Saturday, 29 December 2012

2012 Pergi Tak Kembali..

Begitu pantas masa berlalu. Dirasakan baru semalam kita menghirup udara 2012 tetiba saja rupanya ia akan meninggalkan kita. Malu juga rasanya bila difikirkan banyak perancangan tahun 2012 masih tinggal perancangan. Ada yang bertanya apakah hukum menyambut tahun masihi. Seperti yang kita tahu ia adalah sekadar uruf sahaja. Jika ia diterima sebagai uruf maka makna tidak salah menjadikannya kalendar asalkan ia bukan bermaksud sebagai kaitan dengan agama. Malah sambutan tahun baru digalakkan asalkan ia ia diisi dengan program zikir dan fikir. Ini adalah pendapat ulama. Kembali kepada kedatangan tahun baru kali ini maka terfikirlah kita betapa masa setahun telahpun meninggalkan kita. Ada yang berkata masa itu emas. Ada yang kata juga masa itu umpama pedang. Malah yang selalu kita kata masa selalu mencemburui kita. Tetapi Al-Quran berkata "Demi masa manusia itu dalam kerugian". Sungguh rugi rasanya dalam masa setahun ini tiada apa yang berubah dalam hidup kita. Lebih malang apabila yang berubah hanya keboroian dan obesti di kalangan kita. Apabila tahun berlalu bermakna juga umur kita akan bertambah. Maka yang mesti kita tanya apakah maksud hidup kita? Cukupkah hidup kita keluar pagi balik malam mencari rezeki? Apakah hidup kita hanya sekadar berkahwin dan beranak pinak? Atau cukupkah hidup kita sambung belajar kemudian mendapat jawatan dan kemudian berangan akan mendapat pangkat dan harta yang banyak untuk meningkatkan darjat? atau cukupkah kita meraikan penilaian prestasi dan menikmati bonus tahunan yang majikan kita berikan. Apakah hanya faktor kebendaan menjadi kayu ukur muhasabah tahun baru kita pada kali ini. Kalau itulah yang kita fikir untuk mengisi masa kita yang berlalu itu maka malanglah kita. Rugilah kita..malah hampehlah hidup kita jawabnya. Jika itulah maksud hidup kita maka tidak hairanlah malam tahun baru akan dicemari dengan seribu satu maksiat. Ramai yang gagal menjadi manusia tetapi ramai yang jadi syaitan yang bertopengkan manusia. 2012 yang berlalu mestilah diinsafi kerana walau apa cara yang kita lakukan ia tidak akan kembali lagi. Masa yang berlalu maka bermakna akan sampai nanti giliran kita untuk dijemput oleh malaikat maut. Jika masa hidup kita siakan  hanya dengan mengejar keindahan dunia yang banyak yang palsu percayalah kita akan menjadi orang-orang yang rugi. Siapa dia orang yang tidak rugi? Iaitu " yang berpesan pada kebenaran dan yang berpesan pada kesabaran". Inilah maksud hidup sebenar kita. Hidup mesti mencari kebenaran dan mencari kebenaran memang bersalut dengan kesabaran. 2012 banyak mengoncang perasaan umat Islam dalam menentukan halatujunya. Dari penghinaan kepada Rasulnya hinggalah kejahilan memahami aspirasinya. Gagal membawa cahaya Islam bermaksud kita gagal membawa kebenaran dalam hidup kita. Pesan aku kepada pejuang Islam. Kita yang berjuang ini sangat memerlukan kesabaran. Kebenaran itu tetap akan datang tetapi kebenaran itu adakalanya terhalang kerana sikap kita sendiri. Islam itu cahaya. Cahaya yang menerangai kehidupan di dunia. Dari 7 petala bumi hinggalah 7 petala langit begitulah hebat cahaya Islam itu. Tetapi jika cahaya itu terpantul pada cermin yang berhabuk, cahayanya pasti akan tidak terpantul. Umat Islam itu umpama cermin itu. Jika cermin itu bersih maka bersinarlah cahaya Islam. Jika berkabut maka kelamlah cahaya itu. 2013 wajar kita jadikan Islam cara hidup kita secara total. Mestilah kita berazam dan berdoa Islam yang kita cintai menjadi rujukan dalam membentuk masyarakat kita. Kita harap bukan Astro yang mencorakkan sikap kita. Bukan facebook yang membentuk ukhwah kita. Bukan juga "money drop" yang mengkhayalkan dunia kebendaan kita. Katakan tidak juga kepada pelbagai senjata zionis yang cukup menggoda kita untuk bertahujjud malam menyaksikan setan merah beraksi hanya kerana mengejar sebiji bola hingga subuh kita pun terabai. Marilah kita berazam moga-moga kita menjadi orang berjaya di dunia apatah lagi di akhirat  pada masa akan datang. Moga-moga Allah pelihara kita agar menjadi hamba yang bersyukur dan hamba yang tahu menghargai masa agar tiba masanya kita memaku Iman dengan Islam yang kita dikurniakan ini. Tiba masanya kita berdakwah membawa Islam dalam neraca hidup kita. Dakwah itu bukan sekadar berceramah. Dakwah itu besar ruangnya. Cara bercakap itu dakwah. Kahwin juga menjadi dakwah. Cara bekerja juga adalah dakwah. Makanya dakwah adalah maksud sebenar hidup kita semua. mendidik anak juga dakwah. Bertegur sapa dengan rakan yang bermasam muka dengan kita itu juga dakwah. 2012 telah pergi kini kita sedang menunggu 2013. Atur langkah dan semat jiwa raga ayuh kita warnai 2013 dengan kenangan bahawa kita adalah Pejuang Islam Sejati.. Allahuakbar!!!!!
                               (Ini adalah contoh Pejuang Paling Cool,  berjuang sampai mati
Dia Pergi Tidak Kembali)

No comments:

Post a Comment