Ketika
ini seluruh dunia bersepakat untuk wajib mempertahan dan membela hak
asasi manusia yang juga menyentuh hak majoriti dan hak minoriti seperti
mana dalam Universal Declaration of Human Rights (United Nations) di
Paris pada tahun 1948 dan Cairo Declaration on Human Rights in Islam
(OIC) pada tahun 1990. Walaupun kedua-dua deklarasi ini ada perbezaaan
teras tertentu, tetapi semua negara-negara yang menandatanganinya telah
bersetuju bahawa tiada lagi mana-mana pihak yang boleh dizalimi, tidak
boleh dinafikan haknya sebagai manusia, bahkan ada yang berfikir lebih
melampau sehingga mempertahankan hak binatang lebih daripada hak
manusia.
Tetapi semuanya ini tidak diambil peduli apabila
menangani isu besar dan mendesak yang menyentuh hak rakyat Syria, kerana
pihak yang menjuarai hak asasi ini sibuk menjaga kepentingan negara
masing-masing dan mempertahankan hak keselamatan negara haram Israel,
samada secara sedar atau tidak sedar. Begitulah rupanya apabila pengaruh
Zionis dan agendanya masuk ke dalam kepala para pemimpin dunia, negara
kuasa besar dan lebih malang lagi termasuklah pemimpin negara Arab dan
pemimpin negara umat Islam.
Perlulah kita ingat bahawa para
pemimpin kanan Israel, sama ada pimpinan politik atau tentera, tlahpun
membuat kenyataan terbuka bahawa Israel akan campur tangan menyerang
secara lansung ke dalam Syria sekiranya senjata jatuh ke tangan kumpulan
Islam, sama ada Ikhwan Muslimin, al-Qaeda atau Hizbullah. Nampaknya
Israel tetap menjaga kepentingannya tanpa mengira apakah mazhab yang
dianut oleh kumpulan yang bernama Islam. Inilah sikap sebenar negara
haram Zionis ini yang menunjukkan sikapnya yang paling bermusuh terhadap
Islam.
Aspek yang lain pula, jangan dilupai bahawa semua negara
kuasa besar terlibat mewujudkan negara haram Israel sejak tahun 1948
menerusi British Mandate for Palestine. Sejak saat inilah semuanya
terpengaruh dengan agenda Zionis yang menjadi guru mencipta ideologi
kepada semua negara kuasa besar dan sekutunya yang berbeza ideologi
itu. Seterusnya rangkaian Zionis mempengaruhi politik dalaman dan
antarabangsa, ekonomi dunia dan medianya.
Sejarah membuktikan,
bahawa Zionis ini tidak akan mengizinkan mana-mana kumpulan Islam,
samada kumpulan itu dari mazhab Sunni, Salafi atau tidak. Mereka juga
tidak mengira samada kumpulan itu adalah Syiah muktabar atau tidak, dan
tanpa mengira pendekatan sederhana atau melampau, Ikhwan atau al-Qaeda
atau Hizbullah, semuanya diletakkan dalam satu bakul. Semuanya tidak
diizinkan sekiranya yang mengambil alih kuasa di Syria bagi mengganti
Basyar Asad dan Parti Ba’athnya. Israel dan semua kuasa besar itu boleh
menerima siapa sahaja yang tidak berjenama Islam tanpa mengira
ideologinya. Pendirian mereka ialah bahawa Basyar Asad tetap lebih baik
daripada semua kumpulan Islam tanpa mengira mazhab, kerana sebarang
perubahan kepada Islam dikira paling membahayakan keselamatan Israel dan
menjejaskan kepentingan negara barat dan sekutunya dan juga Russia,
China dan sekutunya.
Bacalah kenyataan Ketua Turus Pasukan
Pertahanan Israel (IDF Chief of Staff) Benny Gantz pada Januari 2012
lalu bahawa Israel boleh menerima puak Alawi dari kumpulan Basyar Asad
sebagai pelarian akibat dari Revolusi yang berlaku di Syria, kerana
kumpulan ini tidak membahayakan Zionis Israel. Maka akhirnya Kerajaan
kumpulan minoriti Alawi yang sesat dan Parti Ba’ath berideologi kiri
pimpinan Basyar Asad adalah paling diterima oleh semua kuasa besar itu
demi kedudukan masing-masing.
Maka akhirnya rakyat Syria lah yang
menjadi mangsa pertembungan bersenjata yang melibatkan kuasa besar
timur dan barat yang melibatkan Amerika, Kesatuan Eropah dan
sekutunya, dan juga Russia, China dan sekutunya.

Terheret
sama dalam konflik berdarah ini ialah negara serantau, Turki, negara
Arab dan Iran di atas nama strategi masing-masing. Akhirnya Basyar Asad
juga yang dilihat lebih berpeluang mengikat semua pihak kerana tidak
ada pengganti yang lebih baik daripadanya demi menjaga kepentingan
masing-masing. Kezaliman dan kekejaman keluarga Asad menerusi Hafeez
al-Asad terhadap rakyatnya sendiri telah berlaku sejak dari tahun 1970an
lagi. Walaupun kumpulan Alawinya yang terlalu kecil (10%) tidak
muktabar dalam mazhab Sunni dan Syiah yang muktabar, parti Ba’athnya
dapat terus memerintah secara diktator sejak sekelian lama.
