Tuesday, 3 December 2013

Cukuplah Mati Sebagai Iktibar..

"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan".(QS. Al-Anbiya’: 35)


Cuaca seminggu ini agak mendung dan kadangkala hujan renyai-renyai. Dikhabarkan ada kawasan sudah mula banjir atau sungai pula sudah sampai paras berjaga-jaga. Mendung ini seolah-olah menyatakan bahawa alam ini juga memahami perasaan aku pada masa ini. Dalam hati aku kini seolah-olah ada satu kekosongan yang jika aku layan perasan tiba-tiba ia akan menjadi sesak. Ketakutan untuk sekian lama akhirnya sampai juga masanya. Saat kehilangan orang tersayang adalah saat yang paling menyedihkan. Bukan tidak reda dengan pemergian tetapi aku hanya manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Abah sudah tiada lagi dia telah dijemput ILAHI. Dia telah pergi dengan tenang tetapi kami anak beranak tidak dapat membendung air mata yang deras mengalir. Aku jarang sekali melihat emak menangis. Hanya ketika Abah mahu dibawa pergi untuk disemadi barulah aku nampak emak menangis. Emak menangis lagi ketika kami adik beradik mahu meminta diri. Katanya "selalulah tengok mak di kampung" sedu sedannya memang betul-betul meruntun hati. Aku tahu emak sudah mula rasa kehilangan. Jika dulu agak sibuk mengurus abah kini semua itu akan jadi kenangan sahaja. Seolah-olah mahu saja dia mengulangi saat itu walaupun mungkin penat jerihnya terpaksa ditanggung sendiri. Tetapi perkara itu tidak mungkin berlaku kerana abah pergi tidak akan kembali. Hanya jika bernasib baik maka akan ada pertemuan di akhirat nanti.

Mati itu betul-betul menginsafkan. Kematian menjadikan semua kelazatan dunia terbantut keghairahannya. Melihat kematian menjadikan kita akan kaget. Kaget kerana ini janji Allah bahawa semua kita akan menemui jalan itu. Jika baik maka kematian itu adalah istirehat tetapi jika tidak baik maka jalan buntu akan menimpa kita semua. Kematian akan meragut bukan saja nyawa kita tetapi juga keegoan kita tanpa mengira pangkat dan darjat. Hanya kain putih yang akan membalut tubuh dan hanya lubung kubur yang gelap menjadi rumah yang kekal sehingga dibangkitkan pada hari kiamat. Siapa pun kita, pengalaman itu adalah sangat menakutkan dan mengecutkan. Mungkin pengalaman malam pertama pengantin baru begitu mendebarkan tetapi malam pertama di alam kubur pasti menggetarkan. Oleh itu cukuplah kematian menjadi pengajaran kepada kita semua. Kepada pemimpin yang sombong. Kepada Ulama yang terpesona dengan dunia. Kepada suami durjana. Kepada isteri yang derhaka. Kepada anak yang tidak menurut kata. Kepada kita semua sebagai manusia. "Cukuplah Kematian Itu Sebagai Iktibar"...kepada abah semoga ruhmu dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang-orang yang soleh.



No comments:

Post a Comment