Monday, 29 December 2014

Hidup dan Perjuangan...

Sepanjang hidup ini kita tidak akan sunyi dengan ujian. Ujian menyebabkan kita tertekan dan terasa. Tetapi jika difikirkan ujian hidup ini adalah untuk kita merasa lebih dewasa. Merasa tertekan itu memang ada tetapi setiap ujian itu sebenarnya akan menjadikan kita menghargai sesuatu dalam hidup ini. Sesuatu yang mengajar. Suatu yang mematangkan. Sesuatu yang menjadikan kita lebih kreatif dalam menangani sesuatu ujian yang mendatang. Bila difikirkan Allah Maha Penyayang. Setiap kali ujian akan datang maka diberinya kita "signal" akan kita bersiaga dalam menghadapinya. Terjaga malam adalah cara bagaimana kita mesti memahami bahawa perlunya sujud untuk mencari 'token' kehidupan yang tidak dapat dijangka walaupun sesaat. Hidup dan perjuangan. Hidup adalah perjuangan. Perjuangan sulamannya ialah ujian. Ujian itu adalah hiasan yang paling cantik. Kerana ujian itu pasti meninggal kesan. Tidak kiralah sama ada manis atau pahit ialah adalah pedoman yang sangat 'menyamankan'. Ingat perjuangan itu perlukan pengorbanan. Kerana syarat berjuang berkorban atau terkorban...

Monday, 22 December 2014

Masa Yang Pergi..

           Dalam percaturan kehidupan, kita sebenarnya hanya mampu merancang. Perancangan itu adalah kewajipan kita tetapi untuk menentukan kejayaan sesuatu yang dirancang maka kita hanya wajar berteori sahaja. Kini tahun 2014 akan melabuhkan tirainya. Seakan baru saja datang dan dia mahu sudah pergi. 2014 telah meninggal pelbagai memori dan kenangan yang mesti diambil iktibar. Kegagalan masa ini bukanlah kegagalan akan dating. Itupun jika kita cuba memahami apakah strategi yang paling berkesan dalam menggapai suatu impian.
             Dewasa ini hidup adalah nafsi-nafsi. Enau melepaskan pucuk masing-masing. Dikala kita menyatakan kita ini ikhlas sebenarnya kita sukar untuk ikhlas. Keikhlasan mungkin mudah untuk diluah tetapi sukar untuk diamalkan.  Keikhlasan sangat sinonim dengan keimanan. Sebab itu Allah meletakkan para mukhlisin adalah sentiasa mendapat keredaanNya. Firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 146 yang bermaksud:

"Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (ugama) Allah, serta mengerjakan ugama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar." 


2014 adalah tahun yang sangat banyak cabarannya. Sama cabaran kehidupan atau cabaran semasa yang mendatang betapa ia amat menagih untuk kita belajar untuk ikhlas. Ikhlas hanya untuk Allah sebab itu hanya Allah sahaja yang tahu sama ada kita ini ikhlas. Ikhlas adalah jalan atau lebuhraya untuk masuk syurga. Masa yang pergi tidak akan kembali lagi. Tetapi ikhlas yang pergi hanya neraka akan menanti. Ayuh pupuklah keikhlasan untuk diri. Diri hanya hamba Ilahi. Jangan kerana mencari dunia yang menanti hanyalah derita dan cerita duka.



Maksud Hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya manusia yang pertama dihisab pada hari kiamat nanti adalah seseorang yang mati syahid, di mana dia dihadapkan dan diperlihatkan kepadanya nikmat yang telah diterimanya serta ia pun mengakuinya, kemudian ditanya: Apakah yang kamu gunakan terhadap nikmat itu? Ia menjawab: Saya berjuang di jalan-Mu sehingga saya mati syahid. Allah berfirman: Kamu dusta, kamu berjuang (dengan niat) agar dikatakan sebagai pemberani, dan hal itu sudah terpenuhi. Kemudian Allah memerintahkan untuk menyeret orang tersebut yang akhirnya dia dilemparkan ke An Nar (neraka).
Kedua, seseorang yang belajar dan mengajar serta suka membaca Al Qur’an, dia dihadapkan dan diperlihatkan kepadanya nikmat yang telah diterimanya serta ia pun mengakuinya, kemudian ditanya: Apakah yang kamu gunakan terhadap nikmat itu? Ia menjawab: Saya telah belajar dan mengajarkan Al Qur’an untuk-Mu. Allah berfirman: Kamu dusta, kamu belajar Al Qur’an (dengan niat) agar dikatakan sebagai orang yang alim (pintar), dan kamu membaca Al Qur’an agar dikatakan sebagai seorang Qari’ (ahli membaca Al Qur’an), dan hal itu sudah terpenuhi. Kemudian Allah memerintahkan untuk menyeret orang itu yang akhirnya dia dilemparkan ke dalam An Nar (neraka).


Ketiga, seseorang yang dilapangkan rezekinya dan dikurniai berbagai macam kekayaan, lalu dia dihadapkan dan diperlihatkan kepadanya nikmat yang telah diterimanya serta ia pun mengakuinya, kemudian ditanya: Apakah yang kamu gunakan terhadap nikmat itu? Ia menjawab: Tidak pernah aku tinggalkan suatu jalan yang Engkau sukai untuk berinfaq kepadanya, kecuali pasti aku akan berinfaq kerana Engkau. Allah berfirman: Kamu dusta, kamu berbuat itu (dengan niat) agar dikatakan sebagai orang yang dermawan, dan hal itu sudah terpenuhi. Kemudian Allah memerintahkan untuk menyeret orang tersebut yang akhirnya dia dilemparkan ke dalam An Nar.” (HR Muslim)

Monday, 1 December 2014

28.11.. telah setahun abah pergi dijemput Ilahi..Al-Fatihah..

Bila Tiba - Ungu


Saat tiba nafas di ujung hela
Mata tinggi tak sanggup bicara
Mulut terkunci tanpa suara

Bila tiba saat berganti dunia
Alam yang sangat jauh berbeda
Siapkah kita menjawab semua
Pertanyaan

Bila nafas akhir berhenti sudah
Jatung hatipun tak berdaya
Hanya menangis tanpa suara
Ooo

Mati tak bisa untuk kau hindari
Tak mungkin bisa engkau lari
Ajalmu pasti menghampiri

Mati tinggal menunggu saat nanti
Kemana kita bisa lari
Kita pastikan mengalami
Mati

Mati tak bisa untuk kau hindari
Tak mungkin bisa engkau lari
Ajalmu pasti menghampiri

Mati tinggal menunggu saat nanti
Kemana kita bisa lari
Kita pastikan mengalami
Mati..

Thursday, 13 November 2014

Tercucuk Duri Di Kaki...

Pagi ini damai sekali. Hujan malam tadi memberi kesanya pada pagi ini. Sejuk dan syahdu dapat dirasakan apabila nafas ditarik pada pagi ini. Sungguh asyik sekali. Syukur kepada Allah kerana kurniaanNya. Pagi yang cerah ini dihiasi dengan susunan burung yang berbaris di atas talian wayar elektrik sambil menyanyi. Oh Indahnya pagi ini. Pagi ini seperti biasa kita akan dihadapkan dengan pelbagai citra dan aroma kehidupan. Menghidu masa depan dan kehidupan. Aku merenung jauh gelagat manusia yang berlumba-lumba di jalan raya menuju ke tempat kerja. Ramai antara mereka semua melanggar undang-undang di jalanan itu. Aku pandang burung yang berlegar di angkasa luas terbentang semuanya mengikut fitrah. Tiada kemalangan. Tidak ada makian dan sudah tentu tidak menyusahkan orang lain. Hidup manusia itu kekadang gembira dan kekadang juga datang kesedihan. Semua itu adalah asam garam kehidupan. Tanpanya kehidupan tentu tidak seindah seperti yang disangka. Jadi janganlah kita bersedih sangat jika ditimpa sesuatu yang tidak kita ingini. Kerana semuanya akan Allah balas walaupun sekadar tercucur jari dengan duri. Belajarlah mencari teduhan hanya dari Allah..


Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Ketika diturunkan ayat:
مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِه
"Sesiapa yang melakukan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu. Orang-orang Islam merasa amat sedih tetapi kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Sederhanalah dan jangan terlalu berlebih-lebihan serta berusahalah melakukan yang benar. Setiap musibah yang menimpa orang-orang muslim adalah suatu pelebur kesalahan biarpun hanya sekadar tercucuk duri".





Monday, 27 October 2014

Allah..Berilah Aku Kekuatan...

Merasa cinta dan mahu dicintai adalah lumrah kepada manusia. Sejarah cinta pertama ialah cinta Adam dengan Hawa. Di dalam syurga semuanya ada tetapi Adam masih terasa sunyi apabila melihat 2 burung sejoli yang berkasih kasihan. Timbul dalam jiwanya rasa ingin bercinta. Itulah episode awal cinta manusia yang akhirnya Allah menganugerahkan Hawa untuk Nabi Adam a.s. Kisah Cinta Manusia juga telah membawa satu tragedi sedih tentang perebutan cinta di antara Qabil dan Habil putera Nabi Adam a.s. Kisah tragis ini telah dirakam di dalam Al-Quran sebagai pedoman yang mesti dijadikan pengajaran. Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 27 yang bermaksud :


"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa; "





Kisah ini betul-betul mengajar kita bahawa memang manusia sering sesat kerana cinta. Alasan cinta telah disalahguna untuk menghalalkan cara. Mencintai seseorang adalah fitrah. Kisah Qabil dan Habil mengajar cinta yang betul ialah cinta mesti berasaskan taqwa. Hanya taqwa akan menjadi batu pengukur dalam menilai apakah yang datang pada kita itu nafsu atau fitrah cinta. Seperkara lagi pengajarannya ialah cinta dan pengorbanan adalah sinonim dalam kisahnya. Sebab itu mungkin ada antara kita mencintai sesuatu tetapi menjadi keliru kerana cinta itu. Cinta inilah yang memerlukan pengorbanan, kerana bukan semua cinta yang kita kehendaki sesuai dengan kita di atas asas Allah Maha Mengetahui dan Allah juga Maha Merancang. Oleh itu hendaklah kita memahami kekadang cinta itu lebih baik disimpan di dalam hati kerana "Kalau Dah Jodoh"ia tidak ke mana. Kalau tiada jodoh sekalipun bersabarlah kerana itu sifat orang bertaqwa. Berdoalah moga-moga Allah beri kekuatan kepada kita semua...








Wednesday, 22 October 2014

Makan Ketupat...

Walaupun ramai antara kita suka makan kuih moden atau "dimodenkan". Tapi aku masih tetap memilih yang klasik. Dapat makan ketupat di pagi cuti deepavali bersama keluarga khusus emak di kampung ia telah berjaya mengimbas masa silam hidup yang penuh dengan warna warni. Hidup kini dan hidup dulu tidak sama lagi. Kehidupan kini adalah trendy dan agak sesak dan menyesakkan. Kerinduan tentang kehidupan dulu kadang-kadang menyebabkan kita cemburu pada kenangan lalu. Nilai dan kerukunan hidup dulu amat dilihat lebih santun dan lebih manusiawi berbanding kehidupan kini yang semakin jarang kita memikirkan masalah orang lain. Dunia kini dunia yang mementingkan diri. Dunia kini ialah dunia yang sakit hati. Dunia kini dunia yang mengejar hidup duniawi yang selalu lupa pada ukhrawi. Dunia kini selalu menghambat diri supaya hidup nafsi-nafsi. Dunia kini juga penuh dengan kekejaman yang kadangkala tidak disedari. Oh...indahnya masa lalu walau hidup hanya cukup sehari tetapi bahagianya tetap terbawa hingga ke hari ini.

Pagi itu ada ketupat yang emak beli bukan untuk merai deepavali tetapi tanpa tanda solidarity pada anak cucu yang pulang kembali..Enak sungguh ketupat ini dicicah dengan ikan pari masak cili api. Sekali pedas menyengat saat itu juga aku teringat. Teringat pada kehidupan yang dulu yang penuh sejagat.


AKU ANTI CUPCAKE......


Tuesday, 7 October 2014

Monday, 29 September 2014

Kasihan Guru.....


PORT DICKSON - Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof merasa kesal kerana terdapat golongan guru yang tidak berintegriti dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata dalam menghadapi pelbagai isu dan cabaran ketika melaksanakan tanggungjawab, budaya kerja yang cepat, tepat dan berintegriti dalam kalangan penjawat awam termasuk guru perlu diamalkan untuk memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.

Namun katanya, apa yang berlaku sekarang ialah walaupun budaya kerja cepat dan tepat itu ada, tetapi terdapat guru yang tidak berintegriti.

"Kumpulan ini (tidak berintegriti) di kalangan guru, saya panggil sebagai 'guru nila setitik', bukan guru sejati. Kalau nila setitik jatuh dalam susu, maka boleh rosak susu satu belanga. Ini yang berlaku kepada kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

"Ada di kalangan guru yang sanggup menggadaikan kemuliaan profesion guru. Dalam usaha hendak membantu murid mereka mencapai kejayaan dengan cepat, memang bagus, tetapi takkan bagi semua soalan peperiksaan bocor. Inilah rendahnya martabat integriti guru berkenaan," katanya pada majlis penyampaian Anugerah Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2014 di sini malam tadi.

Beliau menyifatkan guru seperti itu sebagai pengkhianat yang mesti dihapuskan.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan mereka. Kita tahu kalau melakukan sebarang kesalahan memang ada ruang untuk dimaafkan, tetapi kalau hendak menjaga  kemuliaan profesion dan kesejatian seorang guru, maka saya tidak boleh berkompromi. Mereka memang tidak sesuai berada dalam sistem dan profesion yang mulia ini.
"Kita semua harus melaksanakan tugas yang diamanahkan secara beradap dan mengikut peraturan bagi memastikan imej kerajaan sentiasa dipandang tinggi. Perkhidmatan awam adalah komponen penting dan penghubung dalam menterjemahkan misi kerajaan.

"Untuk itu kita perlu sama-sama mengukuh ikrar janji setia dan bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan yang bersatu, dinamik dan progresif dalam melaksanakan proses tranformasi negara," kata Khair.

Bagi anugerah itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan, Pahang muncul johan bagi kategori sekolah menengah, naib johan Sekolah Menengah La Salle, Kota Kinabalu, Sabah dan tempat ketiga Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Hulu Terengganu, Terengganu.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, RM3,500 dan RM2,500 serta trofi, sijil dan buku.       

Bagi kategori sekolah rendah, johan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Jerangau, Hulu Terengganu, naib johan SK Matang Jaya, Padawan, Sarawak, manakala tempat ketiga SK Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, RM2,500 dan RM1,000 serta trofi, sijil dan buku. - Bernama

KOMEN: Memang mudah menunding jari pada para guru. Jangan lupa kita juga mesti berfikir kenapakah guru jadi begitu.

Wednesday, 17 September 2014

Perjalanan Yang Jauh dan Terberat..

Perjalanan Terjauh Dan Terberat

Wahai anakku.

Perjalanan terjauh dan terberat adalah perjalanan ke masjid.

Ramai orang yg kaya raya tidak sanggup utk mengerjakannya. Jangankan sehari lima waktu, bahkan ramai pula yg seminggu sekali pun terlupa. Tidak jarang pula seumur hidup, tidak pernah singgah ke sana.

Perjalanan terjauh dan terberat adalah perjalanan ke masjid.

Orang pintar dan pandai pun sering tidak mampu menemukannya. Walaupun mereka mampu mencari ilmu hingga ke universiti di Eropah, Rusia dan juga Amerika.

