😒
Kisah 1: “Dia Curang
Aku Setia”.
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji
kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai)
kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta
hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: Iaitu)
orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami
kembali."
( Al-Baqarah ayat
155-156)
Rita (bukan nama
sebenar)seorang pensyarah kanan di salah sebuah universti terkemuka di
Malaysia. Jika dilihat dari luaran lengkap dan sempurna hidupnya. Mempunyai
rupa paras yang cantik, kerjaya yang hebat dan keluarga yang dilimpahi nikmat
hidup yang melimpah ruah Rita hidup dalam mimpi orang lain. Sepanjang hidupnya
dia diulit seribu satu kelebihan yang baginya tiada pada orang lain. Taraf pendidikan PHD dalam bidang komunikasi
dari luar negara tidak banyak memberi karenah dalam hidupnya untuk mendapat
kerja dikala orang lain berhempas pulas mencari kerja. Bak kata orang, dalam
kegawatan ekonomi kini pun hidupnya tidak terjejas malah sering bercuti bersama
keluarga di luar negara. Suami Rita pula bukan sahaja mempunyai kedudukan yang
tinggi dalam syarikat GLC kerajaan malah suaminya sering menjadi rebutan banyak
syarikat koporat yang mahu mengambil khidmatnya. Oleh yang demikian soal gaji
janganlah dikira lumayannya tetapi juga waktu kerjanya juga pun agak singkat
dibandingkan dengan orang lain. Suaminya Rita hanya berkerja 4 hari seminggu 3
hari berbakinya biasanya dihabiskan untuk memenuhi hobinya bermain golf dalam
atau di luar negara. Jika dilihat pada mata kasar pasti yang melihatnya sebagai
manusia paling bahagia. Gaya hidup yang penuh elitis menjadikan keluarga ini
hidup penuh warna warni nikmat dunia.
Rita dan suami telah
berkahwin hampir 16 tahun. Dikurniakan 2 orang anak lelaki dan rumah agam yang
serba indah. Rita tinggal di satu kawasan elit di Petaling Jaya. Bukan sahaja
dikelilingi suasana yang penuh ekslusif malah mereka sering didampingi kaum
keluarga dan sahabat handai. Tetapi semua itu kini tiada lagi makna untuknya.
Rita memulakan bicara “ Ustaz saya hanya berlakon bahagia dalam perkahwinan
saya”. Tambahnya “ Sebenarnya saya tidak bahagia dan derita”. Sambil mengesat
air mata yang mula berjurai laju membasahi pipinya. Hari ini Rita tidak dapat
lagi membendung apa yang terbuku dalam hatinya. Hatinya yang telah remuk dan
hancur kerana kecurangan. Kecurangan itulah yang membawa padah dalam
keluarganya. Kecurangan itu baginya bagaimana tsunami yang meranap segala yang
dia ada.
“ Ustaz, hidup kami
sekeluarga sangat mewah. Kemewahan hidup menyebabkan saya lalai dan leka dalam
hidup saya. Semua kehendak dapat saya penuhi dengan kemewahan hidup hingga
tidak pernah peduli mana yang halal mana yang haram. Mana dosa mana yang
pahala. Mana yang syurga mana yang neraka. Kehidupan saya hanyalah “enjoy”.
Bagi saya mana-mana orang yang mahu memberi teguran dan nasihat pada saya perlu
melihat apakah darjat dan harta yang mereka ada. Saya sombong ustaz.
Kesombongan saya telah membutakan mata saya. Memang benar suami sering memenuhi
setiap kehendak saya tetapi kekayaan membuatkan kami terus alpa dalam buaian
dunia. Berparti, berdisko dan minum minuman keras adalah kebiasaan dalam
kehidupan kami. Saya tidak minum arak ustaz tetapi saya bangga suami saya minum
arak”. Rita tertunduk dan hanya tangisan yang memecah kesunyian di dalam bilik
rundingcara. Ustaz hanya diam dan hanya matanya yang melirik agar Rita terus
meluahkan deritanya selama ini. “ Ustaz, semuanya berubah selepas 7 tahun kami
berkahwin ustaz. Satu ketika suami saya tiba-tiba sakit. Banyak hospital dan
pakar kami jumpa sehingga kami berjumpa dengan pakar kulit apabila kulit suami
saya mula berbintik-bintik merah. Doktor minta suami membuat saringan ujian
darah dan keputusannya suami saya HIV positif”. Rita ketika ini terus menahan
sedu sedannya. Tangisannya semakin kuat seolah anak kecil yang menangis. Tudung
labuhnya sudah pun basah digenangi air mata yang deras laju turun umpama
turunnya air terjun ketika hujan.
