Monday, 1 April 2013

Senyum itu Sedekah..

Pulang ke kampung baru-baru ini amat menerujakan. Yang paling teruja mestilah anak-anak yang mahu berjumpa sepupu mereka di kampung. Dalam perjalanan kami lihat 'perang' bendera telah pun bermula dengan rancak sekali. Ini tanda demam pilihanraya sudah sampai tahap "demam campak". Kesempatan pulang ke kampung juga secara kebetulan abah mahu ke Hospital Tanjung Karang untuk mengambil darah. Suasana di hospital tidak banyak berubah sejak aku kecil lagi. Masih begitu. Yang berubah hanya jumlah kehadirannya. Agak sesak juga aku kira. Ramai kalangan mereka adalah di kalangan orang kampung dan warga tua. Dalam kesesakan itu pula layanan di hospital tidaklah semesra mana. Malah ketika nama abah aku dipanggil, panggilannya agak kurang ikhlas bunyinya. Aku cuba memahami saat itu. Aku kira mungkin kerana kerja di hospital agak tegang dan memenatkan kakitangannya melayan pesakitnya sekadar saja. Pernah dulu aku mendapat rawatan di sebuah hospital separa swasta. Berbulan-bulan aku duduk di sana agak sukar aku mendengar rungutan atau keluhan warganya dalam bekerja. Malah di sini punca penyakit agak cepat diketahui berbanding di hospital biasa yang memerlukan masa yang agak panjang. Jawapannya hanya satu kalau ada duit semuanya menjadi mudah..kapitalis sungguh.. kenapa agaknya sikap kita kemanusiaan berbeza. Agak lunak bila duitnya ada dan agak kasar jika rawatannya ialah percuma. Inilah adalah sikap goblok segelintir manusia hina. Hina kerana memandang duit itu adalah segala-galanya. Memandang hina golongan marhaen dan mustad-a'fin. Tetapi memandang tinggi pada mereka yang ada gaya, mutu dan keunggulan. Manusia selalu memberi alasan untuk hidup. Jarang sekali mereka hidup itu adalah untuk saling memberi balasan. Mereka sering mengharap balasan tetapi untuk memberi balasan mereka anggap ianya hanya merugikan. Kerja bukan saja ibadah tetapi ia adalah amanah. Amanah yang akan dipersoal tidak kira di mana kita berkerja. Bekerja sebagai kakitangan awam bermaksud kita berkhidmat untuk rakyat. Rakyat adalah amanah kita untuk menjagainya. Peristiwa di hospital telah mengajar aku bahawa manusia ini sering lupa pada masa depannya. Masa depannya yang muda akan tua, yang kaya akan miskin, yang lapang akan sibuk dan yang sihat akan sakit. Jika kita tidak berbuat baik pada orang tunggulah jalan hadapan kita pasti orang lain tidak akan berbuat baik pada kita. Itulah resam roda kehidupan. Pulang dari hospital aku lontar satu senyuman pada makcik yang memanggil nama abah aku. Walaupun tiada balasan aku puas kerana aku telah menolongnya sesuatu. Aku telah bersedekah dengannya. Senyum itu sedekah. Tanpa mendapat balasan senyuman itu pasti nanti ada balasan pahala yang mendambakan syurga..
( Senyum Ikhlas Wak Tanjung Karang)


No comments:

Post a Comment