Mampu melangkahkan kaki ke Jepun, Australia dan Korea dgn semangat yg membara. Namun ke masjid, tetap sahaja perjalanan yg tidak mampu mereka tempuh, walaupun telah bergelar Dr. Falsafah.

Perjalanan terjauh dan terberat adalah perjalanan ke masjid.

Pemuda yg kuat dan bertubuh sihat yg mampu menakluki puncak Gunung Tahan dan Kinabalu juga Everest pun sering mengeluh ketika diajak ke masjid.

Alasan mereka pun beragam. Ada yg berkata sebentar lagi, ada yg berkata takut dikata alim.

Perjalanan terjauh dan terberat adalah perjalanan ke masjid.

Maka berbahagialah dirimu wahai anakku. Bila dari kecil engkau telah terbiasa melangkahkan kaki ke masjid. Bagi ayah, sejauh manapun engkau melangkahkan kaki, tidak ada perjalanan yg paling ayah banggakan selain drp perjalananmu ke masjid.

Biar ku beritahu rahsianya kepadamu. Sejatinya perjalananmu ke masjid adalah perjalanan utk menemui Rabmu. Itulah perjalanan yg diajarkan oleh nabi serta perjalanan yg akan membezakanmu dgn orang-orang yg lupa akan Rabnya.

Perjalanan terjauh dan terberat itu adalah perjalanan ke masjid.

Maka lakukanlah walaupun engkau harus merangkak dlm gelap subuh, demi mengenal Rabmu.

ps; Karya ini aku copy paste..kikikiki..untuk renungan..

Thursday, 11 September 2014

Selamat Jalan Sahabatku...Al-Fatihah untuk kamu..

Seorang lagi sahabatku telah gugur jam 4.00 petang tadi. Telah dijemput Allah ke alam barzakh. Kawanku sejak di Sekolah Agama Menengah Jeram. Kawan JAIS bersama. Kawan MAIS bersama..
Aku kenali orangnya pandai. Ketika di sekolah hebat pidato bahasa arabnya. Kawanku ini masih bujang. Selamat jalan kepada kamu..Salam takziah..
Al Marhum Misbah bin Salikun..

Monday, 1 September 2014

Hidup Ini...

Hidup ini penuh warna warni..
Hidup ini penuh dengan asam garam..
Hidup ini penuh pancaroba..
Hidup ini kadang-kadang kelakar..
Hidup ini bukan sekadar untuk melakar..
Bukan sekadar hidup untuk hidup..
Tetapi hidup ini adalah kehambaan..
Jika Tidak menjadi hamba Tuhan..
Manusia jadi hina kerana menjadi hamba kebendaan..

Hidup ini adalah amalan..
Deru ombaknya adalah selingan..
Sakit dan mati lawan kehidupan..
Soalnya apakah kita redo dengan kehidupan..
Sering kita gagal memahami kehidupan..
Mati sebelum mati kerana kecewa dengan kehidupan..

Hidup ini adalah takdir..
Takdir menjadi hamba yang memilih syurga atau neraka..
Pilihan ditangan kita..
Biarlah menjadi fakir tetapi sentiasa berfikir dan berzikir..
Dari menjadi kaya gayanya haloba dan berpoya-poya..
Jangan bersedih jika tidak kaya Kerana Nabi pun suka bersama orang fakir..

Hidup ini mesti berakhir dengan mati..
Kematian adalah permulaan hidup sebenar..
Kematian akan mengadili tentang kehidupan..
Ingat hidup sehari-hari kita..
Langkah sehari-hari kita..
Sebenarnya sedang berjalan menuju mati..
Jadi fikirlah..
Hidup ini sebenarnya untuk apa......................

Tuesday, 12 August 2014

Khalid Belajarlah Dari Khalid..

Khalid sudah menunjukkan kebodohannya dalam politik. Namanya sudah tercalar walaupun jasanya ada. Kini kata Khalid bahawa semuanya adalah untuk rakyat Selangor nampaknya hanya untuk dia. Jika dia meletak jawatan kerana diminta oleh pemimpin atasan dia sepatutnya meletak jawatan. PAS pula perlu mengajar Khalid supaya jadi Khalid Al-Walid. Bukan mengajar Khalid menjadi "khawarij politik". Tindakan menyokong Khalid hanya membawa fitnah lebih besar pada gerakan Islam seperti PAS. Memang benar PAS ada alasannya tersendiri tetapi kaedah dakwah juga mesti diperhalusi. Ramai kalangan ustaz PAS ini "bingai" dalam mencatur politik untuk menjadi senjata dakwah. Rakyat tidak pasti apa yang sedang berlaku. Tetapi yang pasti rakyat Selangor merasakannya sebagai huru hara. Khalid Al-Walid telah menunjukkan jiwa yang besar sebagai seorang pejuang. Diminta turun dari jawatan ketika jasanya berada dipuncak. Khalid Al-Walid adalah tokoh yang hebat. Tokoh yang dikenang oleh sejarah sebagai tokoh yang sangat bijak. Khalid perlu belajar dari Khalid itu saja jawapan untuk kekusutan ini.

Sunday, 27 July 2014

Salam Syawal 1435H..

Akhir ramadan ini hati menjadi gundah..
Pilu dan bimbang...
Entah dapat bertemu lagi atau tidak..
Sayu hati mengguris hati kerana Ramadan akan tetap pergi..
Aku berharap moga akan bertemu lagi..
Perginya Ramadan bermaksud datangnya Syawal..
Syawal itu sebenarnya anugerah Allah agar menjadi hamba yang fitrah...
Hamba yg fitrah ialah hamba yang merasakan dirinya hamba...
Hamba kelana dan papa kedana..hanya Allah punya semua..
Fitrah yg hidup akan mati..
Fitrah btemu akan berpisah..
Fitrah kesalahan mohon kemaafan..
Fitrah ada benci dan ada sayang..
Fitrah pahala balasan syurga.
Fitrah dosa balasnya neraka..
Edulfitri yg datang fitrah mgantikan Ramadan yg pergi..
Semoga Edulfitri yang datang menginsafkan kita..
Insaf kerana yang datang dan pergi adalah anugerahNya...
Moga kita menjadi hamba yg setia..
Moga Hari Raya yang datang kita terus setia...
Setia taat dan menanti janjiNya..
Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin...dari aku Sahabat kamu...اتن
Terkenang wajah ini...sedih..

Thursday, 17 July 2014

Ini berita sedih..Ini ujian untuk semua..Moga Allah ampunkan dosa kita semua..

TERKINI
pesawat mh17
telah ditembak 
pesawat ini telah meledak dan
jatuh berkecai

bangkai dan serpihan pesawat
  telah ditemui di kawasan grabovo
di wilayah donetsk
                                                                timur ukraine..

 Inilah kerosakan yang manusia lakukan...
Kerosakan yang membunuh..
kerosakan yang membawa kesedihan..
kerosakan yang memahat dendam.. 





 Tinggal kenangan..
Hibanya hati ini..

Sunday, 13 July 2014

Mencari Lailatul Qadar..


Aku mencari Mu Lailatul Qadar..
Harap sangat dapat berjumpa dengan mu Lailatul Qadar..
Hanya satu pintaku bila bertemu nanti..
Moga aku jadi hamba yang diredaiNya..
Selamat dari dunia sampai akhirat..
Selamatkan aku dari fitnah Dajjal..
Selamat juga bila sampai ajal..
Ya Allah makbulkan doa aku ini..
Hanya Engkau yang memahami diriku ini..

Tuesday, 1 July 2014

Rahmat Ramadhan...

