Wednesday, 18 July 2012

Kahwin Muda la


PERKAHWINAN DI USIA MUDA?
Usia muda sering dikaitkan dengan masa untuk bersuka-suka atau “zaman enjoy” oleh segelintir masyarakat kita. Entah dari mana hujah ini diperolehi tidaklah dapat dipastikan tetapi sikap dan budaya ini adalah sangat mirip dengan pembawakan yang diamalkan di barat. Sikap jahil dan naïf segelintir umat Islam khususnya tentang perkara ini maka jiwa muda sering dijadikan medan pemberontakan untuk melakukan perkara maksiat yang melanggar batas akidah dan akhlak di kalangan umat Islam. Akhirnya nanti muncullah generasi pelapis yang songsang dalam semua aspek kehidupannya kerana kegagalan membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Diantara perkara yang menjadi barah dalam masyarakat kita ialah tentang gejala perlakuan zina yang berleluasa. Malah bukti statistik menunjukkan kadar kelahiran anak luarnikah terus mencatatkan peningkatan dari masa ke semasa mengambarkan betapa “ganasnya” masalah zina ini melanda dan terus merobek maruah serta kesucian ummah. Perlu diingat bahawa kejadian zina yang berluasa ini bukan sahaja mengundang duka nestapa ibubapa tetapi lebih bahaya ia mengundang keruntuhan sesebuah negara bukan saja kerana budaya ini membunuh pembinaan budaya berkeluarga tetapi zina juga mengundang bencana dari Maha Esa. Ironinya ramai yang sedar tentang perkara ini tetapi sering juga hanya menjadikan isu kecil dan ada juga yang bertindak tetapi tindakan hanya sekadar seperti “tikus membaiki labu”. Agak jarang kita memdengar penerangan tentang peri pentingnya perkahwinan dalam menyelesaikan isu yang kita nyatakan tadi. Lebih jarang juga kita mendengar untuk pihak-pihak berkempen agar berkahwinlah pada usia muda.  Maka dengan kesedaran dan keinsafan perlunya kita melihat apakah saranan Islam dalam menyelesaikan isu ini. Islam menggalakkan perkahwinan. Malah sesiapa yang berkahwin pasti akan diangkat darjat ganjaran pahala dalam ibadahnya.
Sebagai orang muda sepatutnya kita memahami tanggungjawab untuk mengangkat ajaran Islam bukan mencemarkannya dengan tingkah laku buruk yang memfitnah agama suci ini. Ini kerana ajaran Islam itu sangat praktikal dan sungguh mesra dalam menyantuni khususnya orang muda. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik bagaimana dalam usia 25 tahun beliau telahpun berkahwin dan ternyata perkahwinannya sangat membantu dalam usaha-usaha kejayaan dakwahnya.
Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Wahai sekalian pemuda, barangsiapa daripada kalangan kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka hendaklah ia berkahwin. Sesungguhnya ia (perkahwinan) boleh menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia  berpuasa kerana ia (puasa itu) menjadi penawar baginya”.
Kita juga perlu mengikis persepsi negatif bahawa perkahwinan pada usia yang muda boleh menyebabkan mudahnya berlaku kegoyahan dan kesusahan dalam melayari bahtera rumahtangga. Sebenarnya perkahwinan yang berjalan berlandaskan syariat bakal membentuk situasi yang baik dalam kehidupan berkeluarga. Umur bukanlah alasan yang tepat melambatkan sesebuah perkahwinan. Kemampuan yang dimaksudkan di dalam Islam bukanlah sekadar mampu mengadakan sebarang persiapan perkahwinan tetapi lebih penting perkahwinan itu mesti diasaskan dari kemampuan zahir, batin dan persiapan mental yang mantap. Asas agama yang jitu sebenarnya menjadi asas utama untuk orang muda berkahwin awal jika mampu dan jika tidak mampu hendaklah dia berpuasa. Inilah didikan Islam jika mampu, berkahwinlah tanpa menjadikan faktor umur menghalang untuk kita berkahwin. Ketakutan untuk berkahwin pada usia muda perlu dikikis kerana perkahwinan itu adalah perintah Allah dan Allah sangat mengetahui kehendak makhluk ciptaannya. Ingatlah janji Allah sebagaimana firmannya  dalam surah An-Nur ayat 32 yang bermaksud :
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui”.
Satu hakikat yang mesti kita sedari ialah perkahwinan itu adalah jalan yang diberikan Allah untuk mengurus manusia agar sentiasa bertindak sebagai manusia. Hubungan lelaki dan perempuan telah dihalalkan dengan akadnikah yang sah sudah tentu mesti diisi dengan tanggungjawab yang bakal mematangkan pasangan. Dalam usia muda ini ambillah peluang yang ada sementara mempunyai kudrat yang masih segar bugar dalam mengisi usia muda. Perkahwinan boleh dijadikan  antara episod penting dalam mengisi jadual orang muda yang sentiasa berada dalam cabaran dan ujian. Alangkah indah apabila usia muda ini menjadi dunia yang dihiasi dengan keredaan Allah. Perkahwinan adalah jalan pasti bagaimana Islam mengajar manusia agar tidak terjerumus dalam lembah kehinaan yang akan menjejaskan masa depan kehidupannya.  Apa yang pasti perkahwinan adalah jalan menuju reda Allah. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud :
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
Wallahwa’lam

No comments:

Post a Comment