Friday, 7 March 2014

Al- Fatihah untukmu Kenangan untukku





Semalam dalam jam 10 pagi ketika sedang menghadiri mesyuarat di jabatan, aku mmendapat berita kemalangan yang menimpa sahabat baik tentunya amat menyedihkan. Lebih menyedihkan dia pergi tidak kembali. Sebak hati ini masih belum reda memandangkan niat untuk ziarah kali terakhir tidak kesampaian. Terlalu banyak perkara yang menghalang untuk aku melunaskan niat ini. Masih tidak percaya bahawa sahabatku Nazim ini telah pergi menyahut seruan Ilahi. Lebih tragik Nazim pergi bersama adiknya yang bernama khairi. Al-Fatihah untuk kamu.

Kenangan bersama Nazim amat banyak sekali. Walaupun hanya berkenalan pada tahun 1998 di Universiti Malaya kami tetap berhubungan antara kami. Kebetulan seorang lagi sahabat Jalal namanya merupakan orang yang bertanggungjawab sentiasa menjadikan rakan rumah sewa ketika belajar tetap segar walaupun kami berjauhan. Kali terakhir berjumpa Nazim ialah pada 2012 ketika itu dia datang bertandang ke rumah sewa aku. Dia datang bersama isterinya yang ketika itu mereka ada tugasan di Bukit Frazer. Kesal juga aku ketika itu kerana tidak sempat menjamu makan pasangan ini kerana pada masa itu Aku baru pulang menghantar isteri. Hanya teaO dan biskut kering sahaja. Malu juga aku kerana Nazim seorang "pemakan" dan sangat pandai memasak. Nazim seorang yang ramah kerana dia tidak lokek senyum dan sering ketawa. Hobinya memasak. Malah aku hanya ketawa apabila dia mengajak aku berkongsi untuk menjalankan perniagaan nasi lemaknya. Kerana aku tahu perniagaan mereka akan maju sementara kerana selepas itu pasti akan tutup kedai. Sangkaan aku tepat kerana kawan-kawan lain bersamanya berniaga akhirnya berselisih akhirnya seperti yang aku katakan ia tutup kedai. Aku hanya ketawa kerana aku faham benar gelagat kawan-kawan serumah. Bakat Nazim dalam memasak tidak dapat disangkal kerana akhirnya dia menjadi chef di sebuah hotel yang agak terkenal di Petaling Jaya. Kerja 'part time' itu jelas memberi kepuasan pada dirinya walaupun kadang-kadang 'terponteng' kuliah. Bagi aku otaknya pintar. Kerana tanpa fokus yang banyak dalam study dia tetap steady dalam pengajiannya. Banyak kenangan yang kami simpan bersama. Antara yang menjadi rahsia hingga kini ialah kami pernah di tahan di Balai Polis Alor Setar. Maka hari ini aku pecahkan rahsia ini. Ketika aku datang berziarah ke Kuala Nerang, Nazim telah membawa aku berjalan-jalan di Alor Setar. Biasalah jiwa muda maka terasa muda itu sampai bila-bila. Motosikal yang kami naiki telah menyondol sebuah kereta polis di hadapan balai polis Alor Setar. Hampir 1 jam barulah kami dibebaskan tanpa apa-apa tindakan melainkan telah dibebel oleh pakcik polis. Pakcik polis hanya berhenti membebel setelah tahu kami ini pelajar Universiti Malaya. Universiti Melawan.

Kini semua itu tinggal kenangan. Dengan linangan air mata aku ucapkan selamat jalan pada kau sahabatku. Moga Allah memilihmu untuk berada bersama orang yang soleh. Moga juga Nabi Muhammad SAW memilihmu sebagai umatnya. Buat keluarga arwah bersabarlah dengan ujian ini. Memang pedih perpisahan kali ini. Moga Allah membayar kesabaran itu dengan keredaannya. Pada sahabat yang lain Jalal, Pengeran, GG, Rahim, Ijat, Tonie, Roni, Rugba, Shamsul, Pali dan ramai lagi. Ingatlah pada persahabatan ini. Jangan sampai ianya terus terpisah kerana masa dan kilometer kerana apabila nyawa tidak dikandung badan lagi hanya syurga tempat kita berjumpa. Amin...



No comments:

Post a Comment