Ramadhan yang datang kali ini disambut dengan hati yang berbunga-bunga. Dapat bersahur dan berbuka bersama sekeluarga adalah betapa rahmatnya Ramadhan. Ramadhan yang datang membentuk satu aura paling hebat kerana hampir semua manusia yang beragama Islam telah kembali kepada fitrah. Fitrah bangun pagi untuk beribadah walaupun 'umpannya' ialah makanan yang diberi nama sahur yang Allah beri pahala kerananya. Pada bulan ini manusia menjaga masa dan sehari itu dirasakan terlalu panjang walaupun pada bulan-bulan yang lain seolah-olah masa 24 jam itu terlalu singkat. Disuruh pula percepatkan berbuka tanda Allah tahu betapa gembiranya manusia itu mahu berbuka. Rahmat..rahmat..rahmat itulah fitrah Ramadhan apabila ia datang.

Kesempatan pulang ke kampung bermakna dapat merasai masakan emak. Apatah lagi masakan emak di bulan Ramadhan tentu tiada tandingan sedapnya. Hati agak tersentuh sedikit apabila lauk sahur yang mak buat ialah udang masak rendang. Aku tahu masakan itu juga adalah kegemaran arwah abah. Sengaja atau tidak masakan itu aku tidak bertanya pada mak tetapi masakan itu telah mengingatkan aku betapa seleranya abah apabila makan. Selepas kuliah subuh pagi itu aku tidak terus pulang ke rumah. Aku terus menuju ke pusara abah. Kebetulan kedudukan kubur dengan masjid sangatlah berhampiran. Sunyi, sepi dan sendiri aku pagi itu di pusara abah membuatkan hati begitu mudah tersentuh. Sebak rasanya bila mengenangkan abah. Inilah kali pertama aku berpuasa tanpa abah. Tiada cakap-cakap ketika makan pada sahur di awal pagi tadi. Jika tidak abahlah orang paling banyak bercakap. Terasa Ramadhan ini aku terasa sunyi tanpa abah. Sunyi sendiri di pusara serba sedikit membuatkan rindu pada abah terubat juga. Pagi itu di pusara abah aku berfikir bahawa aku juga pergi seperti abah dan apakah pada ketika itu ada kiriman doa dari anak-anak ku. Aku berdoa dan berharap agar Ramadhan yang rahmat ini memberi kerahmatan kepada abah yang berada di alam barzakh. Hanya kiriman doa dapat aku sampaikan moga abah dicucuri rahmat.


Monday, 23 June 2014

Ramadhan Aku Tunggu Kau Datang..

Penantian itu satu kesabaran..
Setahun sudah aku tunggu kau datang..
Datang membawa Rahmat, Keampunan dan Kelepasan dari api neraka..

Ramadhan datanglah padaku..
Datanglah mengubat rinduku..
Rindu yang syahdu sesejuk salju..
Rindu untuk membasuh dosaku bila bersamamu..

Ramadhan aku tahu..
Engkau tidak perlukan Aku..
Tetapi aku perlukan Kamu..
Kamu Ramadhan yang membawa aku menjadi manusia yang tahu..
Tahu siapa diriku..
Kerdilnya diriku..
Tiada apa-apa yang ada padaku..
Hanya Allah yang tahu..

Ya Allah aku merayu..
Aku insan berdosa ini..
Hanya Engkau Ya Allah yang tahu diriku..
Aku berharap dapat bertemu Ramadhan..
Ramadhan adalah kasih sayang Mu padaku..
Moga aku dapat bertemu dengannya..

Monday, 16 June 2014

Aku Seorang Bapa..

Firman Allah di dalam al-Quran lagi: “Dan
Tuhanmu telah memutuskan (memerintahkan), bahawa
janganlah kamu menyembah melainkan kepada-Nya
(sahaja). Dan dengan kedua orang tua (kamu)
hendaklah berbuat baik.” (Al-Israk: 23)
Aku tidak ambil "pot" pun berkenaan dengan sambutan hari bapa. Bagi aku Hari Bapa ialah ciptaan warga barat yang telah mencipta pelbagai "hari" untuk diraikan. Ini kerana mereka sedang berhadapan dengan krisis yang parah untuk menjadi manusia yang berperikemanusiaan. Kegagalan sistem barat dalam tamadunnya akhirnya wujud har-hari yang mesti diraikan menurut tarikh tertentu sedangkan sama ada bapa atau ibu ia adalah kehormatan yang berpanjangan yang mesti ada asuhan dan adunannya oleh ajaran Islam mahupun budaya orang timur. Sebenarnya tiada istilah hari bapa yang ada ialah tanggungjawab kepada ibu dan bapa. Kekuatan kekeluargaan Islam adalah terletak bagaimana Islam itu menyantuni umatnya dengan ajaran yang sangat rapat dengan fitrah manusia. Kekuatan Islam itu juga menjadi begitu ampuh apabila nilai keluarga sakinah yang disebut dalam Al-Quran dapat diterjemahkan dalam kehidupan yang sebenarnya. Malangnya kita umat Islam hanya menjadi peniru yang berjaya sedangkan Islam itu sebenarnya adalah pencetus kebahagiaan dunia dan akhirat. Sebagai seorang bapa betapa penting memikirkan apakah Islam itu dapat meresap dalam jiwa raga anak-anak yang lahirkan. Kegagalan untuk itu ialah kegagalan seorang bapa untuk masuk syurga. Bapa bukan sahaja berfikir dia sebagai ketua tetapi mesti memikirkan nasib anaknya ketika dia tiada. Biarlah anak-anak itu menjadi pencen akhirat untuknya. Berdoalah moga-moga janganlah nanti anak besarnya menjadi anak derhaka. Aku seorang bapa tidak mengharap anak itu menjadi kaya. Tetapi yang aku harapkan biarlah anak-anakku menjadi orang beragama. Yang tahu apa itu syurga dan neraka. Dosa dan pahala. Yang tahu Allah Yang Maha Perkasa dan Yang tahu Nabi Junjungan Mulia. Aku seorang bapa tidak mahu papa di hadapan Allah Maha Berkuasa.

Tuesday, 3 June 2014

Aku Akan Mati..


Berfikir masalah dunia adakalanya sangat menyesakkan. Kesedihan dan air mata adalah "trending" untuk masa ini. Kematian demi kematian pada tahun ini sungguh menginsafkan. Sama ada kemalangan jalan raya, lemas di laut dan sakit tua itulah takdir yang telah sampai tidak terlewat dan tercepat sesaat. Mengangkat sekujur badan yang kaku mengingatkan kita bahawa inilah nasib kita bila sudah dijemput Ilahi. Tidak dibawanya pangkat dan darjat yang dibawa hanya amal kebajikan yang bakal menjadi tebusan untuk menghadapi alam barzakh dan alam akhirat. Yang pasti aku akan mati. Muncul pula isu coklat "berbabi" yang menjadi polemik halal dan haramnya. Aku tidak kisah pun isu itu kerana termakan babi sibuk seantero tetapi makan rasuah dengan sengaja langsung tidak mengundang rasa bersalah. Inilah dilema umat Islam di negara ini. Umat Islam terperangkap dengan isu yang menyebabkan mereka berada dalam persimpangan. Persimpangan yang akhirnya ramai yang pula mencari alasan untuk menyimpang. Pernah berkali-kali aku menulis sama ada di dalam ataupun dalam nukilan aku yang lain yang ialah kegagalan yang ada pada ummah pada masakini kerana kerana mereka tidak tuntas memahami Islam. Malah sumber Al-Quran dan As-Sunnah serta ijmak ulama seringkali diketepikan dalam menyelesaikan masalah ummah yang berbangkit. Antara kelemahan yang paling ketara ialah Islam itu telah tidak dipedulikan teori praktikalnya yang akhirnya ceramah agama hanya menjadi gelanggang raja lawak sopan yang merugikan. Islam tidak dilihat perkara yang menyelesaikan masalah ummah tetapi Islam dilihat penuh retorik yang membuatkan ramai mereka pesimis dengan Islam. Sudah berjela kertas kerja dan berkeronyok saban masa. Malah terlalu banyak kita ini tidak mengambil yang auliyat dalam kehidupan ummah pada masa kini. Maka sedarlah kita bahawa jadilah kita orang yang bijak dalam menyusun kehidupan berdasarkan apa yang telah Allah tetapkan. Kerana kegagalan memahami apa sebenarnya maksud hidup ini sudah tentu kita akan lupa bahawa setiap saat yang berlalu akan terus jauh meninggalkan kita. Tetapi setiap saat yang berlalu itu juga sebenarnya kita sedang menghampiri saat yang disebut mati. Ingat mati menjadikan pemimpin itu sentiasa berhati-hati. Ingat mati menjadikan suami isteri saling menghargai. Ingat mati menjadikan seorang anak itu mahu berbakti. Ingat mati menjadikan seorang ulama itu senantiasa ingat bahawa hanya akhirat dekat di hati. Nah! bila kita mengingati mati semuanya perkara menjadi baik sekali. Itu sebab orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa mengingati mati. Waullahwalam..

