Tuesday, 19 November 2013

Abah, Aku dan Hospital..itu jalan menuju Syurga.

Bulan Muharam kali ini aku kira ujian yang datang agak memenatkan. Pengalaman berkampung di 2 buah hospital betapa mengajar aku erti kesabaran. Pengalaman dibuli di hospital ini membuat abahku mengajak balik dan tidak mahu ke hospital lagi. Katanya "biarlah aku mati di rumah" betul-betul menyentap hatiku. Hampir 5 hari abah berada di hospital maka 5 harilah aku melihat beberapa gelagat manusia yang kadang-kadang sukar untuk difahami. Kenapa agaknya manusia ini sering lupa bahawa mereka itu tidak perlu menunjukkan diri mereka itu adalah sangat penting. Ini kerana sikap ini akan melahirkan sikap mementingkan diri sendiri. Hari kedua berada di hospital ada seorang pakcik telah marah-marah dengan pihak wad. Katanya yang bekerja di hospital ini semuanya tidak ikhlas dan diakhiri percakapannya dengan perkataan "bongok" yang dihamburkan pada kakitangan wad itu. Aku cuba bersangka baik bahawa pakcik ini sedang sakit pasti perasaannya tertekan. Sempat aku bertanya sudah berapa lama pakcik di sini. Jawapannya agak lembut "dah 5 hari dah". Terkejut juga aku kerana reaksi berbeza dia telah berikan pada kakitangan wad sebelum ini. Hinggalah hari ke 3 dan ke 4 barulah aku faham kenapa pakcik itu agak marah. Marah kerana kecewa. Marah kerana dilayan seperti tidak ada harapan hidup. Marah kerana dilihat sebagai beban kerja saja. Marah kerana dibuli dan dihurung hulu ke hilir tanpa tujuan. Marah kerana doktor hanya membuat pelbagai ramalan. Agak sukar untuk melihat jururawat yang tersenyum yang ada hanyalah muka yang mencuka. Aku sedar abah sudah tua dan sakitnya nampaknya agak semakin sukar pulih. Dalam umurnya akan genap 89 tahun disember ini tidak banyak yang boleh diharapkan. Tetapi ia bukan alasan abah mesti dilayan sebagai manusia kelas kedua. Apakah kerana kami golongan marhaen mereka berhak membuat keputusan sesuka hati. Malah ketika abah membuat keputusan untuk balik ada kalangan mereka berkata "inilah nasib kalau masuk hospital kerajaan". Aku tidak pasti apa maksud perkataan itu tetapi yang aku faham stigma kita masih jauh tertinggal dari segi mentalitinya. Islam tidak mengajar semua itu. Islam menganggap kerja yang baik adalah ibadah. Ibadah balasannya untuk ke jannah. Aku tidak nampak perkara itu berlaku dikala kita sedang menyambut tahun baru hijrah. Sedih memikirkan perkara ini. Lebih sedih lagi apabila melihat wajah ayah. Wajah kepenatan kerana "dibuli" berkali-kali. Emak yang kepenatan berulang alik hanya mampu berdoa moga ayah sembuh. Moga kesabaran menyaluti diri dalam ujian ini. Ujian yang datang untuk menebalkan sabar. Sabar bermaksud juga jangan marah. Jangan marah pesan Rasulullah SAW. Sabar yang membawa khabar. Khabar gembira lagi muktabar. Muktabar sabar adalah iman. Iman adalah pedoman. Pedoman untuk menuju jalan aman. Aman di syurga yang abadi. Moga itulah pembalasan Tuhan.

No comments:

Post a Comment