Tuesday, 27 November 2012

Kisah Kinjeng....


Kinjeng. Itulah gelaran yang diberi oleh abah beri pada aku. Tidaklah aku ketahui kenapa dan mengapa abah memanggil nama manjaku dengan panggilan itu. Kinjeng adalah bahasa Jawa. Maksudnya dalam bahasa Malaysia ialah Pepatung. Dalam bahasa Inggeris Dragonfly. Tidak aku pasti kenapa abah menggelarkan aku begitu. Apakah kerana perangai atau kerana bentuk batang tubuhku.  Jika di pendalaman Amerika, pepatung ini adalah simbol perubahan iaitu sikapnya setelah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu. Dalam sastera Jepun pula pepatung adalah lambang kekuatan, keberanian dan lambang kegembiraan. Malah yang aku tahu pepatung ini adalah makhluk ciptaan Allah yang agak unik.  Apa tidaknya jika diperingkat larva bagi pepatung yang besar boleh mencecah sehingga 5 tahun. Dalam spesies yang lebih kecil pula, peringkat larvanya hanya mengambil masa antara 2 bulan hingga 3 tahun. Apabila larva telah bersedia untuk menjalani metamorfosis menjadi dewasa,ia akan memanjat lalang air atau tumbuhan terapung. Keadaan terdedah kepada udara menyebabkan larva mula bernafas. Kulit larva atau juga digelar sebagai kepompong akan terbuka pada bahagian yang lemah dan lembut di belakang kepala. Kemudian, pepatung dewasa akan merangkak keluar dari kulit larva yang lama lalu mengembangkan sayapnya dan terbang mencari lalat atau serangga kecil sebagai makanan. Peringkat dewasa bagi kebanyakan pepatung hanya selama 4 bulan. Bila difikir susahnya menjadi seekor pepatung. "Bila difikir lagi apakah sikap ku seperti pepatung". "Mungkin ye mungkin juga tidak". "Apakah kerana nama ini seringkali aku dipermain, diperkotak katik, dibuli dan sering pula aku merasa semua keputusan hidupku telah ditentukan oleh orang lain" itulah keluhan Kinjeng."Tapi yang pasti abah lah memanggil ku dengan panggilan Kinjeng". Fikiran Kinjeng melayang sambil dipicit-picitnya jerawat yang tumbuh di atas bibirnya. "Kinjeng pun kinjeng lah asalkan aku disayangi oleh abah dan emak". Sambil terkebil-kebil Kinjeng hanya senyum sendiri. Di pandangnya jam di dinding pukul 12.30 malam. Malam sudah terlalu larut.

 Terkejut Kinjeng apabila muncul di depannya seorang yang dia kenal namanya Gondol. Bagai hendak gugur jantung Kinjeng apabila Gondol datang menemuinya. Telah setahun tidak berhubung tanpa disangkan Gondol datang muncul lagi dalam hidup Kinjeng. Memang benar ada sahabat mencadangkan agar Kinjeng berhadapan dengan Gondol untuk menyelesaikan perkara berbangkit. Tidak disangka Gondol muncul secara mendadak. Merah padam muka Kinjeng. Gila betul si Gondol ini getus hati Kinjeng. Gondol adalah kenalan Kinjeng. Dari berkenalan hinggalah akhirnya Gondol mulai jatuh hati.  Kalau dulu kemunculan Gondol cukup menyebabkan hidupnya tidak tenang. Kinjeng hidup macam pelarian. Gondol yang sudah berumahtangga ini memang memenatkan untuk melayan hasratnya. Kinjeng tidak tahu kenapa Gondol bersikap begitu pelik terhadapnya. Kadangkala Kinjeng terfikir juga apakah dia tersilap meminta hinggakan Gondol ini seperti tidak faham bahasa terus menerus menganggu hidupnya. Kerana Gondol akhir selera untuk berkahwin seolah-olah patah. Kinjeng masih ingat lagi bagaimana amukan isteri Gondol yang menuduhnya macam-macam. Hairannya kenapa dia tidak menyalahkan Gondol. Angkara ini adalah angkara Gondol. Tidak terkata betapa sakit hati Kinjeng bila memikirkan Gondol yang seorang ini. Gondol betul. Tapi perasaan Kinjeng kali ini sangat berbeza. Perasaan kali ini juga amat tidak disangka-sangka. Benci telah menjadi rindu. Ya... Cerita sudah terbalik. Kinjeng betul-betul tidak faham. "Ya Allah apakah ujiannya kali ini'. "Ya Allah kenapa perasaanku berdebar-debar" detik hati Kinjeng. Kinjeng mahu menangis sekuat hati tetapi tidak berdaya. "Hairan" kata Kinjeng. Ketika ini Kinjeng hanya pasrah.

