudah pasti Husni Mubarak
akan menang besar menyebabkan rakyat tidak ambil kisah untuk keluar
mengundi. Lagipun di Mesir pilihan raya mengambil masa yang panjang.
Pilihan raya Mesir yang melibatkan 27 wilayah mengambil masa selama tiga
bulan untuk selesai. Pengundian pula dibahagikan kepada tiga peringkat
dengan setiap peringkat melibatkan sembilan wilayah.
Pilihan
raya Mesir selepas kejatuhan Mubarak dianggap telus, adil dan bebas
kerana dipantau hakim. Parti-parti yang bertanding menggunakan pelbagai
pendekatan untuk memenangi hati pengundi. Sebagai pertubuhan yang
mempunyai jentera di seluruh negara Ikhwanul Muslimin berjaya
menggerakkan penyokongnya untuk ke peti undi dan menyokong partinya.
Selain
Parti Nour, hanya Parti al-Karamah yang dipimpin Hamden Sabahi yang
mampu memberi saingan. Beliau seorang yang berfahaman sosialis dan
pengikut Nasser yang setia. Beliau menggunakan bas dua tingkat sebagai
pendekatan kempen untuk membolehnya menjelajah ke seluruh negara.
Pendekatannya ternyata berkesan apabila berjaya menduduki tempat ketiga
dalam pemilihan jawatan presiden. Hamden Sabbahi merupakan salah seorang
pemimpin Tamarrod yang bersekongkol dengan tentera dan kumpulam sekular
dalam menjatuhkan kerajaan pimpinan Morsi.
Sejarah
Ikhwanul menunjukkan ia turut berpecah membabitkan kepemimpinan
tertinggi setiap kali berlaku peristiwa besar dalam politik Mesir.
Apakah kali ini juga berlaku hal sama? Ikhwanul
gagal menyatukan perpecahan apabila ada pemimpin pertubuhan itu
bertindak keluar kerana perbezaan dari segi pendekatan. Dakwaan cubaan
Morsi untuk "mengIkhwanulkan" Mesir pula tidak lebih propaganda yang
sengaja ditiupkan. Morsi cuba untuk buat yang terbaik tetapi malangnya
dia mewarisi suatu sistem yang sesiapa pun tidak boleh pegang.
Tumbangnya Morsi minggu lepas, Qatar dan Arab Saudi beri USD12 bilion
masuk ke Mesir sebagai bantuan 'soft loan'. Raja Abdullah ucap tahniah
kepada tentera.
Morsi juga mendapat krikan keras daripada sebahagian aktivis Ikhwanul? Terdapat
dalam kalangan golongan Islamis yang menuduh Morsi terlalu berlembut
dan bersikap liberal kerana tidak tegas laksanakan undang-undang
syariah. Pihak sekular pula menolak Morsi kerana dikatakan cuba
mengikwankan Mesir. Pemerintahan Morsi depan serangan pelbagai penjuru
dan keadaan ini dipersulitkan lagi dengan keadaan ekonomi yang semakin
parah sehingga menimbulkan kesulitan kepada rakyat.
Politik Mesir tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh dan pembabitan proaktif pihak tentera... Tentera
Mesir bukan sahaja terlibat dalam menjaga keselamatan. Mereka juga
terlibat dalam pentadbiran dan menguasai ekonomi. Apabila tentera tidak
menyokong Mubarak beliau terpaksa meletak jawatan. Morsi juga dijatuhkan
oleh tentera. Ini bermakna selepas ini sesiapa sahaja boleh tumbangkan
oleh tentera. Tentera Mesir merupakan golongan elit dan kenaikan Mursi
dilihat berisiko menggugat dominasi mereka.
Permusuhan Ikhwanul
Muslimin dan tentera telah berakar umbi berdekad-dekad lamanya. Dengan
sebab itu apabila apabila Amerika Syarikat menyeru kepada pendemokrasian
di Mesir, jawapan Husni Mubarak ialah, “Kalau saya (Mubarak) jatuh,
Ikhwanul akan berkuasa”. Bila Ikhwanul Muslimin berkuasa Amerika
Syarikat amat khuatir dengan perkembangan ini.
Selain berdepan Mubarak dan AS, Ikhwanul Muslimin juga bertembung
dengan kumpulan lain. Mereka termasuklah kumpulan Salafi yang dibiayai
Arab Saudi yang berfahaman Wahabi. Ketika zaman Mubarak, beliau
menggalakkan kumpulan Tarikaq yang tidak menyokong gerakan Islam. Ini
merupakan pendekatan halus bagi melemahkan Ikhwanul Muslimin. Walaupun
golongan sekular juga berpecah kepada pelbagai kumpulan tetapi mereka
bersatu menentang Ikhwanul Muslimin.
Boleh Prof jelaskan kedudukan dan pengaruh pertubuhan dan parti-parti politik Islam di Mesir? Ketika
mula berlakunya kebangkitan rakyat Mesir kumpulan Nour mengeluarkan
fatwa haram hukumnya menentang Mubarak. Namun begitu, apabila Mubarak
jatuh kumpulan ini menyokong kebangkitan rakyat. Dalam konteks politik
Mesir, kumpulan Nour merupakan kumpulan Islam yang kedua berpengaruh
selepas Ikhwanul Muslimin.
