Tuesday, 21 May 2013

Suatu Masa Dulu..........Terkenang PadaMu Guruku..

Mengimbau masa zaman persekolahan tentunya ia adalah kenangan manis yang sangat tidak dapat dilupakan. Setiap kali datang Hari Guru 15 Mei aku pasti terkenang saat-saat indah berada di sekolah khususnya sekolah menengah. Ini bukan soal cerita "cinta monyet" kerana ketika di sekolah, aku masih tidak pandai untuk mencari cinta monyet itu. Kesempitan hidup juga adalah perkara yang aku membuatkan aku malas untuk memikirkan perkara tersebut walaupun pada masa itu semua kawan-kawanku sibuk "menyemart" untuk memikat buah hati masing-masing. Malah ada kalangan mereka yang rajin baca buku bukan kerana mereka rajin untuk mentelaah. Tetapi mereka cuba berlakon rajin untuk dilihat rajin. Buktinya ramai yang aku lihat rajin study masa SPM tersungkur keputusannya. Ada juga kalangan mereka yang bercinta di sekolah sampai juga hingga ke jinjang pelamin tetapi ramai lagi yang kecewa "frust menonggeng" kah..kah..kah..kah..


Di mana mereka sekarang agaknya???????

 
Setiap kali tiba hari Guru aku juga terkenang para guru-guruku. Walaupun aku bukanlah murid pilihan, tetapi aku sangat sayang pada guru-guruku. Aku bukan golongan pelajar pintar atau dalam kategori yang bagus tetapi ramai guru sayang kepada aku. Ini bukan perasan ataupun aku poyo sendiri tetapi itu adalah perasaan yang tidak akan hilang hingga kini. Ramai guru yang aku kenali agak mesra dengan aku. Ada guru yang beri tambang balik kampung ketika aku tiada duit untuk pulang ke kampung. Ada guru yang beri aku buku yang aku tidak mampu untuk beli. Ada guru yang membayar yuran asrama aku hingga hampir 3 tahun aku tidak pernah membayar yuran asrama yang memang aku kurang mampu. Ada juga yang menyatakan mahu mengambil aku sebagai anak angkatnya walaupun aku tahu anak guru itu ramai sekali anaknya. Bukan itu saja ada guru yang mengajak aku pulang ke kampung ketika cuti hujung bulan. Aku ketika itu tidak tahu apakah ertinya semua itu. Kerana pada ketika itu bagi aku pertolongan guru ini adalah sangat perlu. Ada juga guru yang walau aku sudah jauh belajar masih bertanya khabar diriku. Malah rasa syahdu pula bila berjumpa pula aku sering dipeluk semacam rindu. Akhirnya aku faham juga semua itu. Itu kasih seorang guru. Kasihnya yang tidak bertepi penganti bapa dan ibu pada masa itu. Paling penting aku banyak belajar.  Mereka telah mengajar aku tentang banyak perkara. Tentang bahayanya kebodohan. Tentang betapa kecerdikan itu mesti disusun aturkan. Tentang bakat yang mesti diasah. Tentang nafsu yang menjadikan kita penat lesu. Tentang ilmu yang mengangkat darjat. Tentang betapa penting bercakap benar. Tentang mesti berjuang untuk Islam. Dan sudah tentu banyak tentang lagi.
            Malah guru adalah cermin pada diriku. Sehingga kini aku masih tidak dapat melupakan igauan ketika aku bersekolah. Walau umur hampir sedekad ini namun seringkali aku masih dilanda mimpi yang aku masih berada di sekolah. Ada yang mendebarkan dan banyak pula yang mencemaskan. Cemas dengan para gurunya. Cemas dengan matapelajarannya. Cemas juga dengan peperiksaannya. Malah cemas juga ketika tersedar dari mimpi itu. Aku merindukan suasana sekolah itu. Aku rindu yang kerinduannya agak susah untuk aku jelas. Adakalanya terfikir juga mahu menjadi guru dan mengajar di sana. Tapi aku pun tidak tahu apakah aku boleh menjadi guru. Peluang untuk menjadi guru itu ada datang 3 kali. Tetapi dengan pelbagai cerita akhirnya aku tolak sahaja tawaran itu. Entah selepas itu semangat untuk menjadi guru sudah lesap entah ke mana.
              Hari Guru yang disambut telah pun berlalu bersama kenangan lalu. Kenangan bersama para guru yang bermacam-macam. Bila dikenang ada yang membuatkan kita tersenyum. Ada juga yang membuatkan kita ketawa bila diimbas. Ada juga yang menyayukan hati. Ada juga yang menimbulkan banyak sesalan yang tak sudah. Kepada para guru ku selamat aku ucapkan. Doa ku selamat dunia dan akhirat. Kepada yang telah pergi dijemput Ilahi moga ruh mu dicucuri rahmat. Kepada semua guru aku ucapkan "SELAMAT HARI GURU, MAAF ZAHIR DAN BATIN"...................



No comments:

Post a Comment