Friday, 21 February 2014

Emak...


Mendapat berita emak kembali ke rahmatullah ia begitu mengkagetkan aku. Aku terus bergegas ke hospital Tanjung Karang bersama 2 adik beradikku. Sesampai di hospital aku tidak dibenarkan masuk kerana alasan pengurusan hospital hari sudah lewat malam dan tiada siapa di benarkan untuk melawat. Gelisah bercampur sedih yang amat sangat ketika itu. Salah seorang adikku mencadangkan agar kami pulang dulu. Aku bersetuju dengan langkah longlai aku terus keluar dan pergi ke perhentian teksi. Mana tahu ada teksi yang lalu dan sudi untuk membawa kami pulang ke kampung. Jika tiada teksi aku bertekad untuk berjalan kaki sahaja. Tidak aku sangka emak akan pergi begitu pantas. Baru maghrib tadi emak menelefon memberitahu bahawa ibu mertua abangku telah meninggal dunia. Fikirku kesedihan kembalinya abah ke rahmatullah pun masih belum reda sampai pula takdir ini pula. 

Menanti teksi memberi masa untuk aku mengimbau kisah lalu. Kisah lalu yang menyebabkan air mata ku jatuh berderai. Sungguh tidak aku sangka begitu pantas ianya berlalu. Kini semuanya tinggal kenangan.Terasa sesal kerana minggu ini aku tidak berkesempatan untuk balik kampung. Sesal ini sudah tentu aku bawa hingga kesudah. Baru 5 minit menanti teksi ia bagaikan terlalu menyeksakan. Kenangan lalu terus beredar dalam kotak fikir silih berganti. Aku buntu dan tidak tahu apakah nasib tanpa emak dan abah di sisi hidupku. Teralu pedih untuk melalui jalan hidup tanpa emak dan abah pada ketika ini. Aku menangis seperti anak kecil yang kehilangan ibunya. Aku sudah tidak peduli siapa yang akan memandang. Ku pejamkan mataku. Tangisan aku terhenti apabila terdengar salakan anjing yang seolah-olah sangat hampir dengan diriku. Salakannya agak kuat hinggakan aku terkejut. Aku terjaga..ahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!!!!!!! Mimpi rupanya aku. Aku rasa pipiku masih basah kerana air mata dek sebab mimpi itu. Alhamdulillah spontan mulutku bertahmid dan aku lihat jam menunjukkan jam 5.00 pagi. Pagi itu selepas subuh aku terus menelefon emak bertanya khabarnya. Emak hanya ketawa kecil dan katanya itu tanda panjang umur. Walaupun aku rasa lega tetapi perasaan kaget itu masih menghantui lagi. Pesan aku pada semua tanyalah khabar pada emak selagi mereka masih ada disisi kita lagi..



No comments:

Post a Comment