Tuesday, 3 June 2014

Aku Akan Mati..


Berfikir masalah dunia adakalanya sangat menyesakkan. Kesedihan dan air mata adalah "trending" untuk masa ini. Kematian demi kematian pada tahun ini sungguh menginsafkan. Sama ada kemalangan jalan raya, lemas di laut dan sakit tua itulah takdir yang telah sampai tidak terlewat dan tercepat sesaat. Mengangkat sekujur badan yang kaku mengingatkan kita bahawa inilah nasib kita bila sudah dijemput Ilahi. Tidak dibawanya pangkat dan darjat yang dibawa hanya amal kebajikan yang bakal menjadi tebusan untuk menghadapi alam barzakh dan alam akhirat. Yang pasti aku akan mati. Muncul pula isu coklat "berbabi" yang menjadi polemik halal dan haramnya. Aku tidak kisah pun isu itu kerana termakan babi sibuk seantero tetapi makan rasuah dengan sengaja langsung tidak mengundang rasa bersalah. Inilah dilema umat Islam di negara ini. Umat Islam terperangkap dengan isu yang menyebabkan mereka berada dalam persimpangan. Persimpangan yang akhirnya ramai yang pula mencari alasan untuk menyimpang. Pernah berkali-kali aku menulis sama ada di dalam ataupun dalam nukilan aku yang lain yang ialah kegagalan yang ada pada ummah pada masakini kerana kerana mereka tidak tuntas memahami Islam. Malah sumber Al-Quran dan As-Sunnah serta ijmak ulama seringkali diketepikan dalam menyelesaikan masalah ummah yang berbangkit. Antara kelemahan yang paling ketara ialah Islam itu telah tidak dipedulikan teori praktikalnya yang akhirnya ceramah agama hanya menjadi gelanggang raja lawak sopan yang merugikan. Islam tidak dilihat perkara yang menyelesaikan masalah ummah tetapi Islam dilihat penuh retorik yang membuatkan ramai mereka pesimis dengan Islam. Sudah berjela kertas kerja dan berkeronyok saban masa. Malah terlalu banyak kita ini tidak mengambil yang auliyat dalam kehidupan ummah pada masa kini. Maka sedarlah kita bahawa jadilah kita orang yang bijak dalam menyusun kehidupan berdasarkan apa yang telah Allah tetapkan. Kerana kegagalan memahami apa sebenarnya maksud hidup ini sudah tentu kita akan lupa bahawa setiap saat yang berlalu akan terus jauh meninggalkan kita. Tetapi setiap saat yang berlalu itu juga sebenarnya kita sedang menghampiri saat yang disebut mati. Ingat mati menjadikan pemimpin itu sentiasa berhati-hati. Ingat mati menjadikan suami isteri saling menghargai. Ingat mati menjadikan seorang anak itu mahu berbakti. Ingat mati menjadikan seorang ulama itu senantiasa ingat bahawa hanya akhirat dekat di hati. Nah! bila kita mengingati mati semuanya perkara menjadi baik sekali. Itu sebab orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa mengingati mati. Waullahwalam..

No comments:

Post a Comment