Thursday, 13 November 2014

Tercucuk Duri Di Kaki...

Pagi ini damai sekali. Hujan malam tadi memberi kesanya pada pagi ini. Sejuk dan syahdu dapat dirasakan apabila nafas ditarik pada pagi ini. Sungguh asyik sekali. Syukur kepada Allah kerana kurniaanNya. Pagi yang cerah ini dihiasi dengan susunan burung yang berbaris di atas talian wayar elektrik sambil menyanyi. Oh Indahnya pagi ini. Pagi ini seperti biasa kita akan dihadapkan dengan pelbagai citra dan aroma kehidupan. Menghidu masa depan dan kehidupan. Aku merenung jauh gelagat manusia yang berlumba-lumba di jalan raya menuju ke tempat kerja. Ramai antara mereka semua melanggar undang-undang di jalanan itu. Aku pandang burung yang berlegar di angkasa luas terbentang semuanya mengikut fitrah. Tiada kemalangan. Tidak ada makian dan sudah tentu tidak menyusahkan orang lain. Hidup manusia itu kekadang gembira dan kekadang juga datang kesedihan. Semua itu adalah asam garam kehidupan. Tanpanya kehidupan tentu tidak seindah seperti yang disangka. Jadi janganlah kita bersedih sangat jika ditimpa sesuatu yang tidak kita ingini. Kerana semuanya akan Allah balas walaupun sekadar tercucur jari dengan duri. Belajarlah mencari teduhan hanya dari Allah..


Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Ketika diturunkan ayat:
مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِه
"Sesiapa yang melakukan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu. Orang-orang Islam merasa amat sedih tetapi kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Sederhanalah dan jangan terlalu berlebih-lebihan serta berusahalah melakukan yang benar. Setiap musibah yang menimpa orang-orang muslim adalah suatu pelebur kesalahan biarpun hanya sekadar tercucuk duri".