Mendapat berita mayyit abang ipar telah dijumpai di sekitar tempat jatuhnya 3 hari lalu, hati bagai dihiris. Hirisan itu tentu lebih dahsyat dilalui oleh kakak ku sendiri. Walaubagaimana pun kami sekeluarga bersyukur kerana teka teki di mana menghilangnya abang ipar terjawab dengan penemuan mayyitnya. Hati ini masih boleh bertahan dengan "pemergian" itu tetapi melihat 2 anak kecil yang tidak tahu apa-apa hati ini tersentuh maka datanglah perassan sangat sedih dan syahdu. Tekad dalam hati aku akan cuba sedaya mungkin untuk perjuangan anak-anak ini untuk terus mendapat kasih sayang. Bagaimana caranya? Hingga sekarang aku masih memikirkannya..Perginya abah tidak sampai setahun abang ipar pula menyusul dijemput Ilahi. Risau juga memikirkan mak ketika ini kerana 2 orang ini adalah tonggak harapan mak. Mak sendiri menangis memeluk aku apabila mendapat tahu abang ipar aku telah menuju ke gerbang akhirat. Aku berdoa moga mak sentiasa mendapat perlindungan dari ujian yang lebih getir. Mak sayangkan abang ipar ini kerana wataknya penyayang dan seorang yang santa bertanggungjawab pada keluarganya. Mak kata sehari sebelum turun ke laut abang ipar aku ini agak pendiam dan suka sendirian.
Mati itu sesuatu yang pasti. Semua orang tahu kita semua akan mati. Kebetulan minggu lepas aku mendapat satu jemputan untuk menyampaikan 'bebelan' yang bertajuk Pergi Tak Kembali di salah sebuah jabatan kerajaan di Selayang. Hati sebak dan bercampur takut apabila membuat sedikit telaah tentang tajuk ini. Gerun dan takut bila memikirkan bahawa kehadiran Malaikat yang akan menyentap nyawa kita adalah berdasarkan amalan kita. Malah untuk menghadapi malam pertama di alam kubur itu pun sudah cukup menggetarkan jiwa sama ada akan ditunjukkan balasan syurga atau balasan neraka. Ya Allah Engkau Maha Mengasihani hambaMu yang berdosa ini. Maut yang diceritakan meranapkan cita-cita mencari dunia. Ghairah nafsu menjadi lesu. Lidah kelu dan bisu pabila mengenangkan saat-saat itu. Suami hilang tempat mengadu. Isteri pula menjadi balu. Anak menjadi piatu. Itulah takdir yang sudah tentu. Mati.
Saat begini hati hiba. Hiba merentasi masa yang terus berlalu pergi. Hanya perlu mengharap pada Yang Esa. Kerana berharap pada Allah adalah harapan yang pasti bukan ilusi. Hanya Allah yang memahami jiwa para hambanya. Hanya hambanya saja yang sering terleka kerana mencari dunia. Hati Yang Hiba Mengharap Kasih SayangNya. Hanya kasih sayang Allah akan menyelamatkan kita. Dunia sampai akhirat.



