Wednesday, 6 June 2018

Kahwin Lari


 Kahwin Lari: Salah Siapa?

  1. Isu yang sering dibicarakan.
  2. Kahwin Lari menyebabkan timbul pelbagai masalah sampingan

  1. Permusuhan pasangan dengan ibubapa dan ibubapa mertua sehingga rengganglah hubungan kekeluargaan. Ada yang bertindak diluar kewarasan seperti berlaku pertelagahan antara ibubapa dengan anaknya bukan sahaja berlaku derhaka tetapi mewujudkan permusuhan dan dendam. Malah permusuhan dan dendam ini akhirnya membawa jalan syirik kerana ada kalangan ibubapa dengan nama ikhtiar merujuk bomoh untuk memisahkan pasangan suami isteri yang pernikahannya tidak direstui.
  2. Masalah berkaitan dokumen nikah yang menyebabkan pihak suami dan isteri tidak mendapat hak dan keadilan yang sepatutnya. Lebih malang apabila zuriat yang lahir dari perkahwinan ini juga menjadi mangsa keadaan. Malah ada anak-anak hasil perkahwinan ini dinafikan hak kewarganegaraan kerana kesilapan ibubapa mereka.
  3. Perkahwinan seperti ini juga sebenarnya amat rapuh kerana apabila pasangan dilanda ujian dan masalah biasanya mereka akan mencari jalan mudah meninggalkan pasangan hingga tinggalah suami, isteri dan anak-anak bergantung tidak bertali. Lebih parah lagi apabila perkahwinan mereka tidak didaftarkan di jabatan agama islam muncul pelbagai masalah lain seperti masalah status hingga ada perempuan yang berkahwin walaupun masih tidak bercerai secara syaraknya mahupun secara undang-undangnya.

3. Punca Berlakunya Kahwin Lari:

  1. Pergaulan bebas dan salahguna media adalah antara faktor berlaku gejala zina. Perzinaan adalah antara mengapa ramai antara mereka berkahwin lari. Kerana terlanjur malu dan mahu menutup kesilapan secara mudah pasangan kahwin lari. Sama ada bernikah diluar negara atau bernikah sindiket bagi mereka ia merupakan jalan mudah yang mesti diambil.
  2. Poligami juga adalah antara mengapa pasangan mengambil jalan mudah untuk kahwin lari. Hal ini kebanyakannya dilakukan oleh lelaki yang tidak mahu berhadapan dengan isteri sedia ada dengan pelbagai alasannya. Rupa-rupanya kuasa cinta yang kononnya terlalu kuat hingga “lautan api sanggup direnangi” hanya tinggal slogan palsu semata-mata. Sikap mencari jalan mudah ini akhirnya memakan diri sendiri dan menyebabkan perkahwinan yang dibina selalu berada dipersimpangan.
  3. Tekanan kewangan juga adalah antara faktor mengapa ada pasangan yang mengambil jalan untuk kahwin lari. Desakan untuk mengadakan kenduri kahwin dengan cara yang tidak sepatutnya adakalanya menyebabkan pasangan yang mahu berkahwin gagal untuk mengadakan peruntukan kewangannya. Walaupun kenduri kahwin adalah sunat untuk diadakan tetapi kerana terikut-ikut dengan trend zaman sekarang maka pasangan terpaksa berhutang untuk berkahwin. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat maka timbullah idea untuk kahwin lari kerana bimbang terpaksa menanggung hutang yang banyak selepas perkahwinan.
  4.  Kegagalan merujuk pihak berkuasa khususnya jabatan agama islam juga adalah antara faktor mengapa budaya kahwin lari telah dijadikan jalan untuk menyelesaikan masalah. Masalah seperti wali enggan, wali ghaib, anak tidaksah taraf dan sebagainya sebenarnya boleh diselesaikan secara betul jika ia dirujuk ke tempat yang betul. Wujud penawaran pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam urusan kahwin lari tidak lebih dari menangguk di air yang keruh.
  5. Soalnya sekarang salah siapa perkara ini berlaku.

