Thursday, 18 April 2013

Selamat Jalan Sahabat..Al-Fatihah BuatMu..

 Semalam mendapat berita seorang sahabat telah dijumpai diserang strok dan dikatakan keadaannya agak membimbang. Tahap otak mati telahpun menimpanya. Jam 11 malam tadi akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir. Umurnya 28 tahun meninggalkan seorang isteri dan seorang anak. Aku tumpang sedih dengan berita ini. Sebagai umat Islam maut yang menjemput tidak mengenal siapa, muda atau tua, sakit atau sihat, kaya atau miskin, berdarjat atau melarat, rabun atau terang, bujang atau dara, duda atau janda.. Apabila sampai masanya nyawa pasti akan direntap Malaikat Maut nanti. Kematian ini adalah antara iktibar bahawa betapa lemahnya kita sebagai manusia. Sehebat mana kita rasa riak dan sombong, ingat kita akan mati. Mati mengajar kita betapa sibuk mencari hidup di dunia jangan lupa menyeimbangkannya dengan bekalan akhirat. Kita sering terlupa dalam hidup ini hendaklah banyak berbakti kepada Allah. Kerana itu saja harapan kita untuk menghadapi kematian yang baik. Kita selalu melenting apabila kereta baru kita dicalar orang. Bergempita kemarahan kita hamburkan. Malah turut mengeluh sepanjang masa walaupun kadang-kadang calarnya tidak sebesar mana. Tapi jika iman kita yang tercalar langsung kita tidak peduli sedangkan imanlah akan menentukan segala-galanya dalam hidup kita. Jika kita derita di dunia derita lagi di akhirat jika tercalar iman ini. Aku berpesan pada diri ini dan pada semua. Masa untuk kita hidup berkurangan setiap saat. Hargai peluang yang ada kerana jika nyawa sudah melayang ia tidak akan kembali ke dunia ini. Manusia ini memang selalu mendapat peluang tetapi jarang sekali manusia itu mengambil peluang dengan peluang yang dihidang. Kepada arwah aku ucapkan selamat jalan. Semoga perjalanan ini semua baik-baik belaka. Kepada yang ditinggalkan bersabarlah dengan ujian ini kerana orang yang beriman adalah orang yang diuji.

Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia dimuka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa".


No comments:

Post a Comment