Monday, 23 June 2014

Ramadhan Aku Tunggu Kau Datang..

Penantian itu satu kesabaran..
Setahun sudah aku tunggu kau datang..
Datang membawa Rahmat, Keampunan dan Kelepasan dari api neraka..

Ramadhan datanglah padaku..
Datanglah mengubat rinduku..
Rindu yang syahdu sesejuk salju..
Rindu untuk membasuh dosaku bila bersamamu..

Ramadhan aku tahu..
Engkau tidak perlukan Aku..
Tetapi aku perlukan Kamu..
Kamu Ramadhan yang membawa aku menjadi manusia yang tahu..
Tahu siapa diriku..
Kerdilnya diriku..
Tiada apa-apa yang ada padaku..
Hanya Allah yang tahu..

Ya Allah aku merayu..
Aku insan berdosa ini..
Hanya Engkau Ya Allah yang tahu diriku..
Aku berharap dapat bertemu Ramadhan..
Ramadhan adalah kasih sayang Mu padaku..
Moga aku dapat bertemu dengannya..

Monday, 16 June 2014

Aku Seorang Bapa..

Firman Allah di dalam al-Quran lagi: “Dan
Tuhanmu telah memutuskan (memerintahkan), bahawa
janganlah kamu menyembah melainkan kepada-Nya
(sahaja). Dan dengan kedua orang tua (kamu)
hendaklah berbuat baik.” (Al-Israk: 23)
Aku tidak ambil "pot" pun berkenaan dengan sambutan hari bapa. Bagi aku Hari Bapa ialah ciptaan warga barat yang telah mencipta pelbagai "hari" untuk diraikan. Ini kerana mereka sedang berhadapan dengan krisis yang parah untuk menjadi manusia yang berperikemanusiaan. Kegagalan sistem barat dalam tamadunnya akhirnya wujud har-hari yang mesti diraikan menurut tarikh tertentu sedangkan sama ada bapa atau ibu ia adalah kehormatan yang berpanjangan yang mesti ada asuhan dan adunannya oleh ajaran Islam mahupun budaya orang timur. Sebenarnya tiada istilah hari bapa yang ada ialah tanggungjawab kepada ibu dan bapa. Kekuatan kekeluargaan Islam adalah terletak bagaimana Islam itu menyantuni umatnya dengan ajaran yang sangat rapat dengan fitrah manusia. Kekuatan Islam itu juga menjadi begitu ampuh apabila nilai keluarga sakinah yang disebut dalam Al-Quran dapat diterjemahkan dalam kehidupan yang sebenarnya. Malangnya kita umat Islam hanya menjadi peniru yang berjaya sedangkan Islam itu sebenarnya adalah pencetus kebahagiaan dunia dan akhirat. Sebagai seorang bapa betapa penting memikirkan apakah Islam itu dapat meresap dalam jiwa raga anak-anak yang lahirkan. Kegagalan untuk itu ialah kegagalan seorang bapa untuk masuk syurga. Bapa bukan sahaja berfikir dia sebagai ketua tetapi mesti memikirkan nasib anaknya ketika dia tiada. Biarlah anak-anak itu menjadi pencen akhirat untuknya. Berdoalah moga-moga janganlah nanti anak besarnya menjadi anak derhaka. Aku seorang bapa tidak mengharap anak itu menjadi kaya. Tetapi yang aku harapkan biarlah anak-anakku menjadi orang beragama. Yang tahu apa itu syurga dan neraka. Dosa dan pahala. Yang tahu Allah Yang Maha Perkasa dan Yang tahu Nabi Junjungan Mulia. Aku seorang bapa tidak mahu papa di hadapan Allah Maha Berkuasa.

Tuesday, 3 June 2014

Aku Akan Mati..


Berfikir masalah dunia adakalanya sangat menyesakkan. Kesedihan dan air mata adalah "trending" untuk masa ini. Kematian demi kematian pada tahun ini sungguh menginsafkan. Sama ada kemalangan jalan raya, lemas di laut dan sakit tua itulah takdir yang telah sampai tidak terlewat dan tercepat sesaat. Mengangkat sekujur badan yang kaku mengingatkan kita bahawa inilah nasib kita bila sudah dijemput Ilahi. Tidak dibawanya pangkat dan darjat yang dibawa hanya amal kebajikan yang bakal menjadi tebusan untuk menghadapi alam barzakh dan alam akhirat. Yang pasti aku akan mati. Muncul pula isu coklat "berbabi" yang menjadi polemik halal dan haramnya. Aku tidak kisah pun isu itu kerana termakan babi sibuk seantero tetapi makan rasuah dengan sengaja langsung tidak mengundang rasa bersalah. Inilah dilema umat Islam di negara ini. Umat Islam terperangkap dengan isu yang menyebabkan mereka berada dalam persimpangan. Persimpangan yang akhirnya ramai yang pula mencari alasan untuk menyimpang. Pernah berkali-kali aku menulis sama ada di dalam ataupun dalam nukilan aku yang lain yang ialah kegagalan yang ada pada ummah pada masakini kerana kerana mereka tidak tuntas memahami Islam. Malah sumber Al-Quran dan As-Sunnah serta ijmak ulama seringkali diketepikan dalam menyelesaikan masalah ummah yang berbangkit. Antara kelemahan yang paling ketara ialah Islam itu telah tidak dipedulikan teori praktikalnya yang akhirnya ceramah agama hanya menjadi gelanggang raja lawak sopan yang merugikan. Islam tidak dilihat perkara yang menyelesaikan masalah ummah tetapi Islam dilihat penuh retorik yang membuatkan ramai mereka pesimis dengan Islam. Sudah berjela kertas kerja dan berkeronyok saban masa. Malah terlalu banyak kita ini tidak mengambil yang auliyat dalam kehidupan ummah pada masa kini. Maka sedarlah kita bahawa jadilah kita orang yang bijak dalam menyusun kehidupan berdasarkan apa yang telah Allah tetapkan. Kerana kegagalan memahami apa sebenarnya maksud hidup ini sudah tentu kita akan lupa bahawa setiap saat yang berlalu akan terus jauh meninggalkan kita. Tetapi setiap saat yang berlalu itu juga sebenarnya kita sedang menghampiri saat yang disebut mati. Ingat mati menjadikan pemimpin itu sentiasa berhati-hati. Ingat mati menjadikan suami isteri saling menghargai. Ingat mati menjadikan seorang anak itu mahu berbakti. Ingat mati menjadikan seorang ulama itu senantiasa ingat bahawa hanya akhirat dekat di hati. Nah! bila kita mengingati mati semuanya perkara menjadi baik sekali. Itu sebab orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa mengingati mati. Waullahwalam..