Sunday, 9 June 2013

Menanti Sebuah Perpisahan......

Ketika menunggu kakak dan abang ipar aku di balai ketibaan KLIA aku duduk termenung seorang diri. Hati terasa dengki sangat melihat orang yang balik menunaikan umrah. Aku tidak tahu bila giliran aku akan sampai tetapi cita-cita untuk menjejakkan kaki ke Kota Mekah itu sentiasa berlegar dalam fikiran ku. Mengikut jadual penerbangan kapal terbang yang membawa kakak aku telah pun tiba. Lama juga aku menunggu. Hampir 2jam lamanya. Dalam 2 jam itulah pelbagai gelagat manusia dapat aku lihat. Yang paling menyentuh hati ketika melihat seorang ibu yang mulanya tersenyum ketika keluar dari balai ketibaan bertukar menjadi begitu hiba sekali. Ketika 2 anaknya datang mendakap ibu ini dakapannya agak lama sekali. Seolah-olah masa ketika itu terhenti. Hiruk pikuk ketika itu menjadi senyap sunyi. Tanpa mempedulikan orang lain yang lalu lalang anak beranak ini terus berdakap. Tiada kata-kata yang keluar dari anak beranak ini hanya yang ada air mata deras terus membasahi pipi mereka. Bergenang air mata aku melihat adegan sadis ini. Melihat seorang ibu dan anak-anaknya yang saling merindui antara satu dengan yang lain. Aku lihat ada bisikan dari anak-anak itu di telinga ibunya. Kata-kata yang tidak dapat aku dengar tetapi mungkin aku faham maksudnya. Aku lihat selepas itu mereka berdakap seolah-olah tidak mahu berpisah lagi kali ini. Kali ini aku dengar esakan tangisan anak kecil itu semakin kuat kedengaran dan ia telah meruntuhkan jiwa lelaki ku. Rengekan anak dan ibu itu sungguh menggelisahkan. Aku cuba sembunyikan air mata ini. Air mata yang jarang sekali memgalir. Adegan itu sangat menginsafkan aku. Insaf kerana perpisahan mengundang kesedihan yang menyentuh jiwa dan perasaan. Perpisahan juga menjadikan diri ini terlalu kerdil rasanya. Perpisahan juga menyebabkan otak berfikir bagaimanakah cara terbaik memikirkan masa depan kesan perpisahan itu. Kita jarang sekali menghargai setiap pertemuan tetapi sering menyesal setelah berlaku perpisahan. Kisah yang aku kisahkan ini menjadikan otak juga berfikir sudah tiba masanya kita semua lebih menghargai apa yang kita ada pada kita sekarang. Memang manusia itu sering terlupa dan sering pula dalam kerugian. Itulah manusia. Sudah tiba masanya kita menghargai apa yang kita ada sekarang. Hargailah hidup ini. Hargailah apa yang kita miliki kini. Hargailah apa yang sekeliling kita. Hargailah ibubapa kita selagi mereka masih ada. Sayangi keluarga kita selagi mereka semua masih ada di sisi. Hargailah sebuah persahabatan sebelum datang waktu untuk kita ucap selamat jalan. Peristiwa yang aku lihat di KLIA mengajar aku betapa takut untuk menempuh saat itu. Setiap saat betapa siksa menanti sebuah perpisahan..


No comments:

Post a Comment