Morsi dilihat terlalu berbaik sangka dengan pihak tentera, yang akhirnya menikam balik dirinya. Morsi
tidak mempunyai banyak pilihan. Dalam pentadbiran Morsi mengambil
pendekatan terbuka, termasuklah melantik dalam kalangan orang Kristian
dan bukan ahli Ikhwanul Muslimin dalam pentadbirannya. Morsi cuba
melakukan pelbagai perubahan dalam tempoh 100 hari pemerintahannya,
tetapi amat sukar untuk sesiapa sahaja yang memerintah Mesir melakukan
perubahan secara drastik.
Morsi mewarisi sistem ekonomi yang
lemah dan sistem sosial yang tidak mantap. Ikhwanul Muslimin cuba
bersikap baik dengan tentera seperti pada tahun 1952, tetapi tentera
tidak pernah bersangka baik dengan Ikhwanul.
Prof
juga banyak mengkaji dan menikuti dari dekat lanskap politik di Turki.
Mungkin ada persamaan di antara kedua-dua negara ini dan apakah
pengalaman berharga yang dilalui Erdogan dan partinya yang mungkin boleh
dikongsi dengan realiti di Mesir? Cubaan untuk
mempraktikkan politik Islam di Mesir nampaknya lebih sukar berbanding
Turki yang tebal dengan amalan sekularisme. Walaupun demikian di Turki
terdapat dua parti sekular iaitu Republikan dan Demokrat.
Walaupun
kedua-dua parti berfahaman sekular, namun tidak ada titik pertemuan di
antara kedua-duanya, dan malahan lebih bersedia untuk bekerjasama dengan
parti Islam daripada berpakat sesama mereka. Akhirnya parti Islam itu
berjaya memerintah seperti yang berlaku pada 1996 apabila Parti Refah
berjaya membentuk kerajaan walaupun dengan sokongan 21 peratus undi
sahaja.
Ada pihak bimbang Mesir mungkin mengulangi tragedi berdarah di Syria yang tidak berpenghujung... Tidak
dapat dinafikan terdapat kebimbangan ini. Namun begitu, situasi di
Syria agak berbeza kerana di Mesir masyarakatnya tidak terbahagi kepada
puak. Kekhuatiran yang lebih besar ialah Mesir akan kembali kepada zaman
1970-an dan 1980-an apabila kumpulan Islam mengambil pendekatan
bersenjata sehingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang tiada
penghujung.
Bagi pendukung gerakan Islam termasuk Ikhwanul
Muslimin kemungkinan untuk terjerumus kepada pendekatan ini tidak boleh
ditolak apabila mereka ditindas tanpa belas kasihan. Bagi Ikhwanul
Muslimin pengalaman sejarah mengajar mereka untuk berjuang hingga ke
titisan darah terakhir. Dalam kemelut yang berlaku sama ada mereka
menang atau pasti ditindas secara berterusan sebagaimana yang pernah
berlaku sebelum ini.
Pengalaman di Algeria juga merupakan
iktibar yang amat menjadi keprihatinan kepada aktivis Ikhwanul Muslimin
apabila demokrasi yang diwujudkan di negara tersebut menghalang FIS
daripada terlibat dalam politik dan bertanding dalam pilihan raya.
Pendekatan tentera dan kumpulan sekular hari ini menjurus ke arah
tersebut yang berusaha menyisih Ikhwanul Muslimin daripada berperanan
dalam proses politik di Mesir.
Realiti hari ini menunjukkan
Ikhwanul Muslimin berdepan cabaran hebat untuk menentukan survival masa
depannya. Penentuan masa depannya amat bergantung kepada sejauh mana
ia dapat terus bertahan dan konsisten dalam perjuangan serta dengan
strategi yang lebih baik daripada pihak lain yang menjadi musuh
politiknya.
Ikhwanul Muslimin bukan sahaja berdepan musuh
politik dalam negeri, tetapi juga daripada AS dan Israel yang mempunyai
kepentingan dan tidak mahu melihat gerakan Islam ini berpengaruh.
Walaupun AS menjuarai demokrasi, tetapi negara kuasa besar itu bersifat
hipokrit dalam isu pergolakan politik di Mesir yang menyebabkan Morsi
dilucutkan jawatan. AS dan negara barat tidak bersuara lantang apabila
tentera “merampas kuasa” di Mesir, tetapi memprotes apabila berlakunya
rampasan kuasa di Fiji, Maldive dan lain-lain.
Anehnya, rampasan
kuasa di Mesir bukannya dikutuk, tetapi sebaliknya dijanjikan dengan
bantuan kewangan. Arab Saudi dan beberapa negara Teluk yang merupakan
sekutu kuat AS dan amat khuatir dengan perluasan pengaruh Ikhwanul
Muslimin menjanjikan bantuan sebanyak USD 12 billion kepada Mesir
sebaik-baik sahaja Morsi dilucutkan jawatan oleh tentera.
Perkembangan
di Mesir memperlihatkan manifestasi sikap “double standard” Barat
terhadap Islam. Walaupun Morsi dilantik secara demokrasi, tetapi cara
beliau diturunkan tidak bersifat demokratik.
Jika demonstrasi
jalanan dijadikan tanda aras bagi mengukur populariti bukannya melalui
sokongan peti undi, demokrasi di Mesir bukan maju ke hadapan.
Sebaliknya, Mesir masih terus berada pada zaman gelap seperti
rejim-rejim lalu dan hasrat generasi muda negara itu untuk mewujudkan
masyarat yang mampu bersaing dengan negara lain akan terus tinggal
impian semata-mata.
Tulisan ini telah dipetik dari laman web Harakahdaily.