Wednesday, 28 May 2014

Hati Yang Hiba Mengharap Kasih Sayang Nya...

Mendapat berita mayyit abang ipar telah dijumpai di sekitar tempat jatuhnya 3 hari lalu, hati bagai dihiris. Hirisan itu tentu lebih dahsyat dilalui oleh kakak ku sendiri. Walaubagaimana pun kami sekeluarga bersyukur kerana teka teki di mana menghilangnya abang ipar terjawab dengan penemuan mayyitnya. Hati ini masih boleh bertahan dengan "pemergian" itu tetapi melihat 2 anak kecil yang tidak tahu apa-apa hati ini  tersentuh maka datanglah perassan sangat sedih dan syahdu. Tekad dalam hati aku akan cuba sedaya mungkin untuk perjuangan anak-anak ini untuk terus mendapat kasih sayang. Bagaimana caranya? Hingga sekarang aku masih memikirkannya..Perginya abah tidak sampai setahun abang ipar pula menyusul dijemput Ilahi. Risau juga memikirkan mak ketika ini kerana 2 orang ini adalah tonggak harapan mak. Mak sendiri menangis memeluk aku apabila mendapat tahu abang ipar aku telah menuju ke gerbang akhirat. Aku berdoa moga mak sentiasa mendapat perlindungan dari ujian yang lebih getir. Mak sayangkan abang ipar ini kerana wataknya penyayang dan seorang yang santa bertanggungjawab pada keluarganya. Mak kata sehari sebelum turun ke laut abang ipar aku ini agak pendiam dan suka sendirian.

Mati itu sesuatu yang pasti. Semua orang tahu kita semua akan mati. Kebetulan minggu lepas aku mendapat satu jemputan untuk menyampaikan 'bebelan' yang bertajuk Pergi Tak Kembali di salah sebuah jabatan kerajaan di Selayang. Hati sebak dan bercampur takut apabila membuat sedikit telaah tentang tajuk ini. Gerun dan takut bila memikirkan bahawa kehadiran Malaikat yang akan menyentap nyawa kita adalah berdasarkan amalan kita. Malah untuk menghadapi malam pertama di alam kubur itu pun sudah cukup menggetarkan jiwa sama ada akan ditunjukkan balasan syurga atau balasan neraka. Ya Allah Engkau Maha Mengasihani hambaMu yang berdosa ini. Maut yang diceritakan meranapkan cita-cita mencari dunia. Ghairah nafsu menjadi lesu. Lidah kelu dan bisu pabila mengenangkan saat-saat itu. Suami hilang tempat mengadu. Isteri pula menjadi balu. Anak menjadi piatu. Itulah takdir yang sudah tentu. Mati.

Saat begini hati hiba. Hiba merentasi masa yang terus berlalu pergi. Hanya perlu mengharap pada Yang Esa. Kerana berharap pada Allah adalah harapan yang pasti bukan ilusi. Hanya Allah yang memahami jiwa para hambanya. Hanya hambanya saja yang sering terleka kerana mencari dunia. Hati Yang Hiba Mengharap Kasih SayangNya. Hanya kasih sayang Allah akan menyelamatkan kita. Dunia sampai akhirat.


Tuesday, 27 May 2014

Bersyukur Dengan Nikmat..Bersabar Dengan Musibah...


Telah dijumpai jam 6 pagi. Telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Karang. Selamat Jalan Abangku. Semoga Allah merahmati dan mencucuri rohmu.

Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di sebatang jalan, dia mendapati sebatang dahan berduri lalu membuangnya. Allah berterima kasih padanya dan mengampuninya. Baginda bersabda lagi: Mereka yang mati syahid itu ada lima golongan: Mereka yang mati kerana taun, mereka yang mati kerana sakit di dalam perut, mereka yang mati lemas, mereka yang mati di bawah runtuhan bangunan dan mereka yang mati kerana berjuang di jalan Allah.

Monday, 12 May 2014

Monday, 5 May 2014

Sebarkan Bahagia..

Melihat kawan dihari perkahwinannya. Aku doakan dia bahagia. Berjumpa kawan tersenyum di hari bahagia kawannya. Aku doakan dia juga bahagia. Ramai yang mahu bahagia. Tetapi tahu atau tidak bahawa bahagia itu mesti melalui jalan derita. Derita ialah syarat untuk bahagia. Lihat para Nabi dan Rasul semuanya melalui jalan derita dan kita yakin pasti bahawa mereka semua bahagia. Bahagia tanpa derita umpama masak nasi tetapi mentah. Bahagia selepas derita tinggi nilainya umpama orang lemas diselamatkan dari lemasnya. Derita itu mengajar kita. Mengajar supaya mencari makna bahagia. Derita juga mengajar kita untuk menghargai suatu kebahagian. Derita mengajar kita bahawa hanya Allah sahaja yang dapat memberi bahagia pada kita. Bila kita rasa bahagia berusahalah untuk membahagiakan orang lain. Itu pesan Rasulullah jika mahu terus bahagia. Membahagiakan orang lain adalah antara matlamat hidup Nabi. Nabi adalah orang yang paling bahagia di dunia dan di akhirat. Sebarkan bahagia dengan membahagiakan orang lain. Pendek kata hidup ini sebarkanlah bahagia....

Rasulullah S.A.W bersabda,

وَأَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللهِ سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ، أَوْ تَكْشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً، أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْناً، أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوْعًا وَ لَأَنْ أَمْشِيْ مَعَ أَخٍ فِي حَاجَةٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا المَسْجِدِ ، ( يَعْنِي مَسْجِدُ النَبَوِي ) شَهْرًا
“…Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia, dan pekerjaan yang paling dicintai Allah adalah menggembirakan seorang muslim, atau menjauhkan kesusahan darinya, atau membayarkan hutangnya, atau menghilangkan laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk sebuah keperluan lebih aku cintai daripada beri’ktikaf di masjid ini (masjid Nabawi) selama sebulan…” (HR. Thabrani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, no. 13646).


Thursday, 24 April 2014

Yang Cool Tetap Cool

Orangnya begitu merendah diri. Penampilan bukan ukuran ilmunya. Hebat. Moga Allah merahmatinya. Moga Allah panjangkan umurnya. Moga Allah menyelamatkannya dari dikejar dunia. Kata-kata memberi semangat kepada pendakwah. Menimbul gerun pada pendakyah. Gaya cakapnya bersahaja tetapi penuh makna. Hujahnya lembut tetapi menusuk. Katanya pada kami "apa sumbangan kamu pada Islam". Hening dan pilu memikirkan kata-katanya. Beruntung walaupun hanya dapat duduk di sebelahnya...Ini tokoh ulama yang cool...

Thursday, 10 April 2014

Dimanakah kemanusiaan..

