Ramadhan yang datang kali ini disambut dengan hati yang berbunga-bunga. Dapat bersahur dan berbuka bersama sekeluarga adalah betapa rahmatnya Ramadhan. Ramadhan yang datang membentuk satu aura paling hebat kerana hampir semua manusia yang beragama Islam telah kembali kepada fitrah. Fitrah bangun pagi untuk beribadah walaupun 'umpannya' ialah makanan yang diberi nama sahur yang Allah beri pahala kerananya. Pada bulan ini manusia menjaga masa dan sehari itu dirasakan terlalu panjang walaupun pada bulan-bulan yang lain seolah-olah masa 24 jam itu terlalu singkat. Disuruh pula percepatkan berbuka tanda Allah tahu betapa gembiranya manusia itu mahu berbuka. Rahmat..rahmat..rahmat itulah fitrah Ramadhan apabila ia datang.
Kesempatan pulang ke kampung bermakna dapat merasai masakan emak. Apatah lagi masakan emak di bulan Ramadhan tentu tiada tandingan sedapnya. Hati agak tersentuh sedikit apabila lauk sahur yang mak buat ialah udang masak rendang. Aku tahu masakan itu juga adalah kegemaran arwah abah. Sengaja atau tidak masakan itu aku tidak bertanya pada mak tetapi masakan itu telah mengingatkan aku betapa seleranya abah apabila makan. Selepas kuliah subuh pagi itu aku tidak terus pulang ke rumah. Aku terus menuju ke pusara abah. Kebetulan kedudukan kubur dengan masjid sangatlah berhampiran. Sunyi, sepi dan sendiri aku pagi itu di pusara abah membuatkan hati begitu mudah tersentuh. Sebak rasanya bila mengenangkan abah. Inilah kali pertama aku berpuasa tanpa abah. Tiada cakap-cakap ketika makan pada sahur di awal pagi tadi. Jika tidak abahlah orang paling banyak bercakap. Terasa Ramadhan ini aku terasa sunyi tanpa abah. Sunyi sendiri di pusara serba sedikit membuatkan rindu pada abah terubat juga. Pagi itu di pusara abah aku berfikir bahawa aku juga pergi seperti abah dan apakah pada ketika itu ada kiriman doa dari anak-anak ku. Aku berdoa dan berharap agar Ramadhan yang rahmat ini memberi kerahmatan kepada abah yang berada di alam barzakh. Hanya kiriman doa dapat aku sampaikan moga abah dicucuri rahmat.

No comments:
Post a Comment