Dalam tangis Rita gagahkan
mahu meluahkan segalanya hari ini. Baginya derita memendam rasa sangat
menyakitkan dan menyeksakan. “ Ustaz suami saya mengaku telah mengadakan
hubungan seks luarnikah ketika beliau ke Vietnam atas urusan kerja. Katanya ia
berlaku hanya sekali ketika dia mabuk ketika pulang dari kelab malam yang
dikunjunginya di sana. Ketika itu saya hanya terdiam dan hanya Allah sahaja
yang tahu betapa hancur remuknya hati saya. Saya seolah telah hilang
segala-galanya. Semua kemewahan yang saya ada seolah sudah tidak bermakna malah
saya mula merasakan terganggu dengan kemewahan yang saya ada ketika itu ustaz.
Saya cuba bertenang dan pengakuan suami sedikit memberi ketenangan kerana masih
ada kejujuran dalam dirinya walaupun ia tidak mengubah apa-apa ketika ini.” Sambung
cerita Rita lagi. Menurut Rita insiden itu telah merubah segala dalam hidupnya.
Jika dulu dalam keluarganya hampir tiada langsung Ad-Din dalam kehidupan
sehari-hari. Kini semuanya telah berubah. Rita mula sedar betapa hebat mana pun
manusia jika Allah menariknya ia akan berlaku sekelip mata.
Pada peringkat awal Rita
akan sukar untuk menerima takdir ini. Dia merasakan dunia ini gelap seketika.
Ketika ini yang terpacul dari mulutnya hanya tasbih, tahmid dan tahlil. Hanya
itu sumber kekuatan yang dia ada. Gerak kembali mencari agama dalam hidup telah
bermula saat itu juga. Telah menyelinap satu perasaan dalam hatinya yang Allah
menyayanginya. Perasaan itu sangat menenangkannya. Takdir Allah juga Rita telah
diberi rezeki lain juga ketika dia masih bertarung menghadapi ujian yang sangat
getir dalam hidupnya. Dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar
negara. Tempoh pengajiannya ialah 4 tahun.
Hasil perbincangan dengan suami maka mereka sekeluarga telah menetap di
United Kingdom selama 4 tahun. Tempoh inilah sebenarnya membuatkan Rita dapat
mencipta alasan untuk dia lari dari kehidupanya sebelum ini. Hebat sungguh
perancangan Allah. Walaupun suami telah dijangkiti HIV namun Rita tidak memohon
cerai kerana masih sayang kepada suaminya. Malah sikap suami yang telah
bertaubat menyebabkan dia memaafkan dan menerima suaminya seadanya. Perkahwinan
mereka bertahan hingga sekarang walaupun Rita sebenarnya tahu dia tidak hidup
seperti yang diharapkan. Rahsia suaminya HIV positif hanya dia yang tahu.
Anak-anak pun tidak tahu tentang perkara ini. Sekarang sudah hampir 8 tahun
mereka merahsiakan perkara ini. “ Ustaz orang pertama yang saya beritahu
perkara ini. Saya agak tertekan sekarang ustaz. Sampai bila saya mahu hidup
begini. Hidup dalam kepalsuan bahagia sedang sebenar palsu belaka.” Rita
menyambung kata-katanya, “ Ustaz, saya mahu bercerai. Saya tidak mahu lagi
hidup dalam kepura-puraan. Akibat kepura-puraan ini saya derita. Sekarang pun
doktor telah telah mengesahkan bahawa saya mengidap penyakit jantung kerana
stress. Saya terpaksa bercakap tidak benar dengan doktor bahawa saya tertekan
kerana banyak kerja di universiti. Tapi sebenar bukan itu masalah sebenar. Saya
mahu bertanya kepada Ustaz, jika saya memohon cerai apakah itu tindakan yang
betul kerana dalam hati saya masih ada kasihan dengan suami disamping anak-anak
saya yang pasti tidak faham dengan tindakan saya ini kerana saya berjanji tidak
menceritakan hal ayah mereka kerana mereka sangat sayangkan ayah mereka. Tetapi
sampai bilakah saya mesti menipu diri sendiri bahawa saya sudah tiada hati
dengan suami malah sekarang pun adakalanya benci melihat kelibatnya ”.
Sesi perbincangan hampir
sejam telah berlalu. Rita mahu meminta diri. “Terima kasih ustaz. Terima kasih
atas nasihat dan panduan. Lega rasanya jiwa dan perasaan saya sekarang.
Insyallah rasanya inilah jawapan untuk istikharah saya selama ini. Hampir 8
tahun baru sekarang hati saya betul-betul rasa begitu tenang. Terima kasih
sekali lagi ustaz”. Rita kemudian berlalu pergi. Nampak dalam matanya ada satu
tekad dan azam yang mahu dia zahirkan untuk mencari harapan yang hilang.
Harapan yang hilang itu akibat kecurangan. Kecurangan yang mengajar dia bahawa
hanya cintanya kepada Allah yang setia.