Kemanusiaan tiada lagi..
Yang tinggal hanya kebinatangan..
Yang tinggal hanya undang-undang rimba..
Yang tinggal hanyalah noda..
Yang tinggal hanya duka nestapa..
Yang tinggal hanya nafsu semata..
Yang tinggal hanya jalan-jalan ke neraka..
Agaknya di manakah kemanusiaan itu..
Jawablah dengan jujur bukan nista..
Jawablah dengan Iman bukan zaman..
Jawablah dengan Islam bukan kalam..
Jawablah..jawablah..atau menjawablah kamu di depan Allah..

Wednesday, 26 March 2014

Syiah itu Sahabat Kita?

Melihat senario semasa dunia Islam kini semakin dihimpit cabaran yang hebat. Pembantaian Al-Sisi dan haramnya Parti Jemaat El-Islami di Bangladesh antara berita duka yang sedang menghantuk.  Sedih dan sakit sekali. Malah kini dimaklumkan bahawa Turki pun sedang melawan fitnah sehingga terpaksa mengharamkan perkhidmatan Tweter. Hukuman mati terhadap 529 ahli Ikhwanul Muslimin adalah antara cerita sedih selepas berlaku rampasan Tamarud dari Presiden Morsi. Hukuman mati juga telah berlaku kepada pemimpin Parti Jemaat el-Islami Assyahid Abdul Qader Mulla juga adalah modusaperandi bagaimana "eton-eton" zionis sedang menjadi anjing kepada kuasa barat. Apa yang menarik krisis ini bukanlah pertembungan antara Sunni dengan Syiah. .Tetapi ia berlaku antara orang yang mengaku Sunni sesama Sunni. Malah kuasa Sunni paling besar seperti Arab Saudi dan negara Teluk yang lain hanya berdiam diri tidak seperti lantangnya mereka memunggah kedangkalan Syiah. Agak sukar untuk memahami sikap mereka ini. Moga Allah memberi petunjuk kepada kita semua.



Risalah Amman Julai 2005, 200 cendekiawan Islam terkemuka dunia dari 50 negara termasuk Malaysia :
* Ia mengiktiraf kesahihan kesemua lapan mazhab Sunni, Syiah dan Islam Ibandhi, teologi
   Islam tradisional, fahaman Tasawuf dan pemikiran Salafi yang tulen;
* Ia melarang takfir (mengisytiharkan murtad) antara umat Islam dan
* Ia menetapkan prasyarat subjektif dan objektif untuk mengeluarkan fatwa, sekali gus
   mendedahkan fatwa yang jahil dan tidak sah yang dibuat atas nama Islam.

      Sejak isu orang no.2 Parti Islam Semalaysia dituduh penganut Syiah, isu Syiah terus menjadi topik hangat hingga kini. Cumanya seperti yang aku jangka isu ini akan sejuk dalam tempoh masa yang agak singkat. Sebenarnya aku sudah menjangka perkara tersebut apabila ada kalangan ahli politik yang mula bercakap bahawa Syiah sedang berkembang di Malaysia. Apa yang menghairankan ialah ada golongan Syiah yang terang-terangan yang mengaku Syiah tidak pula diambil tindakan tegas tetapi yang menafikan sebagai pengikut Syiah pula telah diberi dengan pelbagai amaran. Pada awalnya aku tidak mahu memberi sebarang komen tentang polemik yang ditimbulkan oleh orang politik ini tetapi kerana satira ini semakin membuatkan orang keliru dengan isu Syiah ini.
      Secara peribadi aku mengetahui kesesatan Syiah sejak awal lagi. Syiah yang ada pada masakini ialah Syiah yang penuh dengan kecelaruan dan penuh dengan dendam kesumat yang agak sukar untuk dipadam. Jika dilihat sejarah awal kemunculan Syiah adalah kerana kekesalan mereka tidak dapat mempertahankan watak-watak Ahl Bait seperti Saidina Ali, Saidina Hassan dan Hussin, Siti Fatimah dan para Ahl Bait. Tekanan yang diterima golongan Syiah di Zaman Umaiyah akhirnya menyebabkan dendam itu agak sukar dipadam sehingga hari ini. Ketika belajar di universiti aku sempat belajar dengan Pensyarah yang berfahaman Syiah. Hujahnya Syiahnya agak halus kerana jika tidak diperhatikan betul-betul hujahnya memang menyayat hati disamping hujahnya turut mengambil pandangan seperti Sheikh Abu A'la Al-Maududi dalam membicarakan Tafsir At-Tabari dalam syarahnya. Sebab itulah kita akan berjumpa dengan hujah bahawa Muawiyah itu bukan sahabat Nabi malah adalah punca kepada perpecahan umat Islam kerana tidak menerima Saidina Ali sebagai Khalifah Islamiah pada ketika itu. Aku juga ada membaca sebuah buku kalau tidak silap namanya Sayyid Hussain Al-Musawi seorang Ulama Syiah yang akhirnya keluar Syiah kerana melihat beberapa persoalan dalam ajaran Syiah yang padanya Syiah kini hanya ciptaan orang bernama Abdullah Saba'. Semua itu sudah cukup untuk aku menolak Syiah dalam akidah dan sumbernya yang banyak diragui.
        Secara peribadi juga aku menganggap dan merasakan bahawa Syiah bukanlah ancaman khususnya di Nusantara. Ajaran Syiah bagi aku kurang popular dan masih ramai yang tidak tahu apa itu Syiah. Hanya segelintir kecil umat Syiah jika dibandingkan dengan masyarakat Sunni. Namun begitu Revolusi Iran 1979 jelas telah melonjakkan kredibiliti Syiah sebagai "pejuang Islam" kerana berjaya menumbangkan boneka Amerika di Iran iaitu Shah Iran yang telah membolot kekayaan Negara dengan rakus dan seperti harta mak bapak mereka. Sejak itu nama Khomeinei mula dikenali sebagai pejuang rakyat. Sejak itu juga Iran dikenali sebagai Republik Islam Iran. Iran satu-satunya Negara yang berjaya menonjolkan mereka itu ialah  "Jaguh Dunia Islam". Antara perkara yang banyak menarik minat orang pada Khomenei ialah kerana dia berjuang untuk rakyat Iran. Caranya yang berkesan jelas memberi suntikan "Viagra" kepada dunia Islam ketika itu yang dihambat dengan penjajahan yang berpanjangan. Dalam dunia masa kini juga khususnya anak muda agak cenderung kepada Syiah kerana Iran. Iran bukan saja cuba menonjolkan imej Islam dalam kepimpinannya malah ketegasan mereka dalam melawan rasuah dan pecah amanah jelas dibukti walaupun kadang-kadang tiada sebarang kebenaran yang telus.
           Sama ada Sunni atau Syiah sudah tiba masanya kita semua mesti mencari di manakah titik pertemuan yang ada antara kita. Risalah Amman 2005 adalah antara cara bagaimana kita menyelesaikan masalah Syiah dan Sunni. Pertembungan Syiah dan Sunni sudah berlaku berabad lamanya. Perpecahan inilah yang akhirnya harta benda umat Islam dipunggah oleh musuh secara licik. Sama ada sedar atau tidak perpecahan ini juga telah menyebab golongan zionis khususnya terus menari gembira melihat perpecahan ini. Para Ulama mesti memainkan peranan ini. Pencerahan mesti disampaikan jangan sampai peluang dan ruang sudah tertutup barulah kita tergadah mencari baiah. Kita ini umat Islam sebenarnya sedang digayang. Bukan kerana kita ini jumlahnya sedikit tetapi kita ini mempunyai penyakit "WAHN".

