Merasa cinta dan mahu dicintai adalah lumrah kepada manusia. Sejarah cinta pertama ialah cinta Adam dengan Hawa. Di dalam syurga semuanya ada tetapi Adam masih terasa sunyi apabila melihat 2 burung sejoli yang berkasih kasihan. Timbul dalam jiwanya rasa ingin bercinta. Itulah episode awal cinta manusia yang akhirnya Allah menganugerahkan Hawa untuk Nabi Adam a.s. Kisah Cinta Manusia juga telah membawa satu tragedi sedih tentang perebutan cinta di antara Qabil dan Habil putera Nabi Adam a.s. Kisah tragis ini telah dirakam di dalam Al-Quran sebagai pedoman yang mesti dijadikan pengajaran. Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 27 yang bermaksud :
"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa; "
Kisah ini betul-betul mengajar kita bahawa memang manusia sering sesat kerana cinta. Alasan cinta telah disalahguna untuk menghalalkan cara. Mencintai seseorang adalah fitrah. Kisah Qabil dan Habil mengajar cinta yang betul ialah cinta mesti berasaskan taqwa. Hanya taqwa akan menjadi batu pengukur dalam menilai apakah yang datang pada kita itu nafsu atau fitrah cinta. Seperkara lagi pengajarannya ialah cinta dan pengorbanan adalah sinonim dalam kisahnya. Sebab itu mungkin ada antara kita mencintai sesuatu tetapi menjadi keliru kerana cinta itu. Cinta inilah yang memerlukan pengorbanan, kerana bukan semua cinta yang kita kehendaki sesuai dengan kita di atas asas Allah Maha Mengetahui dan Allah juga Maha Merancang. Oleh itu hendaklah kita memahami kekadang cinta itu lebih baik disimpan di dalam hati kerana "Kalau Dah Jodoh"ia tidak ke mana. Kalau tiada jodoh sekalipun bersabarlah kerana itu sifat orang bertaqwa. Berdoalah moga-moga Allah beri kekuatan kepada kita semua...