4. Penyelesaian kepada Isu Kahwin Lari:

  1. Jangan menghampiri zina. Pergaulan bebas mesti dielakkan. Aurat mestilah dijaga agar pintu-pintu zina dapat ditutup bagi mengelakkkan pelbagai masalah yang timbul dari zina. Sama ada orang dewasa, tua atau muda, belia atau remaja malah disemua peringkat masyarakat. Betapa ajaran agamalah sahaja yang dapat membenteras agar isu ini tidak berpanjangan. Allah berfirman,"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (An-Nuur 24:30).
  2. Pemantapan ilmu Fiqh Munakahat juga adalah antara cara bagaimana mendidik masyarakat agar kahwin lari itu tidak menjadi perkara yang membudaya dalam masyarakat. Islam telah menyusun hal-hal yang berkaitan munakahat ini dengan cara yang paling baik. Jika masyarakat memahaminya bahawa perkahwinan itu adalah satu sistem yang menyusun sistem sosial ummah maka ia perlu dilakukan dengan cara yang berhati-hati. Masjid dan surau tiba masanya tidak hanya mengadakan kuliah-kuliah tentang akidah, ibadah solat, puasa, zakat dan haji. Tetapi kita mesti juga mengembangkan lagi hal-hal yang berkaitan dengan fiqh munakahat dan hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan. Dengan cara ini masyarakat dapat dididik dan dapat difahamkan bahawa sesuatu perkahwinan yang dibina dengan cara yang tidak cermat maka perkahwinan itu akan hanya menjadi fitnah sahaja kerana berjalan dengan cara derita yang mengundang putus asa.
  3. Selain itu berpada-pada dalam walimatul urus adalah jalan yang sesuai dalam memulakan episod baru dalam kehidupan pasangan suami isteri. Ibubapa mesti memastikan kemampuan anak-anak mereka yang mahu berkahwin. Ini perlu agar anak-anak yang mahu berkahwin tidak terbeban dengan pelbagai keterujaan ibubapa. Jika anak-anak hanya mampu mengadakan kenduri kahwin secara yang termampu maka ia perlu diberi sokongan serta dorongan. Yang paling penting para ibubapa mesti memikirkan masa depan anak dan menantu mereka tidak terbeban dengan kehendak mereka. Malah jabatan agama Islam juga mutaakhirin ini telah mengambil inisiatif mengadakan pernikahan beramai-ramai dengan kos serendah RM1000.00 untuk sepasang juga mesti disambut dan disokong bagi memudahkan pasangan yang mahu berkahwin.
  4. Pihak berkuasa agama perlu dirujuk dalam hal yang berkaitan dengan Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk. Malah setiap kariah masjid juga telah diletakkan Penolong Pendaftar Perkahwinan sebagai rujukan di akar umbi.  Banyak maklumat yang boleh kita perolehi. Malah dalam ledakan maklumat dalam era teknologi kini adalah wajib untuk kita merujuk pihak yang berwajib agar tidak menimbulkan sebarang kekeliruan hasil dari maklumat yang bertaburan di laman sesawang.

Kesimpulan :

  1. Kahwin lari telah memberi imej yang negatif kepada imej Islam kerana ianya banyak mengundang pelbagai isu dan mendatangkan fitnah.
  2. Semua pihak mesti cakna dalam memahami isu-isu tentang perkahwinan. Kegagalan memahami hukum Islam khususnya dalam perkahwinan menyebabkan masyarakat sentiasa dibelenggu masalah yang tiada berkesudahan.
  3. Menuding jari tanpa memahami isu dan gagal merujuk pihak berkuasa akhirnya ramai pasangan ambil mudah tentang hukum dalam perkahwinan.
  4. Kegagalan perkahwinan pasangan yang berkahwin lari banyak menimbul mudarat yang pastinya bakal menimbulkan lagi masalah yang berkaitan dengan semua aspek kehidupan.

Tuesday, 20 March 2018

Hati Kita Ini Kotor..

Kawan,
Hati kita ini kotor. Segala kekotoran dunia ada dalam hati kita ini.
Seringkali hati kita bercakap tentang kebanggaan diri sampai tidak sedar kebangangan diri.
Dengki, iri hati dan sakit hati itulah hati kita.
Janganlah tidak mengaku tentang hati kita itu.
Kerana jika tidak Yang Maha Esa menyembunyikannya alangkah malunya hati kita bukan kepalang.
Marilah kita muhasabah dan bertaubat.
Kerana hati yang mati hanya menjadikan kita mati sebelum mati.
Jadi kita mesti berhati-hati dalam hati.
Saja cakap jangan marah.