UMAT ISLAM AKHIR ZAMAN UMPAMA BUIH DI LAUTAN
Sebuah hadis diriwayatkan daripada Thauban r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: "Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas
kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang  menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama."Maka para sahabat r.a. pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"Sabda Baginda SAW: "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh.
Mereka adalah ibarat buih di laut."
Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?"
Jawab Rasulullah SAW, "Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."
Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn?"
Rasulullah SAW bersabda: "Cintakan dunia dan takut akan kematian

Monday, 24 March 2014

crew jejaka cool ucapkan salam Maulidur Rasul


Menghargai Sebuah Kesabaran

Dari Abu Hurairah r.a bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Nabi Muhammad S.A.W : “Berilah aku wasiat”. Baginda menjawab, “Engkau jangan marah!” Orang itu mengulangi permintaannya berulang-ulang, kemudian Nabi S.A.W bersabda: “Engkau jangan marah!”  
( Hadith Riwayat Bukhari).

 Kekalutan hidup adakala menjadikan kita merasakan diri ini sering dirundung malang. Malah kita sangat marah apabila kekalutan itu bertukar menjadi kebencian kita pada sesuatu. Sifat marah menjadikan kita juga sering tersasar dalam berkelakuan. Malah ketika marah, ozon Iman semakin menipis kerananya. Sebab itu orang yang marah sangat mudah melakukan perkara yang di luar batasan akal. Sebab itu beriltizamlah untuk mengawal marah dan kita juga mesti sentiasa bersabar dalam perkara mendatang dalam hidup ini. Marah lawannya sabar. Kerana sabar adalah sifat ahli syurga. Memang sering kita marah seringkali juga kita hilang pertimbangannya. Rasulullah S.A.W adalah contoh yang terbaik dalam menangani masalah marah. Sabar Rasulullah mestilah dijadikan inspirasi kerana jika mahu menjadi umatnya mestilah berusaha ke arah itu walaupun ianya sukar dan memeritkan.

 

Friday, 7 March 2014

Al- Fatihah untukmu Kenangan untukku





Semalam dalam jam 10 pagi ketika sedang menghadiri mesyuarat di jabatan, aku mmendapat berita kemalangan yang menimpa sahabat baik tentunya amat menyedihkan. Lebih menyedihkan dia pergi tidak kembali. Sebak hati ini masih belum reda memandangkan niat untuk ziarah kali terakhir tidak kesampaian. Terlalu banyak perkara yang menghalang untuk aku melunaskan niat ini. Masih tidak percaya bahawa sahabatku Nazim ini telah pergi menyahut seruan Ilahi. Lebih tragik Nazim pergi bersama adiknya yang bernama khairi. Al-Fatihah untuk kamu.

Kenangan bersama Nazim amat banyak sekali. Walaupun hanya berkenalan pada tahun 1998 di Universiti Malaya kami tetap berhubungan antara kami. Kebetulan seorang lagi sahabat Jalal namanya merupakan orang yang bertanggungjawab sentiasa menjadikan rakan rumah sewa ketika belajar tetap segar walaupun kami berjauhan. Kali terakhir berjumpa Nazim ialah pada 2012 ketika itu dia datang bertandang ke rumah sewa aku. Dia datang bersama isterinya yang ketika itu mereka ada tugasan di Bukit Frazer. Kesal juga aku ketika itu kerana tidak sempat menjamu makan pasangan ini kerana pada masa itu Aku baru pulang menghantar isteri. Hanya teaO dan biskut kering sahaja. Malu juga aku kerana Nazim seorang "pemakan" dan sangat pandai memasak. Nazim seorang yang ramah kerana dia tidak lokek senyum dan sering ketawa. Hobinya memasak. Malah aku hanya ketawa apabila dia mengajak aku berkongsi untuk menjalankan perniagaan nasi lemaknya. Kerana aku tahu perniagaan mereka akan maju sementara kerana selepas itu pasti akan tutup kedai. Sangkaan aku tepat kerana kawan-kawan lain bersamanya berniaga akhirnya berselisih akhirnya seperti yang aku katakan ia tutup kedai. Aku hanya ketawa kerana aku faham benar gelagat kawan-kawan serumah. Bakat Nazim dalam memasak tidak dapat disangkal kerana akhirnya dia menjadi chef di sebuah hotel yang agak terkenal di Petaling Jaya. Kerja 'part time' itu jelas memberi kepuasan pada dirinya walaupun kadang-kadang 'terponteng' kuliah. Bagi aku otaknya pintar. Kerana tanpa fokus yang banyak dalam study dia tetap steady dalam pengajiannya. Banyak kenangan yang kami simpan bersama. Antara yang menjadi rahsia hingga kini ialah kami pernah di tahan di Balai Polis Alor Setar. Maka hari ini aku pecahkan rahsia ini. Ketika aku datang berziarah ke Kuala Nerang, Nazim telah membawa aku berjalan-jalan di Alor Setar. Biasalah jiwa muda maka terasa muda itu sampai bila-bila. Motosikal yang kami naiki telah menyondol sebuah kereta polis di hadapan balai polis Alor Setar. Hampir 1 jam barulah kami dibebaskan tanpa apa-apa tindakan melainkan telah dibebel oleh pakcik polis. Pakcik polis hanya berhenti membebel setelah tahu kami ini pelajar Universiti Malaya. Universiti Melawan.

Kini semua itu tinggal kenangan. Dengan linangan air mata aku ucapkan selamat jalan pada kau sahabatku. Moga Allah memilihmu untuk berada bersama orang yang soleh. Moga juga Nabi Muhammad SAW memilihmu sebagai umatnya. Buat keluarga arwah bersabarlah dengan ujian ini. Memang pedih perpisahan kali ini. Moga Allah membayar kesabaran itu dengan keredaannya. Pada sahabat yang lain Jalal, Pengeran, GG, Rahim, Ijat, Tonie, Roni, Rugba, Shamsul, Pali dan ramai lagi. Ingatlah pada persahabatan ini. Jangan sampai ianya terus terpisah kerana masa dan kilometer kerana apabila nyawa tidak dikandung badan lagi hanya syurga tempat kita berjumpa. Amin...



Monday, 3 March 2014

Mencari Kebenaran...Kebenaran atau Membenarkan..

Mencari kebenaran dalam hidup memang memeritkan. Ini adalah sunnah kehidupan masa kini. Bercakap benar dalam zaman ini bermakna anda sedang menelan bara api. Ini kerana adakalanya kebenaran itu hanya dapat dilihat apabila semuanya telah menjadi sejarah. Maka jadilah kebenaran itu sebagai kenangan sahaja. Soalnya sekarang apakah kita perlu mencari kebenaran itu. Atau kita membenarkan saja perkara yang tidak benar hingga kebenaran itu akhirnya tidak dapat dilihat. 

Kebenaran itu tidak perlu kepada ijazah yang melangit dengan pelbagai darjat dan pangkat. Tetapi bercakap benar itu adalah sangat berkaitan dengan iman. Para ulama silam menjadi hebat kerana ilmu mereka menyebabkan mereka tetap bercakap benar walau apa pun terjadi. Sejarah Imam Hanafi, Maliki, Hanafi dan Syafie sudah cukup menyayat hati apabila ditelusuri. Malah iltizam seperti ulama silam ini mesti mesti menjadi contoh abadi selain menurut Sunnah Nabi untuk ulama masa kini. Kegagalan kita bercakap benar hanya menjadikan semua tindakan yang kita lakukan menjadi serba tidak kena malah sering ada kelompongannya. Para pemimpin yang tidak bercakap benar hanya menjadikan yang dipimpin menjadi huru hara. Ulama yang tidak bercakap benar hanya akan menjadikan fatwa mereka menjadi punca perpecahan. Malah rakyat yang tidak bercakap benar hanya sedang menempah sengsara kerana menipu diri kerana emosi.

