EdulAdha yang datang begitu mengujakan aku. Apa tidaknya Hari Raya yang penuh makna ini aku akan balik ke kampung sebagaimana yang telah dijanjikan. Sampai di kampung ketika itu sudah masuk waktu magrib dan ketika juga aku lihat seluruh pelosok rumah sudah dipenuhi dengan bag baju, toto dan ada juga yang telah bergelimpangan. Sesak dan hingar bingar suasana di dalam rumah. Di dapur aku lihat anak-anak saudara sedang menunggu giliran untuk masuk ke bilik air. Memang menyesakkan. Terfikir aku bagaimana agaknya Al-Fateh kali ini. Al fateh ialah bayi baru aku yang baru berumur hampir 2 bulan. Sebagai seorang "Baba" tentulah aku risau tentangnya. Ya "baba" itulah panggilan anakku kepada aku. Malah ada juga anak-anak saudara lain yang memangilku dengan panggilan itu. Kerana pangkat itu jugalah aku sering teruja untuk balik kampung. Pernah dulu aku katakan bahawa Hari Raya tanpa Baju Baru tidak mengapa. Hari Raya tanpa makan yang enak tidak mengapa. Yang paling bahagia saat itu aku masih ada Abah dan Emak. Abah sejak akhir-akhir ini kesihatannya agak merosot sebab itu apabila Hari Raya tiba hatiku sering berdebar-debar. Entah kenapa perasaan itu sering saja menyelinap dalam hatiku ini. Ketika aku sampai aku terus mencari abah dan mak. Mak sedang sibuk di dapur menyiapkan juadah Hari Raya. Yang pasti ketupat daun kelapa wajib ada. Ada juga ketupat adabi tetapi nampaknya ia kurang sangat diminati. Kata mak " abah kau demam". Aku lihat abah sedang berbaring di atas katil. Raut wajahnya memang mengambarkan dia tidak sihat. Menatap wajah Abah dan Mak sungguh melegakan. Terasa bahagia yang tidak dapat dibayangkan. Umur Abah kalau dilihat di dalam kad pengenalan sekarang umurnya 88 tahun. Abah sebenarnya baru berumur 83 tahun itulah yang dikatakan oleh emak. Aku biarkan abah dalam lenanya yang kadang terganggu dengan keluhan kesakitan yang ditanggungnya. Abah banyak telah mengajar aku agar sentiasa berfikir dalam menentukan jalan hidup. Walaupun mungkin ketika aku remaja leterannya agak panjang hampir setiap masa tetapi bila sudah dewasa barulah aku tahu erti bebelan apabila menjadi seorang ayah. Walaupun mungkin abah agak garang dengan anak-anaknya namun semua itu dilakukan untuk anak-anaknya menjadi manusia. Sebab itu ketika malam Hari Raya Eduladha kali ini dia seperti biasa mahu berborak-borak dengan aku juga. Boraknya tiada yang kosong mesti bercerita masalah negara, politik dan pasti tentang perjuangan Islam. Abah sangat banyak membaca malah kadangkala dia boleh berbicara tentang masalah ummah kini. Mungkin itulah rahsia siapa yang banyak membaca.
Ada satu cerita yang kalau aku mengenanginya aku pasti rasa sedih. Pernah dulu ketika aku belajar di Sabak Bernam abah datang secara tiba-tiba. Aku tahu perjalanan dari kampung ke sabak bernam agak mencabar minda dan fizikal. Jika tidak mempunyai mental dan fizikal taubat nak ke sana. Apa tidaknya naik bas dari kampung ke Tanjung Karang kadangkala menunggu bas hampir 2jam lamanya. Bas datang tidak tentu masa. Ada kalanya cepat adakalanya lambat dan adakalanya langsung tak datang. Dari Tanjung Karang ke Sabak Bernam pula perjalanan hampir 2 jam lamanya. Basnya yang agak 'bodol' hanya Allah yang tahu betapa seksanya perjalanan itu. Dari Pekan Sabak ke sekolah aku, bas hampir tiada. Nasib la kalau ada pun kereta atau motor 'sapu'. Suatu pagi ketika sedang asyik mentelaah untuk persiapan STPM kawanku beritahu Abah datang. Aku hampir tidak percaya dan aku sangkakan hanya gurauan. Tetapi hatiku betul-betul tersentak dan runtuh apabila aku lihat Abah yang bertongkat melambai kepadaku. Aku cuba menahan deras air mata yang bertakung di kelopak mata. Sungguh tidak ku sangka Abah datang memberi harapan dan semangat padaku. Tanpa aku sedar aku peluk Abah. Kata Abah "mak kau suruh datang tengok kau". Walaupun mak yang suruh aku sedar tanpa kegagahan abah mustahil dia akan sampai di sini detik hatiku. Itulah pengorbanan seorang abah. Itu sebahagian kenangan aku tentang abah.
Pesanku pada yang masih berabah dan beribu, bersyukurlah. Kerana Abah dan Ibu hanya ada satu, kehilangannya tidak akan berganti, yang tinggal nanti hanya kenangan. Ketika tulisan ini masih dalam pembikinan, aku mendapat tahu ada seorang sahabat kehilangan abah untuk selamanya. Takziah aku ucapkan padanya. Bersabarlah atas ujian ini. Semoga Allah mencucuri rahmat pada Abah sahabat ku itu. Pada yang masih berabah. Pesanku rajin-rajinlah menjenguk abah. Sebab jika abah tiada lagi, setiap saat perpisahan itu tidak akan dapat mengubati rindu kita pada abah walaupun kita cuba mengubatinya. Ianya sungguh menghiris perasaanTidak percaya tanya sahabat-sahabat kita yang telah kehilangan abah untuk selamannya.
No comments:
Post a Comment