Tuesday, 23 July 2013

Ini Nukilan Terbaru Aku..Kalau tak best kutuk je untuk diperbaiki..


Khutbah : Umat Islam Umat Yang Berjuang..
( Oleh: atan kecik)
اَلْحَمْدُ ِللهِ  الْقَائِلِ
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ  إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ  لاَ شَرِيْكَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
            Marilah kita bertawqa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Iaitu melaksanakan segala suruhannya dan meninggalkan apa yang dilarang. Mudah-mudahan kita semua tergolong di kalangan orang berjaya di dunia apatah lagi di akhirat. Ingatlah sungguh-sungguh bahawa, keingkaran kita kepada Allah swt hanya akan menyusahkan diri kita sendiri.
Firman Allah SWT :
Maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.?” (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dewasa ini kita umat Islam sering berhadapan dengan pelbagai ujian dalam kehidupan. Senario semasa jelas menunjukkan bahawa banyak Negara umat Islam kini berhadapan dengan pelbagai krisis kehidupan. Sama ada krisis ekonomi, politik, sosial dan perang saudara merupakan seolah-olah antara perkara yang agak sinonim sedang melanda umat Islam masakini.  Perkara ini diburukkan lagi dengan paparan media barat yang menunjukkan seolah-olah segala krisis ini hanya berlaku di Negara-negara umat Islam semata-mata. Bukan itu sahaja dengan melabelkan umat Islam sebagai umat yang tiada tamadun, agresif dan ganas maka seringkali pula umat Islam dikaitkan dengan keganasan. Malah peranan media barat ini jugalah antara punca mengapa umat Islam masih gagal mencapai sebarang kata sepakat berkaitan pelbagai krisis kerana adu domba mereka yang agak tajam. Niat mereka tidak lain tidak bukan hanya mahu membunuh semangat umat Islam yang tersepit dengan pelbagai ujian.
Adu domba ini kemudian diapikan lagi dengan budaya fitnah oleh media barat dengan melaga-lagakan kita sesama Islam sama ada kerana perbezaan mazhab atau kerana perebutan kuasa politik atas nama untuk menyokong keadilan. Akhirnya apa yang berlaku kini umat Islam ber”antak”kan sesama sendiri. Perpecahan umat Islam akhirnya diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam dengan melakukan penjajahan dan penjarahan secara langsung atau tidak langsung. Pergolakan di Negara-negara umat Islam akhirnya jua menimbulkan pertanyaan kepada kita semua apakah sebenar yang sedang berlaku?. Bukankah Islam itu agama penyelesaian masalah ummah. Bukan itu saja ada juga kalangan umat Islam berfikir hingga tersesat ditengah-tengah ujian hingga hilang keyakinan mereka bahawa Islam adalah agama yang benar yang mana akhirnya mereka mengambil fikiran yang bertentangan akidah yang benar. Oleh yang demikian adalah wajar untuk kita semua menyatakan Islam itu adalah benar yang berlaku sebenarnya adalah kita umat Islam sedang diuji.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk memahami apa itu ujian hidup. Malah tidak salah untuk kita menyatakan bahawa kehidupan ini penuh dengan ujian. Makin kuat ujian yang mendatang maka sebenarnya makin terujilah iman seseorang itu di sisi Allah SWT. Maka orang yang paling hebat kedudukan imannya disisi Allah sudah tentulah di kalangan para Nabi dan Rasul yang banyak menerima ujian dalam misi hidupnya . Maka tidak hairanlah jika kita meniti sejarah maka orang yang paling layak dikedudukan yang paling tinggi di sisi Allah ialah Nabi kita Muhammad SAW. Sebab itulah Nabi Muhamad SAW bergelar sebagai Kekasih Allah iaitu kedudukan yang paling tinggi diberi Allah kepada sekalian makhluknya. Maka seiring dengan kedudukan itulah ujian yang ditanggung oleh Baginda Rasulullah adalah sangat berat itu, maka Baginda digelar juga Rasul Ulul Azmi.  Rasulullah SAW bersabda:
أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً اْلأَنْبِيَاءُ ثُمَّ اْلأَمْثَلُ فَاْلأَمْثَلُ يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلٰى حَسَبِ دِيْنِهِ فَإِنْ كَانَ دِيْنُهُ صَلَبًا اِشْتَدَّ بَلاَؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِي دِيْنِهِ رِقَةٌ اُبْتُلِيَ عَلٰى حَسَبِ دِيْنِهِ
(رواه الترمذي وابن ماجه)
Manusia yang paling dahsyat ujiannya adalah para nabi kemudian yang menyerupai dengan mereka, kemudian yang menyerupai dengan mereka. Apabila seseorang kuat dalam agamanya maka ujiannya pun semakin kuat, dan apabila seseorang lemah dalam agamanya maka dia akan mengujinya sesuai kadar agamannya.” (HR. Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
            Oleh yang demikian betapa perlunya kita fikirkan bahawa semua perkara yang mendatang itu sebagai ujian. Ujian untuk menguji iman kita dan ujian bukan alasan untuk kita berpaling tadah dari keimanan yang sebenar. Biarlah apa tomahan yang dilemparkan musuh-musuh Islam kepada umat Islam. Jangan kita merasa rendah diri dan merasa lemah sebagai umat Islam. Ingatlah janji Allah hanya orang yang sabar menghadapi  ujian yang datang dengan jiwa yang tenang sahaja akan mendapat balasan syurga yang kekal abadi. Firman Allah :
Maksudnya: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)..” (Surah Al Baqarah: 214)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
            Kita adalah umat yang sentiasa berjuang. Perjuangan dalam menempuh ujian tanpa mengenal erti putus asa adalah asas kejayaan umat Islam sebagai umat yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Sejarah telah membukti kesan dari ajaran Islam yang meresap dalam dalam jiwa-jiwa umat Islam menjadikan kita di hormati samaada oleh kawan dan lawan. Kegagalan dalam mencapai matlamat dakwah bukanlah jalan muktamad dan tidak sedikit pun ianya mematahkan semangat Rasululullah dan para sahabatnya untuk meneruskan misi dakwah hinggalah Islam berjaya menguasai tamadun dunia. Malah dengan semangat iman yang berkobar-kobar inilah kesinabungannya telah berjaya mencetuskan revolusi tamadun manusia dengan wujudnya khalifah Islam yang berjaya mengemudi dunia hingga sampai ke puncaknya. Tanpa mengenal putus asa seringkali saja umat Islam bingkas bangkit dalam meneruskan misi perjuangan Islam. Tiada noktah dalam meneruskan perjuangan Islam hingga kita dapat mengangkat Islam sebagai agama yang terbaik dan benar. Semangat semacam inilah perlu kita ambil untuk dijadikan pedoman agar segala ujian yang mendatang tidak melemahkan semangat kita apatah lagi jika ia boleh menggugat keimanan kita.  Firman Allah SWT :
"Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah karena bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah  kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. Tidak ada doa mereka selain ucapan: "Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir"." (Surah Ali Imran: 146-147)
Sidang Jumaat Yang di rahmati Allah,
            Sudah tiba masanya kita umat Islam untuk menyusun langkah dan barisan dengan membulatkan tekad untuk bangkit dari segala kesesakan fitnah mereka yang memusuhi Islam. Ujian yang datang marilah kita telusurinya dengan mengikut jejak Rasul dan para sahabatnya agar kita sentiasa pada landasan iman yang benar. Hanya jalan yang ditunjukkan oleh Allah dan Rasul serta para sahabatnya sahaja akan mengelakkan kita dari melakukan kekufuran kerana ujian yang datang. Kehadiran ujian itu sebenarnya adalah jalan untuk Allah menguji kita untuk mendapat balasan syurga yang abadi. Pandanglah ujian hidup itu dengan sangkaan yang baik kerana itulah jalan terbaik kita sebagai hamba walaupun pada hemat kita ianya adalah penderitaan tetapi sebenarnya hikmah di sisi Allah.
Firman Allah SWT:

Maksudnya:  Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah ayat 216).
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

No comments:

Post a Comment