Monday, 3 March 2014

Mencari Kebenaran...Kebenaran atau Membenarkan..

Mencari kebenaran dalam hidup memang memeritkan. Ini adalah sunnah kehidupan masa kini. Bercakap benar dalam zaman ini bermakna anda sedang menelan bara api. Ini kerana adakalanya kebenaran itu hanya dapat dilihat apabila semuanya telah menjadi sejarah. Maka jadilah kebenaran itu sebagai kenangan sahaja. Soalnya sekarang apakah kita perlu mencari kebenaran itu. Atau kita membenarkan saja perkara yang tidak benar hingga kebenaran itu akhirnya tidak dapat dilihat. 

Kebenaran itu tidak perlu kepada ijazah yang melangit dengan pelbagai darjat dan pangkat. Tetapi bercakap benar itu adalah sangat berkaitan dengan iman. Para ulama silam menjadi hebat kerana ilmu mereka menyebabkan mereka tetap bercakap benar walau apa pun terjadi. Sejarah Imam Hanafi, Maliki, Hanafi dan Syafie sudah cukup menyayat hati apabila ditelusuri. Malah iltizam seperti ulama silam ini mesti mesti menjadi contoh abadi selain menurut Sunnah Nabi untuk ulama masa kini. Kegagalan kita bercakap benar hanya menjadikan semua tindakan yang kita lakukan menjadi serba tidak kena malah sering ada kelompongannya. Para pemimpin yang tidak bercakap benar hanya menjadikan yang dipimpin menjadi huru hara. Ulama yang tidak bercakap benar hanya akan menjadikan fatwa mereka menjadi punca perpecahan. Malah rakyat yang tidak bercakap benar hanya sedang menempah sengsara kerana menipu diri kerana emosi.

Masalah ummah kini ialah kerana mereka menentang kebenaran. Al-Quran dan Sunnah itu kebenaran tetapi berapa ramai antara kita yang mahu berkata itu diangkat. Ramai antara kita yang pandai dengan Al-Quran dan Sunnah. Tetapi lebih ramai yang tahu pula mahu menentangnya dengan pelbagai alasan untuk membenarkannya ditentang. Kita semua mesti menuhasabah diri. Kebenaran itu umpama cahaya matahari yang kalau ditutup cahayanya ia tetap akan bersinar. Soalnya sekarang pelbagai alasan dibuat payung untuk menghalang cahaya ini sedangkan dengan cahaya kebenaran itu tidak akan padam walaupun ia cuba dipadam. 

No comments:

Post a Comment