Dalam menelusuri hidup ini adakalanya kita terlupa dari mana kita dan ke mana mahu kita pergi. Alam ini sebenarnya berbicara betapa kita ini adalah insan kerdil yang tidak punya apa-apa yang hendak dibanggakan. Mungkin kita boleh berbangga dengan kehidupan kita yang dikelilingi oleh pangkat dan jawatan atau mungkin kerana harta yang banyak. Namun begitu persoalan yang mesti kita telus menjawabnya ialah apakah kita ini hidup bahagia. Apakah kita rasa bahagia? atau apakah kita pernah merasa bahagia?.Ramai antara kita tidak tahu arah tujuan hidup akhirnya sibuk mencari dunia tetapi gagal mengecapi kehidupan dunia. Hidup dipenuhi kegelisahan dan keresahan yang tidak bertepian malah lebih parah menyalahkan takdir Tuhan. Al-Quran dan Hadith telah banyak memberi pengajaran yang jelas telah dibuktikan sama ada dengan kesan sejarah mahupun yang dibuktikan secara saintifik. Berapa banyak bukti lagi yang kita mahu lihat tentang kekuasaan Allah Yang Maha Perkasa sehingga kita lupa siapa hamba siapa tuan di dalam dunia ini. Kesombongan itu milik Allah kerana jika manusia memakainya jadilah seperti Firaun, Namrud, Hamman, Qarun dan sebagainya yang menjadi bongkak kerana sedikit nikmat dunia. Jika kita berkesempatan berjalanlah di muka bumi ini dengan penuh keinsafan. Kegagalan kita melihat alam dengan hati yang celik membuatkan kita buta hati. Buta hati lebih parah dari buta mata. Buatlah niat melancong itu bukan untuk melancong tetapi adalah untuk bermusafir barulah perjalanan itu adalah perjalanan Sunnah. Kerana jika kita berjalan jauh tetapi hanya timbul gembira seketika itu namanya hanya melancong. Tetapi jika semakin kita jauh perjalanan lalu luas pengalaman itulah musafir kembara mencari Iman. Musafir adalah pelajaran. Pemusafiran mengajar agar kita sentiasa berada pada landasan iman. Hanya Iman yang menjadi jaminan pada hari yang tidak berguna lagi emas dan perak. Iaitu hari pembalasan. Maka tidak hairan jika musafir itu penuh kebaikannnya, Islam telah banyak memberi "rukhsoh" dalam perjalanannya. Ambilah pengajaran dan lihat keagungan Allah. Semoga ia memberi peringatan pada kita bahawa kita manusia hanya insan kerdil yang tidak punya apa-apa. Oleh itu jadilah hamba Allah bukan hamba pada dunia. Wassalam.
No comments:
Post a Comment