Hari yang ditunggu telah pun tiba. Saat Kinjeng dan Gondol akan disatu. Saat itu teringat Kinjeng kata-kata abahnya " Kalau nak nikah suruh la sapa-sapa nikahkan". Balas Kinjeng " Kalau abah tak nikahkan aye taknak nikah". Tidak sangka pula Kinjeng yang itulah kata-kata terakhir abah sebelum abah dijemput Ilahi. Saat itu jugalah cita-cita untuk berkahwin menipis. Tidak sangka pula keputusan menamatkan zaman bujang dapat Kinjeng semudah ini. Malah agak pantas juga akhirnya Kinjeng bersetuju pula menerima lamaran Gondol untuk menjadi permaisuri dalam hidupnya. Dengan pakaian pengantin warna putih dan dihiasi batu labuci Kinjeng duduk di atas bantal pengantin menanti Gondol yang masih sampai. Majlis akad nikah tidak dibuat di masjid kerana ada ahli keluarga yang tidak bersetuju katanya bid'ah. Tidak kisah lah lagi pun ikut hari bulan waktu uzur syarienya telah tiba masanya. Tarikh 12.12.12 jam 12.12 tengahari Kinjeng akan diakadnikahkan. Maskahwin Kinjeng pula 12,121.20sen Tarikh tersebut Gondol yang pilih. Entah apa rahsianya Kinjeng pun tidak tahu. Cuma dengan nada gurauan pernah juga dicakapnya "semoga dapat anak 12 orang". Gondol ketawa sendiri saja. Ditemani adik Kinjeng duduk menanti Gondol dengan penuh debaran. Entah kenapa hati berdebar-debar dan rasa hatinya juga tidak keruan. Seolah-olah rasa hatinya akan ada satu perkara akan berlaku. Perkara apa Kinjeng tidak tahu. Tapi Kinjeng dapat merasakanya. Dipujuknya hati. Biasalah kalau hendak menjadi isteri mungkin begitu perasaannya keluh hatinya. Tanpa ada mendung tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Hingar bingar rumah dibuatnya. Para ahli rewang sibuk menyelamatkan hidangan. Para mak bapa sibuk mencari anak yang hilang dari pegangan tangan. Kelam kabut juga apabila angin yang bertiup menempias yang menyebabkan keadaan menjadi huru hara. Kata adik " hujan rahmat". Kinjeng tahu ayat itu hanya untuk memujuk hatinya yang sedang gundah gulana. Hati Kinjeng sedikit reda resahnya apabila Gondol dan rombongannya sampai juga. Air muka Gondol bercahaya dan berbunga. Baju pengantinnya segak bergaya. Lirikan matanya penuh dengan kepuasan. Akhirnya Kinjeng bakal menjadi miliknya. Kinjeng seolah-olah bisu tidak dapat berkata apa-apa. Kinjeng sangat hairan kenapa dia mesti mengahwini Gondol, sedangkan dia sebelum ini sangat bencikannya. Mungkin inilah akibatnya bila benci menjadi cinta. Lamunan Kinjeng masih meliar kenapa dia mesti mengahwini Gondol. "Apakah aku telah dibomoh"bisik hati Kinjeng. "Tetapi aku sedar tetapi kenapa pula aku tidak menolak lamarannya" keluh hati Kinjeng lagi. Kinjeng betul-betul bingung dengan situasi yang dihadapinya. Hati Kinjeng terus bergelora apabila dia terpandang kelibat seseorang. Kelibat yang sangat dia kenal. Kelibat yang pernah memarahinya. Kelibat yang bakal mengikatnya menjadi kakak dan adik. Kelibat yang bakal berkongsi kasih bersamanya. Kelibat itu memandang tajam padanya. Kelibat itu seolah-olah mahu menerkamnya. Kelibat yang sedang memegang sebatang kayu yang padu nampaknya. "Ya Allah Selamatkanlah aku dari sebarang malapetaka" doa Kinjeng. Belum sempat Kinjeng menghabiskan doanya tiba-tiba terasa badannya dihambat dengan objek yang sangat keras. Kinjeng tidak ingat apa yang berlaku. Insiden itu sangat pantas berlalu. Kinjeng tidak dapat berfikir apa sebenarnya yang sedang berlaku. Hanya kedengaran suara tangisan. tangisan itu jugalah menyebabkan Kinjeng juga menangis. Sedu sedan lebih berombak seperti budak kecil. Kinjeng tidak peduli siapa lagi. Dia pejamkan matanya dan menangis sekuat hatinya. Kesal dengan apa yang berlaku. Tangisan Kinjeng semakin kuat hinggalah dia disapa seseorang " Kinjeng..Kinjeng..kenapa ni?" "Kinjeng..Kinjeng..bangun". Suara itu amat Kinjeng kenal. Lalu dibuka matanya. "Kenapa ni Kinjeng..kenapa menangis teruk sangat ni? Kenapa sampai jatuh katil ni?" bebel mak pada Kinjeng. Ya Allah mimpi rupanya aku bisik hati Kinjeng. " Lain kali kalau nak tidur bacalah doa bukan main jerawat" bebel mak lagi. "Pergi bersihkan diri dan ambil wuduk" kata mak menambah bebelannya. Jam di dinding menunjukkan jam 4.30pagi. Ya Allah syukurlah ini hanya mimpi kata Kinjeng. Lega Kinjeng bila tahu ini adalah mimpi. "Patutlah macam tak logik" kata hati Kinjeng. Cuma yang pasti badannya terlalu sakit kerana jatuh katil.Mungkin betul juga kata abah aku mungkin mesti menjadi seperti Kinjeng selepas ini. Mesti berani, mesti tegas dan jangan biarkan sesiapa mengkambing hitamkan hidup Kinjeng. Itulah yang Kinjeng fikirkan sekarang. "Mungkin itulah sebabnya aku digelar oleh abah sebagai Kinjeng" kata Kinjeng pada dirinya sendiri...



No comments:

Post a Comment