Masalah ummah kini ialah kerana mereka menentang kebenaran. Al-Quran dan Sunnah itu kebenaran tetapi berapa ramai antara kita yang mahu berkata itu diangkat. Ramai antara kita yang pandai dengan Al-Quran dan Sunnah. Tetapi lebih ramai yang tahu pula mahu menentangnya dengan pelbagai alasan untuk membenarkannya ditentang. Kita semua mesti menuhasabah diri. Kebenaran itu umpama cahaya matahari yang kalau ditutup cahayanya ia tetap akan bersinar. Soalnya sekarang pelbagai alasan dibuat payung untuk menghalang cahaya ini sedangkan dengan cahaya kebenaran itu tidak akan padam walaupun ia cuba dipadam. 

Sunday, 23 February 2014

Kecewa itu Sebenarnya Gembira..


"Janganlah kamu bersedih,sesungguhnya Allah selalu bersama kita"
(Surah At Taubah ayat 40)

     Agak sedih dan kecewa juga apabila ada orang yang kita percaya menjadikan kita sasaran untuk dia menutup kelemahan dan kesilapannya. Sebagai manusia biasa sudah tentu kesedihan akan menggegar hati kerana pada dasarnya kita ini insan yang lemah. Namun ia hanya sekilas dan berlalu kerana jika kita berada pada pihak yang benar Allah pasti merahmati kita. Apabila ditimpa dengan pelbagai halangan dalam perjuangan ia sebenarnya adalah satu tarbiyah yang sangat penting. Kita sebagai manusia yang banyak kelemahan ini perlu merenung jauh apakah kesilapan-kesilapan yang kita sedari atau tidak  telah menyebabkan orang memandang dengan sinis semua tindakan yang telah kita lakukan. Di sisi orang yang mahu berjuang ia adalah ujian sebagai tanda untuk meningkatkan paras iman seseorang. Syarat untuk memastikan paras iman sentiasa baik ialah menerima ujian dengan kesabaran. Sabar ialah jalan orang beriman. Kerana hanya dengan sabar kita akan mendapat damba cinta dari Allah :

"Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar." 
Surah Ali Imran ayat 146.


Apakah ada cinta lain yang boleh menyelamatkan hidup kita. Apatah lagi hidup kita di akhirat kelak. Sebab itu apabila kekecewaan yang datang dalam hidup ini maka sebenarnya ia adalah kegembiraan. Kegembiraan yang datang kerana cinta kita disambut oleh Yang Maha Esa. Cinta itu abadi hingga kesusahan adalah kesenangan. Ujian itu adalah tanda ingatan. Siapalah kita manusia yang selalu menghukum tetapi kadangkala kita seringkali melanggar hukum. Jangan sampai kita tersesat ditengah-tengah ujian.Ujian yang datang itu menjadikan kita semakin matang dalam menjadi hamba yang beriman. Ingatlah bahawa hanya pencen akhirat akan menentukan persimpangan akhir kita. Apakah perlu merasa sombong dengan apa yang kita kini atau atau apakah perlu kita merasa kecewa kerana takdir ini..sedangkan apabila kita bersama Allah apa lagi yang kita mahu. Tentu hanya kedaannya.

Friday, 21 February 2014

Emak...


Mendapat berita emak kembali ke rahmatullah ia begitu mengkagetkan aku. Aku terus bergegas ke hospital Tanjung Karang bersama 2 adik beradikku. Sesampai di hospital aku tidak dibenarkan masuk kerana alasan pengurusan hospital hari sudah lewat malam dan tiada siapa di benarkan untuk melawat. Gelisah bercampur sedih yang amat sangat ketika itu. Salah seorang adikku mencadangkan agar kami pulang dulu. Aku bersetuju dengan langkah longlai aku terus keluar dan pergi ke perhentian teksi. Mana tahu ada teksi yang lalu dan sudi untuk membawa kami pulang ke kampung. Jika tiada teksi aku bertekad untuk berjalan kaki sahaja. Tidak aku sangka emak akan pergi begitu pantas. Baru maghrib tadi emak menelefon memberitahu bahawa ibu mertua abangku telah meninggal dunia. Fikirku kesedihan kembalinya abah ke rahmatullah pun masih belum reda sampai pula takdir ini pula. 

Menanti teksi memberi masa untuk aku mengimbau kisah lalu. Kisah lalu yang menyebabkan air mata ku jatuh berderai. Sungguh tidak aku sangka begitu pantas ianya berlalu. Kini semuanya tinggal kenangan.Terasa sesal kerana minggu ini aku tidak berkesempatan untuk balik kampung. Sesal ini sudah tentu aku bawa hingga kesudah. Baru 5 minit menanti teksi ia bagaikan terlalu menyeksakan. Kenangan lalu terus beredar dalam kotak fikir silih berganti. Aku buntu dan tidak tahu apakah nasib tanpa emak dan abah di sisi hidupku. Teralu pedih untuk melalui jalan hidup tanpa emak dan abah pada ketika ini. Aku menangis seperti anak kecil yang kehilangan ibunya. Aku sudah tidak peduli siapa yang akan memandang. Ku pejamkan mataku. Tangisan aku terhenti apabila terdengar salakan anjing yang seolah-olah sangat hampir dengan diriku. Salakannya agak kuat hinggakan aku terkejut. Aku terjaga..ahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!!!!!!! Mimpi rupanya aku. Aku rasa pipiku masih basah kerana air mata dek sebab mimpi itu. Alhamdulillah spontan mulutku bertahmid dan aku lihat jam menunjukkan jam 5.00 pagi. Pagi itu selepas subuh aku terus menelefon emak bertanya khabarnya. Emak hanya ketawa kecil dan katanya itu tanda panjang umur. Walaupun aku rasa lega tetapi perasaan kaget itu masih menghantui lagi. Pesan aku pada semua tanyalah khabar pada emak selagi mereka masih ada disisi kita lagi..



Tuesday, 21 January 2014

Ini lawak bodoh di negaraku Malaysia

'Kerana bertudung Di arah turun pentas'- Malaysiakini
Radzi Razak | 6:46PM Jan 21 2014

Setelah 12 tahun bergelumang sebagai anak seni, penyanyi Marinatasha Isnariah Mustapar bersuara lantaran dikriminasi yang dihadapi.

Siapa yang tidak berasa malu apabila diarahkan turun dari pentas di hadapan ratusan penonton hanya kerana kepercayaan dan pakaian mencerminkan peribadi dan agama.

"Saya rasa terhina dan malu, perkara sedemikian tak patut berlaku," kata beliau dalam dada sebak di sidang media di Shah Alam hari ini.

Ini merupakan kes ketiga tahun ini setelah graduan Mira Kamil tidak diterima bekerja di Suria KLCC kerana bertudung dan guru mualaf Choi Yi Shan diarah membuka tudung beliau.

Marinatasha yang sepatutnya melakukan persembahan di majlis makan malam tahunan sebuah syarikat di Kuala Lumpur pada 18 Januari baru-baru ini diarah menghentikan persembahan.

Beliau malah mendakwa diminta turun dari pentas oleh seorang pegawai kanan syarikat itu kerana memakai hijab.

Buat laporan polis

Beliau digantikan oleh penyanyi lain dan hanya dibenarkan menjadi penyanyi latar sahaja selepas itu.

"Dia (pegawai itu) mengatakan saya tidak sepatutnya memakai tudung.

"Semasa mengadakan raptai dengan pemuzik pada 16 Januari lalu, wakil syarikat yang hadir tidak pernah mengisukan hal tudung," kata beliau.

Marinatasha mendakwa beliau turut dimarahi selepas persembahan itu tetapi mendapat bayaran seperti yang dijanjikan.

Satu laporan polis juga telah dibuat beliau pada jam 2:40 pagi Ahad di balai polis Sentul berikutan insiden itu.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi syarikat berkenaan berhubung dakwaan itu.

KARYAWAN tuntut maaf

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) Datuk Freddie Fernandez menuntut syarikat itu memohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang kerana mendisriminasi anak seni.

"KARYAWAN rasa untuk selesaikan masalah ini kami ingin jemput syarikat itu memohon maaf dan sedia tawarkan jalan penyelesaian.