Adapun
negara serantau pula bertegas dengan strategi masing-masing. Iran dan
Hizbullah menjadikan alasan bahawa Basyar Asad adalah rakan strategi
jalinan pembekal senjata menentang Israel dan membantu garisan hadapan
Palestin dan Selatan Lubnan; dan dalam masa yang sama Syria di bawah
kerajaan Alawi dan parti Ba’ath tidak menjadi ancaman besar terhadap
Israel. Akhirnya Basyar Asad juga dipertahankan di atas alasan
strategi, dengan berlarutan, walau pun membunuh rakyatnya sendiri.
Adapun
setengah negara Arab Teluk dan bukan Teluk menganggap Iran dan
Hizbullah bersama mazhab syiahnya adalah ancaman kepada mereka setaraf
dengan Israel, maka Iran dan Hizbullah perlu dihapuskan. Akhirnya mereka
meletakkan Israel dan Basyar Asad sebagai bukan ancaman sebenar, maka
Basyar Asad dan parti Ba’athnya tidak penting, maka selamatlah dia.
Dalam
masa yang sama Amerika dan sekutunya mengira Iran dan Hizbullah adalah
ancaman terbesar, menyebabkan negara-negara barat itu meletakkan semua
kumpulan yang berjenama Islam dalam satu bakul bahaya, tanpa mengira
mazhab Sunni atau Syiah, Salafi atau Khalafi, Syiah Muqtada al-Sadr atau
Sistani, Konservatif atau Reformasi, tanpa perbezaan di antara
kumpulan sederhana yang mememilh Demokrasi atau pelampau yang
mengharamkan Demokrasi. Semua yang berjenama Islam adalah pelampau dan
mengancam keamanan dunia, khususnya kedudukan keselamatan Israel lebih
penting bagi mereka. Rusia dan China juga masing-masing ada saham
mewujudkan negara haram Israel, dalam masa yang sama ikut berlumba
dalam persaingnan mendapat pengaruh dan pasaran di Asia Barat yang
berisikan sumber tenaga yang menjadi rebutan.
Ada pun sebahagian
lagi negara Arab pula sangat bergantung dengan kuasa besar, sehingga
menjadikannya pelindung lebih daripada Allah SWT. Manakala kumpulan
Islam Sunni juga dianggap sebagai ancaman kepada sebahagian negara Arab
ini, bukan hanya Syiah, sehingga mengizinkan buminya menjadi pengkalan
tentera asing yang diambil kesempatan bukannya menjaga kawan, tetapi
lebih utama menjaga Israel dan telaga minyak di rantau itu. Hakikatnya
ada negara Arab dan negara umat Islam sekitarnya yang mempunyai hubungan
diplomatik dengan Israel.
Akhirnya tindakan mengekalkan Basyar
Asad di Syria adalah boleh mengekalkan pasaran dan menambah nilai semua
pihak, kerana daripada pihak lain khususnya kumpulan Islam, adalah lebih
baik dibiarkan sahaja Basyar Asad dan parti Ba’athnya yang tidak
berpegang dengan agama dan mana-mana mazhab yang muktabar.

Sepatutnya
umat Islam tidak celaru dalam menentukan sikap. Umat Islam sepatutnya
jelas bahawa negara haram Israel diwujudkan secara haram dan dipaksakan
ke atas umat Islam, dan dalam masa yang sama negara kuasa besar tidak
boleh diberi kepercayaan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku. Kuasa
besar Barat ini hanyalah melihat dua perkara yang paling penting iaitu
(1) survival negara haram Israel dan (2) kekuasaan mereka kepada sumber
petroleum sebagai asas tenaga negara Barat; bukannya kepentingan rakyat
negara-negara Arab yang berdepan dengan konflik berdarah ini, ataupun
keselamatan negara-negara Arab rantau teluk itu sendiri.
Bagi
penyelesaiannya, semua negara serantau, Arab, Turki dan Iran bersama
seluruh negara umat Islam sepatutnya bebas daripada pengaruh negara
pengacau yang datang dari timur dan barat dan bersatu strategi kembali
kepada Islam.
Selesaikan masalah umat dengan Islam, khusus
Palestin dan ancaman Zionis negara haram Israel, sebagai perkara paling
mudah untuk difahami dan sepatutnya menyentuh hati sanubari setiap umat
Islam.
Ada pun perbezaan mazhab yang masih berpegang dengan
rukun-rukun Islam yang asasi, boleh dibincang secara ilmu oleh kalangan
ilmuan yang bebas daripada pengaruh kerajaan yang menolak Islam, jangan
serah kepada yang jahil, sama ada individu atau media. Perbezaan
kebangsaan dan sempadan negeri di kalangan umat Islam boleh disatukan
oleh ajaran Islam sekiranya kita benar-benar berpegang kepadanya.
Tolonglah diri sendiri, jangan bersekongkol dengan kuasa besar Timur
dan Barat. Kembalilah kepada Islam.
Nota: Ini adalah iktibar kerana umat Islam bercakaran sesama sendiri. Janganlah kita ini hanya berlagak seperti kita ini paling Islam. Sedangkan kita masih melihat Islam dan umat Islam dibodohkan sepanjang saat. Yang beragama sibuk membidaahkan orang. Yang kaya sibuk mencari kaya hingga tiada masa untuk agama. Yang bijak pandai akhirnya hanya pandai membodek. Yang muda khayal dalam dunia mereka. Yang tua kadang-kadang masih ada hati mahu berkahwin dua..kahkahkahkah..wahai semua umat Islam tidak malukah kamu dengan Allah. Tidak malukah kamu dengan Rasulullah..