SINAR HARIAN:
KUALA LUMPUR - Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad dihukum buang kerja oleh Mahkamah Tentera di sini, semalam, selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan melibatkan isu dakwat kekal semasa PRU13 dan menyiarkan maklumat surat pertukaran kerjanya, dua tahun lalu.
Panel lima hakim, diketuai Yang Dipertua, Kolonel Saadoon Hassan, membuat keputusan itu sebulat suara selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak dan membuat penilaian maksimum terhadap pertuduhan yang dihadapinya.
Korum itu turut dianggotai Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib dan Mejar S Nadzeer Salehuddin.
Ketika membuat keputusan itu, Saadoon berkata tindakan Zaidi mendiamkan diri ketika dipanggil membela diri sudah cukup untuk sabitkannya bersalah.
Bagaimanapun, hukuman itu tertakluk kepada pengesahan pegawai pengesah.
Dalam pada itu, selepas sabitkannya bersalah, Zaidi, 48, diberi peluang mengemukakan rayuan dan mitigasi peringanan hukuman secara lisan kerana peguam yang sebelum ini mewakilinya tidak kelihatan di dalam dewan mahkamah.
Seorang bekas pemandu trak tentera, Mohd Yusoff Ishak, tampil di kandang saksi menyatakan kepada mahkamah bahawa dia menyanjung tinggi bantuan yang diberikan Zaidi ketika terlibat dalam satu kemalangan di Bosnia pada 1995 yang nyaris mengorbankan nyawanya.
Sementara itu, ketika diminta membuat mitigasi peringanan hukuman, Zaidi yang duduk di kandang tertuduh dengan tenang cuba menjelaskan beliau berada di pihak yang benar dan menyifatkan pendakwaan ke atasnya dibuat atas kehendak penguasa politik.
Kenyataan itu bagaimanapun, menimbulkan sedikit ketegangan dalam dewan mahkamah selepas Saadoon meminta Zaidi tidak mengaitkan perkara itu sebagai isu politik sebaliknya menyatakan mahkamah itu saksama dan tidak mempunyai unsur politik.
Zaidi meneruskan hujahannya dengan berkata: “Kamu pegawai, saya pun pegawai. Kamu dapati saya bersalah dan ini sesuatu yang besar”.
Perkataan yang disebut itu sekali lagi ditegur Saadoon dan beberapa hakim lain yang meminta supaya Zaidi tidak biadab dengan mahkamah atau dia boleh didakwa menghina mahkamah.
“Saya menyanjung tinggi sikap integriti, iaitu bercakap benar dalam semua situasi. Saya telah berkhidmat selama 26 tahun. Jangan anggap saya seperti kanak-kanak kecil. Saya tak perlu cakap apa-apa. Kita jumpa di mahkamah ALLAH!” katanya.
Komen: Ini akibat orang yang bercakap benar. Yang benar dikatakan salah. Yang salah didakwa benar. Yang bercakap benar dibuang. Yang menipu dinaikan pangkat. Ini lumrah dunia kini. Dunia yang sedang rosak binasa kerana tangan-tangan manusia. Zaman ini zaman yang betul-betul gila. Nabi Muhammad SAW membawa obor kebenaran dan Nabi juga mengajar kita bercakap benar. Memang benar kebenaran itu benar-benar menjadikan kita benar-benar untuk tidak bercakap benar. Ingatlah Mahkamah Allah yang memang benar-benar kebenarannya. Kebenaran adalah jalan para Solihin. Moga kau Berjaya dan bersabar. Salute pada Mejar Zaidi.