Tuesday, 16 April 2013

Ini Khutbah Jumaat Untuk Semua..



 Budaya Politik Fitnah
اَلْحَمْدُ ِللهِ  الْقَائِلِ
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُواْ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاء وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ 
قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
(Al-Baqarah ayat 30)   
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ  إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ  لاَ شَرِيْكَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Sekalian,
            Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Iaitu dengan melaksanakan perkara yang makruf dan mencegah kemungkaran. Mudah-mudahan kita semua tergolong di kalangan orang yang berjaya di dunia berjaya juga di hari akhirat. Ingatlah, keingkaran kita kepada Allah SWT hanya akan menyusahkan diri sendiri. Mimbar hari ini khatib mulakan dengan Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka(iaitu kaum Muslim)”. (Hadis Riwayat Thabrani)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
            Politik merupakan antara cabang hidup yang sangat penting dalam urusan kita untuk membina ummah. Selain dari agama, ekonomi, pendidikan, pembangunan sosial dan pembangunan fizikal, politik ialah antara perkara yang sangat penting dalam meneruskan agenda pembentukan ummah yang madani. Perkara ini sebenarnya saling berkaitan rapat disebabkan ia memerlukan antara satu dengan lain, kerana Islam itu adalah cara hidup untuk membentuk kesejahteraan dalam kehidupan. Contoh yang paling mudah ialah apabila politik itu stabil maka semua urusan dalam kehidupan dapat berjalan dengan sebaiknya dan begitulah sebaliknya. Contoh yang paling baik untuk kita jadikan pedoman ialah bagaimana tindakan politik Nabi Muhammad SAW yang telah membentuk perlembagaan Piagam Madinah kerana mahu mewujudkan sistem keadilan kehidupan bagi masyarakat Madinah tanpa memilih bulu berdasarkan agama mahupun bangsa keturunan. Piagam Madinah adalah sisi yang paling mujarab untuk membinaan kembara dakwah yang lebih mantap dengan memperkukuhkan sistem dan iltizam politik Islam. Politik telah Baginda jadikan sebagai antara saluran dakwah yang paling berkesan ketika itu, hinggakan sokongan terhadap Baginda telah merentasi bukan sekadar diperolehi di kalangan umat Islam tetapi umat bukan Islam, yang akhirnya kesan yang paling manis dalam kesabaran dakwah Baginda maka ramai yang memeluk Islam kerana terpikat dengan lenggok dakwah Baginda ini. Ini memberi pengertian bagi kita sebagai umat Islam agar turut memberi tumpuan politik sebagai medan dakwah Islamiah yang mesti diambil kesempatan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Sama ada di media cetak mahupun elektronik kini, topik pilihanraya  atau lebih tepat topik politiklah telah menjadi bualan, perbincangan dan sebutan. sama ada pemimpin politik , pemimpin masyarakat, kakitangan awam dan swasta, sehinggalah ke akar umbi seperti petani dan nelayan pun, rakyat berbicara tentang politik dan piliharaya. Maka kedengaranlah hujah, kritikan, bangkangan, sokongan dan sebagainya yang pasti telah menyentuh emosi dan perasaan rakyat di pelbagai peringkat.  Perang poster parti-parti politik yang bertanding berkibar dan telah digantung di semua sudut tempat untuk menarik sokongan masing-masing, malah ada kalanya tunggul kayu di tepi jalan yang selama ini sudah tidak dipedulikan orang pun, telah di balut dengan poster yang berbagai ragam dan gaya. Malah dengan penggunaan teknologi terkini dalam dunia internet maka kepantasan untuk menyampaikan maksud kempen mereka nampaknya semakin rancak dikemaskini. Kerancakan medan siasah kini semakin menarik minat apabila ada saja janji atau tawaran yang diberikan oleh para politikus untuk memenangi hati para penyokong apatah lagi kepada para pengundi. Janji pilihanraya yang ditabur ini mesti segera dinilai apakah akan menjadi realiti ataupun sekadar retorik politik semata-mata. Ini penting, agar yang memerintah nanti akan sentiasa dipantau prestasi perkhidmatannya agar dapat dilaksanakan seikhlas-ikhlasnya. Dan itulah realiti sebuah negara yang mengamalkan apa yang dikatakan demokrasi berparlimen yang mana report card para Yang Berhormat akan dinilai setiap 5 tahun oleh rakyatnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Apa yang perlu difahami ialah hakikat sebenarnya pilihanraya bukanlah medan atau gelanggang untuk kita saling salah menyalah, tuding menuding mencari salah, hina menghina antara satu dengan yang lain, kafir mengkafir atau menjadi medan menunjuk kuat di antara satu dengan yang lain. Malah dimusim piliharaya ini muncul pelbagai cerita, tohmahan dan tempat mencari kesilapan lawan dan kawan. Lebih malang apabila perkara tersebut berakhir dengan selisih faham yang membawa pergaduhan dan kecedaraan. Apa yang mendukacitakan lagi medan politik telah dijadikan alasan untuk matlamat menghalalkan cara. Maka tidak hairanlah jika kita memerhatikan iklim politik dunia akhirnya serunai pertelingkahan ini berakhir dengan tumpah darah dan kehilangan nyawa. Akibatnya  muncul pula persepsi bahawa politik itu kotor dan ia tidak patut diceburi yang akhirnya ada di kalangan umat Islam yang meninggalkan langsung sektor ini yang menjadikan umat Islam itu hanya sebagai yang diperintah bukan pemerintah.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah sekalian,

