Sunday, 9 September 2012

Ustaz..Salahkah saya menjadi Isteri Kedua?

Kisah yang aku mahu nukilkan ini adalah kisah benar. Kisah seorang gadis awal 30an yang tersepit mencari kehidupan dan mencari keredaan. Orangnya nampak baik, lemah lembut, mempunyai karier yang cerah pada masa hadapan. Jika di lihat pada zahirnya nampak dia wanita sempurna yang mempunyai serba serbi kemewahan. Kereta, rumah, simpanan, aset, rupa paras malah sangat sopan tetapi ramah dalam tutur katanya. Cuma satu yang tiada padanya..Suami......

Keluhan hatinya memang menyentuh perasaan. Dia mulakan kata-katanya hanya dengan genangan airmata yang tidak dapat di tahan-tahan lagi. Sebaknya agak lama sehingga terdiam terpaku untuk mencari kegagahan dalam dirinya. Akhirnya terpacul dari mulutnya " Ustaz salahkah saya menjadi isteri kedua?". Soalan itu secara ikhlas agak sukar untuk aku jawab. Katanya lagi " Apakah saya ini perampas suami orang". Ditanya lagi " Ustaz apakah saya berdosa kerana mengganggu rumahtangga orang?". Untuk meredakan suasana aku cuba merubah topik perbincangan. Aku bertanya padanya "Puan kerja di mana?". Jawabnya " Saya seorang doktor di sebuah hospital kerajaan". Aku berkata dalam hatiku doktor rupanya. Doktor itu menyambung pertanyaannya lagi "Ustaz salah ke saya mencari suami yang baik, soleh, bertanggungjawab walaupun dia itu telah beristeri?. Saya agak sibuk dalam kerja tetapi saya terasa sunyi apabila duduk sendirian, Kadang-kadang saya tertekan" ceritanya lagi. Saya katakan padanya apakah dia sudah berfikir panjang. Dia menjawab " Ustaz saya hanya mahu seorang suami yang soleh malah saya sanggup tidak menuntut sebarang belanja rumah untuk diri saya. Saya hanya mahu bergelar isteri kepada seorang suami yang baik. Apa gunanya perkahwinan jika yang menjelma darinya adalah derita kerana sorang suami jahat" katanya bersungguh-sungguh. 

Panjang kami berbincang tentang perkara ini. Saya telah menerangkan beberapa wasilah dalam merungkai persoalan doktor ini. Dia mendengar dengan khusuk dan teliti. Malah dari raut wajahnya aku lihat jiwa raga begitu berkobar-kobar untuk merealisasikan hasratnya. Ketika doktor itu hendak minta diri untuk pulang, spontan aku bertanya lama sudah berkawan dengan bakal suaminya itu. Jawab doktor muda itu "Lama ustaz, tetapi Ustaz sebenarnya saya tidak bercinta. Sebenarnya dia juga seorang doktor yang agak senior dari saya di sebuah klinik kesihatan kerajaan. Saya hanya menyimpan perasaan padanya. Dia pun sebenarnya tidak tahu yang saya menaruh hati padanya. Saya masih belum ada kekuatan untuk berterus terang yang saya sukakan dia kerana dia sangat baik. Malu saya bila memikirkan siapa saya. Bukan pada saya saja dia baik tetapi pada semua orang dia baik. Bagi saya jika saya mendapat suami yang baik itu sudah cukup saya rasa bahagia, saya tahu apa yang saya hajatkan pasti akan ada rintangan. Tetapi apa yang saya lakukan ini bagi saya tiada kesalahannya kerana saya bukan melanggar perintah Allah SWT" katanya sambil bangun, mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.  Doktor ini telah berlalu tetapi aku masih kelu berfikir cita-cita doktor ini yang hanya tersimpan kukuh di dalam kalbunya...Pasti jiwa raganya berkocak kuat membina sabar yang bakal dicabar derita....Aku terus berfikir dan berfikit. Bukan semua hati manusia boleh kita kita jangka dan fikirkan. Makin difikir makin mesti kita berzikir.waullahwa'lam..

No comments:

Post a Comment