Tetapi perlu di ingat gelanggang politik ini sebenarnya adalah pentas atau gelanggang kita untuk mencari kesejahteraan hidup bernegara supaya semua rakyat dapat hidup dalam suasana keuntungan serta semua pihak berhak diberi keadilan, perkara inilah diharap akan melahirkan kesejahteraan dalam kehidupan. Ini kerana keuntungan dan kesejahteraan dalam kehidupan adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam kita. Firman Allah s.w.t dalam surah Jumu’ah ayat 10  :


Maksudnya : Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.

            Maka sebab itu satu pekara perlu kita ingat ialah untuk mencari keuntungan dan kesejahteraan hidup adalah sangat-sangat dituntut dan politik antara saluran bagaimana untuk kita mencapai matlamat tersebut. Apa yang mesti kita ingatkan ialah berpolitik merupakan Fardhu Kifayah kepada umat Islam. Sebab itu sebagai seorang Islam mestilah kita mengambil bahagian atau sekurangnya menjadi pemilih kepada kaedah untuk membentuk kerajaan ini. Sebab itu keterlibatan perlulah ada di kalangan umat Islam khususnya. Ini kerana apabila tiada antara kita yang peduli dalam masalah politik ini, bimbang nanti pentas penting ini diambil alih oleh mereka yang tidak layak untuk berpolitik. Lihat saja masyarakat di Asia Barat yang satu ketika dulu tidak peduli hal ini barulah tahu kesannya sedang berlaku kini. Sewajibnya kita mesti mengambil iktibar dari firman Allah yang berbunyi :
Bermaksud : “ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (An-Nisaa’ ayat 58).

Sehubungan dengan itu juga sudah tiba masanya golongan muda khasnya perlu mempunyai kesedaran politik yang tinggi agar keterlibatan mereka sebagai “pengantung poster” saja tidak mencukupi tetapi mereka perlu mempersiapkan diri dengan ilmu agar masa depan politik mereka boleh pergi jauh dan mempunyai prinsip politik yang tegas dalam berjuang untuk rakyat seterusnya untuk masa depan Islam yang cemerlang.
            Namun begitu perkembangan semasa melihatkan medan politik telah dijadikan alasan berlakunya perpecahan ummah. Sedangkan tuntutan disebalik berpolitik itu adalah sesuatu yang baik. Ini kerana politik yang meninggalkan acuan politik Islam akhir medan ini menjadi tempat tercetusnya budaya yang kurang sihat kesan dari pertembungan pihak-pihak yang menjadi pemain politik. Antara perkara yang sedang menjadi barah dalam politik masyarakat kita kini ialah budaya politik fitnah. Fitnah telah diajdikan senjata yang paling tajam dan paling mudah untuk menjatuhkan maruah lawan masing-masing. Fitnah kini seolah-olah ramuan yang paling mujarab untuk mendapatkan kemenangan sesebuah pihak. Tidak kira apa cara lawan politik telah dibudayakan untuk dicerca dan fitnah dengan keji sekali. Malah kerana fitnahlah berlakunya kebahayaan yang tidak dapat dijangka. Ada dikalangan kita juga kadang-kadang terlupa ancaman Allah dalam firmanNYA :
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat)”.
Perkembangan ini sudah tentu menyedihkan dan bercanggah dengan syariat Islam itu sendiri. Oleh yang demikian dalam suasana demam pilihanraya ini, hendaklah kita sentiasa mengamalkan dasar-dasar yang baik dan batas-batas tertentu agar semua pihak tidak terlanjur melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada pepecahan ummah seterusnya menimbulkan semangat permusuhan antara satu dengan lain. Apalah yang yang boleh dibanggakan jika yang menang jadi arang yang kalah jadi abu. Sejarah telah membuktikan bahawa betapa budaya politik fitnah ini telah mengundang padah yang menjadi cacatan hitam dalam perkembangan Tamadun Islam. Lihat saja apa yang terjadi kepada Saidina Uthman bin Affan. Apakah yang terjadi kepada Saidina Ali bin Abi Talib. Tidakkah kita mengambil iktibar kepada perpecahan ummah sehingga wujud perpecahan di antara umat Islam kepada golongan Sunnah dan Syiah. Permusuhan yang tidak berkesudahan ini bukan sahaja telah menyebabkan berlakunya perang saudara yang menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda malah yang paling terkesan umat Islam telah hilang moral di mata umat bukan Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

            Maka sudah tiba masa dan ketikanya untuk kita melihat dan belajar tentang teknik dan contoh berpolitik seperti yang diajar oleh Rasullullah s.a.w. Rasullullah s.a.w bukan sahaja di kenali  sebagai Nabi atau daie tetapi baginda juga adalah pencatur politik yang terbaik, malah politik juga adalah sebahagian daripada metod dakwah yang digunakan oleh baginda Rasullullah s.a.w dalam menyampaikan syiar Islam. Walaupun di himpit berbagai ranjau dan dugaan sebagai pemimpin politik yang unggul beliau akhirnya berjaya menyampaikan risalah Islam ke seluruh dunia. Akhlaknya sebagai pemimpin politik bukan sahaja disanjungi dan ditaati oleh para pengikutnya malah Rasullullah  s.a.w sangat di segani dan di hormati oleh musuh-musuhnya sendiri. Sejarah telah membuktikan bagaimana Rasullallah s.a.w telah  berjaya dalam membentuk hal ini. Adalah sangat menakjubkan apabila kerajaan kristian Habsyah yang sudah tentu berbeza pendapat dengan baginda sudi memberi perlindungan atau suaka politik kepada orang-orang Islam sebelum hijrah. Tidak terbayang di benak kepala kita bagaimana seorang Raja kristian sanggup memberi pertolongan walau sedar akan adanya risiko dan ancaman  yang akan berlaku terhadap kerajaannya. Sudah tentu ini adalah kerana diplomasi atau teknik politik yang sangat berkesan yang telah ditunjuk oleh Rasullullah s.a.w. Malah bukan itu saja, sejarah pembukaan Kota Mekah adalah kemuncak yang telah menceritakan segala-galanya dalam sikap dan prinsip politik Rasullullah s.a.w. Bukan saja taktik dan teknik politik Rasullullah s.a.w sangat tersusun, malah akhlak Rasullullah s.a.w dalam memaafkan segala kesalahan para musuh-musuh politiknya jelas telah memberi impak atau kesan yang besar yang akhirnya Islam dihormati dan tersebar keseluruh dunia. Hal ini di rakamkan dalam Al-Quran surah An-Nashr yang berbunyi :


Maksudnya “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah),
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai.

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Ia sangat-sangat menerima taubat”.


            Apa yang ingin ditegaskan ialah umat Islam perlulah menjadikan Rasullullah s.a.w sebagai contoh. Janganlah kerana perbezaan pandangan politik, kita berpecah,beseteru atau memutuskan ukhwah Islamiah kita. Adalah sangat wajar menjadikan medan politik ini sebagai dakwah bil hal yang perlu ditunjukkan kepada umat-umat yang lain. Kita umat Islam adalah yang terbaik dan sudah tentu mesti menjadi contoh yang baik Biarlah kita menjadi seperti pelangi. Walaupun berbeza warna tetapi perbezaan itulah yang menunjukkan keindahannya. Dan sudah tentu itulah yang paling penting buat kita yang bernama mukmin dalam menonjolkan Islam adalah agama yang indah dan penuh kedamaian. Perbezaan pendapat itu perlu dijana supaya di minimumkan kesan perbalahannya. Jangan sampai nanti pilihanraya sudah berlalu tetapi kita masih bermusuh dan tidak bertegur sapa. Sebarang masalah yang timbul perlu diselesaikan secara hikmah bukan secara amarah. Segala ketidak puashatian perlulah dibawa kepada saluran yang telah disediakan. Pepecahan yang berlarutan akan hanya menambahkan jerih perit masalah kepada umat Islam kita, yang sedang bangkit daripada luka lama iaitu penjajahan dan perpecahan. Perpecahan memudahkan proses penjajahan dan penjajahan menimbulkan kenangan yang memilukan dan memeritkan. Biarlah hendaknya perbezaan pendapat itu diraikan bukan ditohmah sebelum dipertimbangkan. Biar juga perbezaan itu menunjukkan keindahan akhlak umat Islam yang walaupun berbeza pendapat tetapi perbezaan itu umpama indahnya pelangi yang indah kerana berbeza warnanya.
            Semoga kita semua sebagai umat Islam sedar akan perkara ini dan  akan menjadi umat yang maju dari semua aspek kehidupan khasnya  dalam berpolitik untuk melahirkan kerajaan dan negeri seterusnya Negara yang diredai dan di rahmati Allah s.w.t. Semoga juga dengan terjawabnya siapa yang menang dan siapa yang tidak berjaya dalam memenangi piliharaya kali ini, dapat meredakan ”kepanasan” yang melanda. Marilah kita raikannya dengan bermaaf-maafan di antara satu dengan yang lain kerana dengan cara tersebut itu saja, kemenangan itu menjadi lebih bermakna.
Maksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

No comments:

Post a Comment